Site icon Tazkirah

Manusia Tanpa Sifat Kemanusiaan

Ketika mana kita saling bertukar senyuman, berkongsi gelak ketawa, ada beribu jiwa sedang tenat menderita.

Mereka bertukar kisah kehilangan sesama mereka dan sedang sibuk berkongsi katil hospital yang kian sesak.

Begitulah kehidupan mereka, saudara kita di tanah peperangan. Saban hari kita disaji dengan cerita ledakan bom, asap pedih yang dilempar ke tempat awam, keganasan dan penindasan terutama terhadap golongan kanak-kanak, warga tua dan wanita.

Manusia dibunuh sesuka hati hanya kerana sifat tamak dan mengejar kekuasaan. Darah yang tumpah bagaikan satu fenomena biasa ditatap setiap hari. Dipijak-pijak, dipukul semahunya, diseksa sehingga ke titisan darah terakhir.

Manusia yang pada hakikatnya, disulami dengan sifat kemanusiaan dan belas ihsan. Namun hari ini, dunia diperlihatkan dengan manusia yang sudah tipis nilai kemanusiaan.

Rakyat Islam di negara-negara seperti Palestin, dinafikan hak mereka di tanah sendiri. Diusir dan diseksa bagaikan hilang nilai tamadun.

Bahkan megah pula mengaku tanah subur Palestin sebagai tanah mereka. Kegilaan apakah yang merasuk perjuangan palsu mereka?

Saya sering percaya kehidupan bertamadun itu, penuh degan sifat manusiawi. Punya ketertiban bersulamkan toleransi.

Sayangnya, kemanusiaan itu makin pudar, terhakis dengan ego dan ketamakan manusia.

Menerusi buku Ciri-Ciri Masyarakat Islam Yang Kita Idamkan. Profesor Dr. Yusuf Al-Qardhawi berkata, nilai-nilai kemanusiaan itu harus dipandu oleh ilmu, amal dan iman.

Di samping itu, manusia perlu hidup dalam perasaan kasih sayang dan persaudaraan dengan mengutamakan orang lain.

Wahai manusia yang sedang berselimut dengan kenikmatan, jangan pernah berasa terlalu selesa. Ujian yang ditimpa mereka, sebenarnya ujian besar untuk nilai tahap kemanusiaan kita.

Hulurkan bantuan sepenuh dayamu, semampu dan seikhlasnya. Jika dengan jasad kau mampu berjuang, kerahkan tenagamu. Jika dengan harta kau mampu mengurangkan bebanan, bersedekahlah.

Di saat merasakan tiada apa mampu dihulur, jangan pernah lupa, Rasulullah meninggalkan qunut nazilah sebagai doa terindah penyelamat daripada penindas durjana, maka ringankanlah zikirmu.

Duhai manusia, ayuh bina kembali kemanusiaanmu yang kian terhakis!

Exit mobile version