Sewaktu kecil, kita pernah diajar mengenai dunia ini yang akan sampai ke penghujungnya dan manusia akan dihimpunkan semula oleh Allah di Padang Mahsyar untuk diadili.
Proses ini dinamakan kiamat. Bumi ini akan dihancurkan setelah sampai saatnya dengan arahan daripada Allah terhadap Malaikat Israfil untuk meniup sangkakala.
Apabila datangnya bunyi itu, maka bumi ini akan hancur serta-merta. Manusia pada waktu itu sudah tidak sempat untuk memikirkan mengenai hal lain, melainkan tetang dirinya sahaja.
Ibu bapa akan melupakan anaknya, suami akan melupakan isteri dan manusia akan melupakan tugas yang sedang dilakukan waktu itu kerana masing-masing sibuk memikirkan untuk menyelamatkan diri dan mula sedar akan kebenaran yang disampaikan oleh Islam mengenai kiamat.
Kali ini, bukan lagi bencana banjir mahupun letusan gunung berapi yang berlaku di sebuah tempat atau pada waktu yang tertentu sahaja, namun ia adalah sebuah kejadian besar yang bukan sahaja menimpa bumi malah seluruh alam cakerawala ini.
Mengapa diciptakan dunia sedangkan suatu hari nanti Penciptanya akan memusnahkannya?
Pernah atau tidak persoalan di atas bermain-main di minda anda? Sama sahaja dengan persoalan mengapa diciptakan manusia sedangkan suatu hari nanti nyawanya akan dicabut juga dan jasadnya akan dikambus sedalam-dalamnya di dalam tanah.
Perasan atau tidak, setiap yang ada di dunia ini pasti punya tarikh luput. Jika anda membeli roti untuk dijadikan sarapan atau kudap apabila lapar, ia pasti akan mempunyai tarikh luput pada pengikat plastik roti tersebut.
Expired date atau tarikh luput itu akan membuatkan kita lebih berhati-hati, cuba untuk menghabiskan roti tersebut sebelum sampai tarikhnya. Jika sudah sampai had masa atau melebihi dari tarikhnya, pasti ia akan ditumbuhi kulat dan tidak boleh dimakan lagi. Bimbang jika nanti akan menimbulkan kemudaratan lain seperti keracunan makanan.
Sama sahaja dengan setiap yang ada di muka bumi ini, setiap sesuatunya punya tarikh luput. Bezanya ialah, sama ada kita tahu atau tidak.
Walau bagaimanapun, Allah pasti akan memberikan tanda-tandaNya untuk mengingatkan manusia akan tarikh luput yang semakin menghampiri.
Walaupun kita tidak mengetahui mengenai waktu sebenar hadirnya kiamat atau kematian, namun Allah pasti akan mendatangkan tanda-tanda untuk kita bersedia menghadapinya. Antara sedar atau tidak, itu adalah bergantung kepada manusia itu sendiri.
يَسْأَلُونَكَ عَنِ السَّاعَةِ أَيَّانَ مُرْسَاهَا ۖ قُلْ إِنَّمَا عِلْمُهَا عِندَ رَبِّي ۖ لَا يُجَلِّيهَا لِوَقْتِهَا إِلَّا هُوَ ۚ ثَقُلَتْ فِي السَّمَاوَاتِ وَالْأَرْضِ ۚ لَا تَأْتِيكُمْ إِلَّا بَغْتَةً ۗ يَسْأَلُونَكَ كَأَنَّكَ حَفِيٌّ عَنْهَا ۖ قُلْ إِنَّمَا عِلْمُهَا عِندَ اللَّـهِ وَلَـٰكِنَّ أَكْثَرَ النَّاسِ لَا يَعْلَمُونَ
Mafhum: “Mereka bertanya kepadamu (wahai Muhammad) tentag hari kiamat: “Bilakah masa datangnya?”
Katakanlah: “Sesungguhnya pengetahuan mengenainya hanyalah ada di sisi tuhanku, tidak ada sesiapa pun yang dapat menerangkan kedatangannya pada waktunya melainkan Dia. (Huru-hara) hari kiamat itu amatlah berat (menggerunkan makluk-makhluk yang ada) di langit dan di bumi; ia tidak datang kepada kamu melainkan secara mengejut.” Mereka bertanya kepadamu seolah-olah engkau sedia mengetahuinya. Katakanlah: “Sesungguhnya pengetahuan mengenai hari kiamat itu adalah di sisi Allah, tetapi kebanyakan manusia tidak mengetahui.” (Surah Al-A’raf, 7:187)
Terdapat banyak dalil dan penceritaan Allah mengenai dasyatnya hari kiamat. Antaranya ialah:
#1 – Tiada Keraguan Mengenainya
إِنَّ السَّاعَةَ لَآتِيَةٌ لَّا رَيْبَ فِيهَا وَلَـٰكِنَّ أَكْثَرَ النَّاسِ لَا يُؤْمِنُونَ
Mafhum: “Sesungguhnya hari kiamat tetap akan datang, tidak ada sebarang syak tentang kedatangannya; akan tetapi kebanyakan manusia tidak beriman (akan hakikat itu)” (Surah Ghafir, 40:59)
#2 – Kejadian Yang Menakutkan
يَوْمَ تَرَوْنَهَا تَذْهَلُ كُلُّ مُرْضِعَةٍ عَمَّا أَرْضَعَتْ وَتَضَعُ كُلُّ ذَاتِ حَمْلٍ حَمْلَهَا وَتَرَى النَّاسَ سُكَارَىٰ وَمَا هُم بِسُكَارَىٰ وَلَـٰكِنَّ عَذَابَ اللَّـهِ شَدِيدٌ
Mafhum: “Pada hari kamu melihat (peristiwa-peristiwa yang mengerikan) itu, tiap-tiap ibu penyusu akan melupakan anak yang disusukannya, dan tiap-tiap perempuan yang mengandung akan gugurkan anak yang dikandungnya; dan engkau akan melihat manusia mabuk, padahal mereka sebenarnya tidak mabuk, tetapi azab Allah amatlah berat dan mengerikan.” (Surah Al-Haj, 22:2)
#3 – Semuanya Akan Binasa
كُلُّ مَنْ عَلَيْهَا فَانٍ
Mafhum: “Segala yang ada di muka bumi itu akan binasa.” (Surah Ar-Rahman, 55:26)
#4 – Hari Balasan
Mafhum: “(Bukan kekalahan itu sahaja) bahkan hari kiamat ialah hari yang dijanjikan kepada mereka (untuk menerima balasan yang sepenuh-penuhnya) dan (azab seksa) hari kiamat itu amat dasyat dan amat pahit.” (Surah Al-Qamar, 54:46)
#5 – Langit Yang Digulung
يَوْمَ نَطْوِي السَّمَاءَ كَطَيِّ السِّجِلِّ لِلْكُتُبِ ۚ كَمَا بَدَأْنَا أَوَّلَ خَلْقٍ نُّعِيدُهُ ۚ وَعْدًا عَلَيْنَا ۚ إِنَّا كُنَّا فَاعِلِينَ
Mafhum: “(Ingatlah) hari Kami menggulung langit seperti menggulung lembaran surat catatan; sebagaimana kami mulakan wujudnya sesuatu kejadian, Kami ulangi wujudnya lagi; sebagai satu janji yang ditanggung oleh Kami; sesungguhnya Kami melaksanakannya.”
Konklusi
Apabila sampai masanya, tarikh luputnya juga akan tiba. Allah tidak akan melambatkan atau mempercepatkan sesuatu walau sesaat. Banyak lagi dalil yang diceritakan melalui kalamNya dan juga penceritaan Baginda SAW yang boleh diambil sebagai rujukan untuk dijadikan persediaan kita menghadapinya.
Oleh itu, suatu hari nanti tatkala ia muncul, kita sudah tidak boleh meletakkan kesalahannya ke atas Allah lagi kerana Dia sudah menurunkan panduan sekian lama lagi, terpulang kepada kita untuk mengambilnya atau tidak.
Wallahu a’lam.

