Pernah anda tenggelam dalam sikap suka bertangguh yang tidak berkesudahan? Deadline assignment esok dan anda masih khusyuk menghadap Youtube dan Dota. Atau anda juga sedang menangguh suatu kerja ketika sedang membaca tulisan ini?
Sikap suka bertangguh sering dikaitkan dengan ‘malas’ dan pengurusan masa yang lemah. Boleh jadi benar dan boleh jadi tidak. Mindtools.com menerangkan secara ringkas bahawa ‘bertangguh’ dan ‘malas’ adalah dua perkara yang berbeza.
Malas adalah proses yang tidak aktif, sikap acuh tidak acuh dan tidak mahu bertindak manakala sikap bertangguh adalah suatu proses yang aktif.
Anda mengelak dan memilih untuk melakukan perkara lain walaupun anda sedar bahawa ada tugasan yang lebih penting perlu disiapkan. Malah ada kajian yang menunjukkan bahawa orang yang perfectionist juga suka bertangguh!
Mengapa Kita Bertangguh?
#1- Pengurusan Tugasan Yang Lemah
Sesetengah orang bertangguh kerana kurang mahir menguruskan prioriti dan keutamaan. Mereka memandang ringan sesuatu perkara dan tidak menyedari kepentingannya.
Perkara yang patut didahulukan tidak dibuat, malah hal yang kurang penting pula dilakukan. Tugasan sebenarnya boleh diklasifikasikan kepada beberapa tahap iaitu;
– Penting dan segera
– Penting tetapi tidak segera
– Tidak penting tetapi segera
– Tidak penting dan tidak segera
Setelah dikelompokkan begini, barulah kita lebih jelas tentang tahap-tahap prioriti sesuatu tugasan. Hal ini memerlukan latihan terutama bagi mereka yang tidak suka membuat catatan atau note-to-do.
Dalam perkongsian lalu yang bertajuk “Virus Terlebih Optimis : Tembok Penghalang Anda Menjadi Realistik” saya juga ada berkongsi tentang sikap ‘over-confident’ yang membawa kepada kecuaian dalam menguruskan tugasan.
#2- Perfectionist
Perfectionist ialah orang yang mementingkan kesempurnaan dalam sesuatu kerja. Bunyinya positif dan hebat bukan?
Tetapi orang yang perfectionist juga cenderung untuk tidak puas hati dengan tahap kerja yang dilakukan.
Pembetulan dilakukan berkali-kali bahkan mungkin akan melambatkan suatu proses atau kerja yang perlu disiapkan segera.
Mereka juga cenderung untuk mengelak tugasan yang perlu dilakukan kerana merasakan tidak mempunyai skill yang cukup atau belum menguasai sesuatu topik atau tajuk.
Jika anda rasa diri anda seorang yang perfectionist, uruskan masa sebaik mungkin supaya masa yang diperuntukkan cukup untuk mencapai target yang anda mahukan.
#3- Tidak Yakin Dengan Kemampuan Diri
Tidak ada orang yang melakukan kerja yang terus sahaja lengkap dan terlihat sempurna. Banyak proses perlu dilakukan sebelum kerja yang terbaik dapat dihasilkan. Malah ‘kerja yang terbaik’ itu pun pasti masih ada kekurangan dan cacat celanya.
Apabila sesuatu tugasan diberikan kepada kita sudah pasti orang yang memberikannya yakin bahawa kita mampu melakukannya dengan baik. Fokuslah kepada proses bukan pada natijah.
Apabila kita meletakkan usaha yang terbaik sepanjang proses InsyaAllah natijahnya juga akan cemerlang.
Tips Untuk Mengelakkan Diri Dari Bertangguh
#1- Menyedari Bahawa Anda Sememangnya Suka Bertangguh
Untuk mengubah apa juga sikap dan tabiat, langkah pertama yang perlu dilakukan adalah akur bahawa kita punyai kelemahan dan perlukan perubahan.
Pendek kata, kita tidak ego untuk mengakui kelemahan diri sendiri. Dari situ barulah dada akan terasa lebih lapang untuk menerima teguran dan memperbaiki kekurangan.
#2- Maafkan Diri Anda Kerana Bertangguh Pada Masa Lalu
Sesetengah orang suka menyalahkan diri sendiri apabila sesuatu terjadi. Ketahuilah bahawa terus-terusan menyalahkan diri tidak akan mengubah apa-apa.
Tindakan itu tidak akan membantu anda untuk berubah bahkan akan lebih menyebabkan anda berasa ‘low’ dan semakin hilang keyakinan diri. Maafkan kelemahan dan kekurangan diri.
Kualiti diri anda bukan hanya terletak pada kekurangan. Anda masih ada banyak potensi yang tersembunyi!
#3- Jangan Terlampau Banyak Berfikir, Mulakan Sahaja
Ambil langkah pertama, usah berfikir terlalu lama. Perhatikan jika minda anda sudah mula ‘over-thinking’ atau terlalu jauh melayang. Bawa ia kembali semula ke dunia realiti.
Saya teringat video motivasi Goalcast yang saya tonton tidak lama dahulu. Seorang wanita berkongsi tips bagaimana dia memaksa dirinya untuk bangkit dari katil pada hari-hari dia ditimpa kemurungan.
Dia ‘trick’ mindanya daripada berfikir terlalu banyak dan membuat countdown seperti sebuah roket sedang menanti saat untuk dilancarkan. Dan apabila kiraan sampai kepada angka ‘1’ dia terus bangkit tanpa berfikir panjang!
#4- Pecahkan Tugasan Yang Besar Kepada Tugasan-Tugasan Kecil
Tugasan anda bukan sebuah gunung yang teramat besar sehingga tidak boleh dipecahkan. Anda masih boleh memecahkan tugasan yang banyak kepada bahagian-bahagian kecil. Mulakan dari bahagian mana yang lebih mudah dan mengambil masa singkat.
#5- Meminta Rakan Mengingatkan Atau Guna Bantuan Aplikasi Telefon
Minta rakan anda supaya mengingatkan anda dari semasa ke semasa. Selain itu, terdapat banyak aplikasi di Google Play yang boleh membantu anda untuk menyusun urusan harian dengan lebih sistematik seperti NewDay, Habit Tracker dan Stay Focused.
#6- Minimakan Gangguan
Ada orang yang cepat hilang tumpuan dan terganggu dengan hal-hal di sekeliling. Minimakan gangguan dengan menukar mode telefon kepada ‘senyap’, memadam notifikasi emel dan juga aplikasi dalam telefon.
Elakkan juga daripada berada di tempat yang bising supaya anda dapat lebih fokus melakukan kerja.
Sikap suka bertangguh adalah suatu tabiat yang boleh diubah dan diperbaiki. Selagi anda optimis dan positif untuk mengubah diri ke arah kebaikan, pasti Allah akan membukakan jalan.
Umat Islam yang cemerlang adalah mereka yang sentiasa menghisab dan menghitung diri sendiri setiap hari, memperbaiki kelemahan dan sentiasa berusaha ke arah kebaikan.
Rujukan;
Mindtools.com – Artikel bertajuk Procrastinating – How Can I Stop Procrastinating

