Kematian adalah perpisahan yang akan meninggalkan rasa sedih dan kehilangan. Bagi sesiapa yang sudah pernah menghadapi kematian dalam kalangan ahli keluarga mahupun insan-insan terdekat pasti memahami perasaan ini. Tidak ada lagi suara mahupun hilai tawa yang akan didengari.
Pada waktu terakhir melihat wajah jenazah, itulah saat terakhir kita dapat melihat wajahnya secara berdepan. Penghormatan terakhir yang dapat diberikan pula seperti memandikan, mengkafankan dan menyolatkan jenazah, dan akhir sekali kucupan sebelum muka jenazah ditutup.
Saat itu, mungkin ada timbul pula pesan-pesan daripada orang sekeliling agar berhati-hati mencium jenazah, jangan biarkan air mata menitis dan mengenai wajah atau kulit jenazah, kerana hal itu akan membuatkan roh si mati berat untuk meninggalkan orang yang masih hidup.
Menurut Ustaz Mizra Hilmi bin Abu Bakar, Pegawai Hal Ehwal Islam Kanan, Bahagian HEP, Universiti Malaya, kepercayaan ini tidak ada asas bahkan karut. Tidak ada langsung nas sahih yang mengatakan tentang tegahan ini. Bahkan Nabi SAW sendiri ketika mencium saudaranya yang telah meninggal dunia juga pernah mengalirkan air mata.
Diriwayatkan oleh Saidatina Aisyah R.Anha bahawa baginda SAW mencium jenazah Uthman bin Maz’un iaitu saudara susuan baginda:
عَنْ عَائِشَةَ، قَالَتْ رَأَيْتُ رَسُولَ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم يُقَبِّلُ عُثْمَانَ بْنَ مَظْعُونٍ وَهُوَ مَيِّتٌ حَتَّى رَأَيْتُ الدُّمُوعَ تَسِيلُ
Riwayat daripada Saidatina Aisyah R.Anha bahawa beliau berkata: “Aku melihat Rasulullah SAW mencium Uthman bin Maz’un ketika dia meninggal dunia dan aku melihat bahawa air mata mengalir (dari matanya).” (Riwayat Abu Daud, no.3163 – Disahihkan oleh Al-Albani)
Jelaslah di sini bahawa tidak mengapa untuk mengalirkan air mata ketika mencium jenazah, mahupun ketika menghadapi kematian sekalipun air mata itu jatuh mengenai jenazah. Ia tidak pula mengotori jenazah. Rasa sedih adalah emosi normal seorang manusia, dan Islam menerima hal ini.
Maksudnya: “Sesungguhnya mayat diazab dengan tangisan keluarganya terhadapnya.” [Riwayat al-Bukhari (1286), Muslim (928)]
Yang dimaksudkan dengan tangisan dalam hadis ini pula adalah tangisan yang dilarang seperti meraung, membunyikan suara tangisan dengan kuat, menampar pipi dan merobek baju seperti yang pernah dilakukan dalam tradisi jahiliah. Walhal, tangisan biasa tanpa suara adalah dibenarkan.
Justeru, janganlah menyebarkan hal-hal yang tidak diketahui kebenarannya dan hanya berdasarkan cakap-cakap orang. Berilah ruang terakhir kepada ahli keluarga si mati untuk mencium jenazah dan memberikan penghormatan terakhir sekalipun dalam tangisan.
Rujukan:
Muhammad Abduh Tuasikal. (2013). Mayit Disiksa Karena Tangisan Keluarganya. Rumaysho.

