Site icon Tazkirah

Laporan Amalan Dibentang Pada Hari Isnin Dan Khamis

Seorang yang bergelar Muslim mempunyai peluang untuk menjadi seorang yang ‘baru’ setiap hari. Bayangkan jika hati disucikan dan amalan pula diperbaharui – dosa dan kejahatan diampunkan oleh Allah setiap hari.

Apakah caranya?

Iaitu dengan menunaikan solat khususnya pada dua waktu ini iaitu pada waktu pagi (Subuh) dan petang (Asar).

Seorang lelaki telah melakukan dosa lalu datang bertemu Nabi SAW. Apa nasihat Nabi SAW kepadanya?

“(Dan dirikanlah solat itu pada kedua tepi siang (pagi dan petang) dan pada bahagian permulaan daripada malam. Sesungguhnya perbuatan-perbuatan yang baik itu menghapuskan (dosa) perbuatan-perbuatan yang buruk.”)

Sesungguhnya solat benar-benar dapat menghapuskan dosa!

Kedua-dua waktu tersebut (pagi dan petang) juga menyaksikan bahawa malaikat naik bertemu Allah membawa catatan amalan harian manusia – apa yang dilakukan kita pada waktu pagi, apa yang diucapkan kepada orang di sekeliling, apa yang dilakukan ketika di tengah keramaian, dan 1001 macam situasi lagi.

“Para malaikat malam dan malaikat siang silih berganti mendatangi kalian. Dan mereka berkumpul pada waktu solat Fajar (Subuh) dan Asar…”

Selain dari itu, amalan juga akan dibentangkan kepada Allah setiap minggu, iaitu pada setiap hari Isnin dan Khamis.

Daripada Abu Hurairah RA, bahawa Nabi SAW bersabda:

تُعْرَضُ الأَعْمَالُ يَوْمَ الِاثْنَيْنِ وَالخَمِيسِ، فَأُحِبُّ أَنْ يُعْرَضَ عَمَلِي وَأَنَا صَائِمٌ

Maksudnya: “Amalan dibentangkan pada hari Isnin dan Khamis, maka aku lebih suka amalanku dibentangkan ketika aku sedang berpuasa.” (Riwayat al-Tirmizi (747) – Imam al-Tirmizi menilai hadis ini sebagai hasan gharib)

Justeru kita dianjurkan untuk berpuasa pada hari Isnin dan Khamis kerana ia adalah hari yang istimewa di mana catatan amalan mingguan dibentangkan kepada Allah SWT.

Daripada Aisyah RA, berkata:

كَانَ النَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَتَحَرَّى صَوْمَ الِاثْنَيْنِ وَالخَمِيسِ

Maksudnya: “Adapun Nabi SAW sentiasa berpuasa pada hari Isnin dan Khamis.” (Riwayat al-Tirmizi (745)

Antara hikmah lain yang dapat dikutip daripada hal ini ialah – supaya kita menjadi seorang yang sentiasa berhati-hati. Sebagaimana kita tidak tahu amalan mana dinilai besar dan bermakna di sisi Allah, begitu juga mungkin ada perbuatan yang dinilai dosa dan membuat Allah murka. Oleh itu, wajar untuk kita terlebih dahulu menilai diri sendiri serta menghisab amalan yang dilakukan sebelum kita dihisab kelak.

Baca juga:
Malaikat Bertukar Syif Pada Dua Waktu Ini

Exit mobile version