Tokoh

Zubair Bin Awwam, Pendamping Rasulullah Yang Disanjung

Oleh Rabiatul Adaweeyah  •  23 May 2017  •  3 min baca

Nama sebenar beliau ialah Zubair bin Awwam bin Khuwailid bin Asad bin Abdil Uzza bin Qushai bin Kilab. Beliau merupakan sepupu kepada Baginda Rasulullah SAW. Ibunya bernama Safiyah binti Abdul Mutalib; ibu saudara kepada Rasulullah SAW.

Zubair bin Awwam termasuk sebagai salah seorang daripada tujuh orang pertama yang memeluk Islam. Beliau memeluk Islam ketika berusia 15 tahun dan mengikuti hijrah ke Madinah ketika berusia 18 tahun. Keislaman Zubair bin Awwam mendapat tentangan yang hebat daripada keluarga dan kaumnya.

Ketika bapa saudaranya, Naufal bin Khuwailid mengetahui bahawa Zubair telah memeluk Islam, beliau sangat marah dan menyeksa beliau, antaranya dengan memasukkan beliau ke dalam karung tikar, kemudiannya dibakar. Namun beliau tetap bertegas bahawa tidak akan sesekali meninggalkan Islam.

Suatu hari, Zubair bin Awwam terdengar berita bahawa Nabi Muhammad SAW telah terbunuh, lalu beliau keluar menuju jalan-jalan di Mekah sambil menghunuskan pedangnya. Beliau bertekad akan membunuh pembunuh Rasulullah SAW.

Akhirnya beliau bertemu dengan Baginda Nabi di utara Mekah, maka saat itu Rasulullah bertanya kepadanya apakah yang akan dilakukan oleh Zubair jika Baginda benar-benar terbunuh, Zubair bin Awwam menjawab bahawa beliau akan membunuh pembunuh itu.

Setelah mendengar jawapan dari Zubair, Rasulullah mendoakannya dengan kebaikan dan pedangnya dengan kemenangan.

Zubair bin Awwam juga merupakan orang yang pertama menghunuskan pedangnya di jalan Allah. Sehinggakan sekiranya Rasulullah SAW diganggu, pasti beliau akan menghunuskan pedangnya itu.

Zubair bin Awwam juga pernah ikut berhijrah sebanyak dua kali ke Habsyah bersama orang-orang dari kaum Muslimin, dan beliau tetap tinggal di sana sehingga Rasulullah SAW mengizinkannya kembali ke Madinah.

Dalam peperangan, tidak ada satu pun peperangan yang tidak disertainya, dikatakan tubuhnya penuh dengan kesan luka. Selepas Perang Uhud dan orang-orang Quraisy kembali ke Mekah, Rasulullah SAW mengirim 70 orang sahabat untuk mendampingi Baginda, termasuk Zubair bin Awwam.

Baginda pernah berkata tentang Zubair,

“setiap Nabi punya pendamping, penolong, dan pendampingku ialah Zubair.”

Zubair bin Awwam juga merupakan seorang yang terhormat, mulia dan tergolong dalam kalangan 10 sahabat yang dijanjikan syurga. Beliau selalu menginfakkan hartanya untuk berperang di jalan Allah, sehinggkan tidak ada satu dirham pun yang dibelanjakan untuk kegunaan rumahnya.

Beliau mewakafkan seluruh hartanya sehinggakan sewaktu tiba kematiannya, beliau masih berhutang. Lalu beliau berwasiat kepada anaknya untuk melunaskan semua hutangnya itu dengan memohon perlindungan dan pertolongan Allah SWT.

Sewaktu Zubair keluar dari Perang Jamal dan melalui Lembah Siba, salah seseorang dari kaum bani Tamim yang membelot bernama Amru bin Jarmuz mengikuti beliau dan membunuhnya dari belakang. Pembunuh itu kemudiannya menemui Khalifah Ali bin Abi Talib untuk menyampaikan berita yang menurut sangkaannya disukai oleh Khalifah.

Berita tersebut sampai kepada Ali bin Abu Talib, beliau berteriak dan berkata kepada pembantunya,

“Berikan khabar kepada pembunuh putera Safiyyah dengan neraka, sesungguhnya Rasulullah SAW pernah bersabda kepadaku bahawa pembunuh Zubair adalah penghuni neraka!”

Sewaktu pedang Zubair bin Awwam dibawakan kepadanya, Ali bin Abi Talib mencium pedang tersebut sambil beruraian air mata. Ali bin Abi Talib lantas berkata;

“Demi Allah, pedang yang membuat pemiliknya mulia (dengan berjihad) dan dekat dengan Rasulullah sebagai pendamping.”

Zubair bin Awwam wafat pada hari Khamis, bulan Jumadilawal tahun 36H ketika berumur 66 atau 67 tahun.


Kongsikan Artikel Ini

Nabi Muhammad s.a.w berpesan, “sampaikanlah dariku walau satu ayat” dan “setiap kebaikan adalah sedekah.” Apabila anda kongsikan artikel ini, ia juga adalah sebahagian dari dakwah dan sedekah. Insyallah lebih ramai yang akan mendapat manafaat.

Rabiatul Adaweeyah

Rabiatul Adaweeyah

Berkelulusan Ijazah Sarjana Muda dari Universiti Malaya dalam Pengkhususan Pengajian Media Dan Sejarah. Sekarang bertugas sebagai Editor di sebuah syarikat penerbitan buku.

Kempen Dakwah Digital

Boleh Sumbangkan RM50 Untuk Dakwah?

Bantu kami untuk mengerakkan platform dakwah digital ini dengan menerbitkan konten-konten Islamik yang mampu menyentuh jiwa insan lain agar berubah menjadi lebih baik.

Langgan Siri Tazkirah

Dapatkan siri informasi islamik yang ringan dan santai terus kepada emel anda setiap minggu dengan mengisi emel anda di bawah.

Ikuti Kami