Gaya Hidup

Ziryab Pencetus Trend Muzik Dan Fesyen Di Andalusia

Oleh Natirah Azira  •  17 Jan 2020  •  2 min baca

Abul Hasan Ali Ibn Nafi atau lebih dikenali dengan nama Ziryab merupakan seorang yang sangat berpengaruh dalam dunia keseniaan muzik di Andalusia suatu ketika dahulu. Jika sekarang, mungkin beliau akan menjawat jawatan sebagai Menteri Kebudayaan.

Ziryab lahir pada tahun 789 di Iraq. Beliau mempelajari seni muzik daripada Ishaq al-Mawsili, seorang ahli muzik yang terkenal di Baghdad dan merupakan sosok yang disenangi Khalifah Harun al-Rashid.

Kemahirannya dalam bidang muzik akhirnya mengangkat nama dan posisinya ke peringkat lebih tinggi. Beliau dijemput sendiri oleh khalifah Kerajaan Umayyah ketika itu iaitu Abdul Rahman II ke Andalusia dan akhirnya menjadi ketua muzik di Istana Cordoba.

Sumber gambar dari ozy.com

Kehadirannya di situ telah membawa satu trend baru dalam dunia muzik. Beliau memperkenalkan alat muzik dipanggil ‘Al-U’d’. Selain itu, beliau juga merupakan seorang komposer lagu yang sangat berbakat. Dikatakan beliau menguasai 1000 buah lagu, dan ada antaranya berasal dari Ptolemy menurut Al-Maqqari.

Lagu dan muzik yang diperkenalkan beliau pula bukan semata-mata sekadar bunyi-bunyian yang kosong sahaja, namun mempunyai makna dan simbolik tersendiri. Apa yang lebih membanggakan lagi, beliau juga telah menubuhkan sekolah muzik pertama di dunia, yang mengajar tentang teori-teori muzik dan komposisi muzik genre harmoni.

Menurut catatan sejarah, trend yang dibawa oleh Ziryab bukan hanya dalam bidang muzik sahaja, malah termasuk gaya pemakaian, perhiasan diri dan juga makanan.

Restoran yang dinamakan Ziryab – sumber gambar dari www.restaurantleziryab.com

Contohnya gaya potongan rambut ‘bang’ yang menutup bahagian dahi, deodoran yang tidak meninggalkan kesan pada pakaian, penggunaan minyak wangi, ubat gigi, alas meja kulit serta makanan baru iaitu asparagus.

Set pinggan mangkuk golongan elit yang biasanya diperbuat daripada emas pula digantikan dengan bahan yang diperbuat daripada kaca atau kristal. Trend baru ini akhirnya membawa kepada perkembangan industri pembuatan gelas dan kristal di Andalusia.

Beliau secara umumnya membawa satu gaya hidup yang lain daripada sebelumnya merangkumi cara berpakaian mengikut musim, penjagaan diri, etika makan, cara bersosial dan berehat yang menekankan elemen yang lebih elegan dan mewah.

Sehingga kini nama Ziryab diabadikan di banyak tempat – kedai, hotel, jalan, nama kumpulan orkestra dan sebagainya. Sumbangan dan pencapaian yang telah dibawa bukan hanya terhad di Andalusia sahaja malah kesannya tersebar sehingga ke dunia barat.

Rujukan:
Muslimheritage.com
Mufti Wilayah Persekutuan


Kongsikan Artikel Ini

Nabi Muhammad s.a.w berpesan, “sampaikanlah dariku walau satu ayat” dan “setiap kebaikan adalah sedekah.” Apabila anda kongsikan artikel ini, ia juga adalah sebahagian dari dakwah dan sedekah. Insyallah lebih ramai yang akan mendapat manafaat.

Natirah Azira

Natirah Azira

Beliau merupakan graduan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia dalam bidang Al-Quran dan Sunnah. Sekarang sedang menyambung pengajian peringkat Ijazah Sarjana dalam bidang Psikologi di universiti yang sama. Seorang yang suka membaca pelbagai genre bahan bacaan terutama sejarah, sastera, motivasi dan psikologi.

Kempen Dakwah Digital

Boleh Sumbangkan RM50 Untuk Dakwah?

Bantu kami untuk mengerakkan platform dakwah digital ini dengan menerbitkan konten-konten Islamik yang mampu menyentuh jiwa insan lain agar berubah menjadi lebih baik.

Langgan Siri Tazkirah

Dapatkan siri informasi islamik yang ringan dan santai terus kepada emel anda setiap minggu dengan mengisi emel anda di bawah.

Ikuti Kami