Site icon Tazkirah

Tidak Panaskah Malaikat Duduk Dalam Neraka?

Pagi ini semasa sarapan pagi di Restoran Thaqwa Sri Gombak, Asma Sofiah (darjah 6) sibuk belajar subjek Akidah untuk peperiksaan hari ini.

Banyak soalan ditanya tentang Malaikat. Lalu keluar isu Malaikat Malik Zabaniyah penjaga neraka. Tiba-tiba Adna Solehah (darjah 4) bertanya:

“Malaikat duduk dalam neraka tidak panas ke walid?”

Terpegun saya dengan soalan logik sebegitu. Sebenarnya soalan seumpama itu pernah ditanya oleh Musyrikin Qurasyh kepada Rasulullah SAW.

Dalam nada sindiran apabila Allah menyebut orang kafir bakal diazab dalam neraka dengan buah Zaqqum yang mengerikan.

Juga apabila Allah menyatakan dalam neraka malaikatnya cuma 19. Lihat firman Allah ini:

وَإِذْ قُلْنَا لَكَ إِنَّ رَبَّكَ أَحَاطَ بِالنَّاسِ وَمَا جَعَلْنَا الرُّؤْيَا الَّتِي أَرَيْنَاكَ إِلَّا فِتْنَةً لِلنَّاسِ وَالشَّجَرَةَ الْمَلْعُونَةَ فِي الْقُرْآَنِ وَنُخَوِّفُهُمْ فَمَا يَزِيدُهُمْ إِلَّا طُغْيَانًا كَبِيرًا
Dan (ingatlah) ketika Kami wahyukan kepadamu (Muhammad), bahawa sesungguhnya Tuhanmu meliputi akan manusia (dengan ilmuNya dan kekuasaan-Nya; dan tiadalah Kami menjadikan pandangan (pada malam Mikraj) yang telah kami perlihatkan kepadamu melainkan sebagai satu ujian bagi manusia; dan (demikian juga Kami jadikan) pokok yang dilaknat di dalam Al-Quran; dan Kami beri mereka takut (dengan berbagai-bagai amaran) maka semuanya itu tidak menambahkan mereka melainkan dengan kekufuran yang melampau. Surah al-Isra’ 17:60

Juga firman Allah tentang jumlah malaikat neraka, yang bermaksud:

(Disebabkan kekufurannya itu) Aku akan masukkan dia ke dalam neraka Saqar. Dan apa jalannya engkau dapat mengetahui kedahsyatan neraka Saqar itu? Ia membakar mangsanya dengan tidak meninggalkan sisa, dan tidak membiarkannya (binasa terus). Ia terus-menerus membakar kulit manusia! Pengawal dan penjaganya adalah 19 (malaikat). Dan (ketahuilah bahawa hikmat) Kami tidak menjadikan para pengawal neraka itu melainkan (dari kalangan) malaikat, (kerana merekalah sekuat-kuat dan sebenar-benar makhluk yang menjalankan perintah Kami); dan (hikmat) Kami tidak menerangkan bilangan mereka melainkan dengan satu bilangan yang menyebabkan kesesatan dan kesengsaraan orang kafir itu, supaya orang yang diberi Kitab (Yahudi dan Nasrani) boleh percaya dengan yakin (akan kebenaran Al-Quran), dan supaya orang-orang yang beriman bertambah imannya; dan juga supaya orang yang diberi Kitab dan orang yang beriman itu tidak ragu-ragu (tentang kebenaran keterangan itu); dan (sebaliknya) supaya orang (munafik) yang ada penyakit (ragu-ragu) dalam hatinya dan orang kafir berkata: “Apakah yang di maksudkan oleh Allah dengan menyebuntukan bilangan ganjil ini?” Demikianlah Allah menyesatkan sesiapa yang dikehendaki-Nya (menurut undang-undang peraturan-Nya), dan memberi hidayah petunjuk kepada sesiapa yang dikehendakiNya (menurut undang-undang peraturanNya); dan tiada yang mengetahui tentera Tuhanmu melainkan Dia lah sahaja. Dan (ingatlah, segala yang diterangkan berkenaan dengan) neraka itu tidak lain hanyalah menjadi peringatan bagi manusia. Surah al-Muddatthir 74:26-31

Setelah isu 19 Malaikat muncul, penggusti Quraysh yang kuat, Abu al-Asyad bin Asid bin Kaladah al-Jumhi mempersendakan al-Quran dengan katanya:

“Biar aku uruskan 17 malaikat, manakala aku tinggalkan 2 lagi untuk orang Quraysh..” Tafsir al-Razi

Abu al-Asyad ini pernah dicabar oleh Rasulullah SAW dengan janji akan beriman jika dikalahkan Rasulullah.

Beliau dikalahkan berkali-kali oleh Rasulullah SAW tetapi tetap tidak beriman (Tafsir Ibn Kathir). Bayangkan betapa perkasanya Rasulullah SAW?

Seakan-akan mereka sedia ke neraka jika malaikatnya cuma 19, dengan sindiran jika 19 malaikat neraka sudah ditewaskan, mereka tidak lagi diseksa dalam neraka.

Jawapan Logik

Ust Ahmad Sonhadji dalam Tafsirnya (Tafsir ‘Abr al-Athir) menjawab;

”Jika di dunia Allah mampu mencipta sesetengah bahan kalis api seperti sutera sokhriy yang dipakai ahli bomba, maka tidak mustahil pokok Zaqqum dicipta dari jenis tahan api. Begitu juga para malaikat neraka.”

Jumlah malaikat 19 bukanlah isu yang pelik untuk difahami. Kuasa mereka yang luar biasa mampu mengawal ahli neraka. Lihat saja kuasa Allah yang tunggal tapi mampu mengawal segala isi alam ini.

Exit mobile version