Ibadah

Zikir Hebat Hanya Dalam Kadar 20 Saat!

Oleh Natirah Azira  •  16 Aug 2019  •  2 min baca

Pada suatu hari, ketika Rasulullah SAW selesai daripada menunaikan solat Subuh secara berjemaah dan ingin keluar daripada masjid, baginda melihat isterinya Juwairiyah binti Al-Harits sedang duduk di suatu sudut, sedang khusyuk berzikir.

Baginda membiarkan isterinya beribadah dan keluar melakukan urusan harian yang lain.

Namun ketika baginda kembali semula ketika waktu dhuha untuk melakukan solat sunat, baginda melihat Juwairiyah masih dalam keadaan yang sama, duduk di sudut tersebut sambil berzikir, lalu baginda bertanya:

“Apakah engkau sentiasa duduk (berzikir) seperti itu sejak ku tinggalkan tadi?” Jawab Juwairiyah. “Betul, ya Rasulullah!”

Rasulullah SAW bersabda lagi, “Aku hanya mengucapkan empat kalimat sebanyak tiga kali semenjak itu yang kalau ditimbang dengan apa yang kau baca dalam zikirmu sejak tadi nescaya sama berat. Kalimat itu ialah:

“Subhanallahi wa bihamdihi ‘adada khalqihi, wa ridha nafsihi, wa zinata ‘arsyihi, wa midada kalimaatihi “

Apakah Keistimewaan Empat Kalimah Tersebut?

Dalam empat kalimah tersebut, terdapat penyaksian yang maha agung iaitu pujian kepada Allah mengatasi setiap apa yang wujud dalam kehidupan ini.

Ayuh kita teliti satu persatu.

“Subhanallah”
(Maha Suci Allah)

Ibaratnya kita berkata – “Ya Allah, engkau bebas daripada segala ketidaksempurnaan, bebas daripada segala perkara buruk yang dikatakan oleh orang yang tidak beriman, dan bebas daripada sebarang bentuk persamaan (tidak ada sesuatu pun yang sama denganMu)”

Kita ibarat menegaskan pengakuan saksi keimanan.

“wa bihamdihi”
(dan segala puji bagiMu (Maha Terpuji)

Dan engkau berhak atas segala pujian. Kita menegaskan bahawa Allah sahaja yang memiliki keistimewaan, keunikan, kekuatan, dan setiap apa yang terkandung dalam nama-namaNya yang sempurna.

Kalimah seterusnya adalah pelengkap kepada pujian yang awal.

“adada khalqihi”
(sebanyak mungkin setiap ciptaan Allah)

“wa ridha nafsihi”
(sehingga diriNya redha)

“wa zinata ‘arsyihi”
(seberat arasyNya)

“wa midada kalimaatihi”
(dan sebanyak kalimatNya)

Kita memuji bahawa Allah adalah satu-satunya Tuhan Yang Satu, tidak ada lainnya yang sama, hanya Dia sahaja yang berhak menerima pujian sebanyak makhluk yang ada – bulan, bintang, bumi, langit, lautan, bahkan seberat Arasynya dan sebanyak kalimatnya, sehingga akhirnya Allah redha.

Bayangkan jika ada seseorang memuji anda dengan berkata:

“Saya menyayangi kamu”. Kata-kata tersebut sudah kedengaran indah.

Namun, bandingkan dengan ayat di bawah.

“Saya menyayangi kamu lebih banyak dan lebih besar daripada bulan, bintang, dan seisi alam ini”

Pasti pujian kedua itu lebih mengesankan.

Zikir ini perlu diulang sebanyak 3 kali, tidak mengira masa, contohnya selepas Subuh, sewaktu dhuha, saat anda berehat pada waktu makan tengah hari, dan juga sebelum tidur. Ia zikir yang hebat hanya dalam kadar 20 saat!


Kongsikan Artikel Ini

Nabi Muhammad s.a.w berpesan, “sampaikanlah dariku walau satu ayat” dan “setiap kebaikan adalah sedekah.” Apabila anda kongsikan artikel ini, ia juga adalah sebahagian dari dakwah dan sedekah. Insyallah lebih ramai yang akan mendapat manafaat.

Natirah Azira

Natirah Azira

Beliau merupakan graduan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia dalam bidang Al-Quran dan Sunnah. Sekarang sedang menyambung pengajian peringkat Ijazah Sarjana dalam bidang Psikologi di universiti yang sama. Seorang yang suka membaca pelbagai genre bahan bacaan terutama sejarah, sastera, motivasi dan psikologi.

Kempen Dakwah Digital

Boleh Sumbangkan RM50 Untuk Dakwah?

Bantu kami untuk mengerakkan platform dakwah digital ini dengan menerbitkan konten-konten Islamik yang mampu menyentuh jiwa insan lain agar berubah menjadi lebih baik.

Langgan Siri Tazkirah

Dapatkan siri informasi islamik yang ringan dan santai terus kepada emel anda setiap minggu dengan mengisi emel anda di bawah.

Ikuti Kami