Tokoh

Zheng He: Pengembara Cina Islam Yang Muziumnya Ada Di Melaka

Oleh Natirah Azira  •  28 Sep 2018  •  3 min baca

Apabila kita menyebut tentang pengembaraan tokoh-tokoh terkenal, nama yang akan meniti di bibir biasanya ialah Marco Polo, Ibnu Batutta, dan juga Christopher Columbus. Dari benua Asia, khususnya China, sebenarnya kita punya satu lagi sosok yang hebat iaitu Cheng Ho atau sebutan sebenarnya Zheng He. Nama ‘Cheng Ho’ juga terakam dalam buku teks sejarah sekolah namun penceritaannya agak ringkas. Zheng He adalah seorang laksamana, tentera, pedagang dan pengembara dalam masa yang sama.

Zheng He lahir dalam keluarga yang sudah sedia Islam pada tahun 1371 Masihi. Nama yang diberi sewaktu kelahirannya ialah ‘Ma He’. ‘Ma’ sebenarnya bermaksud “Muhammad”. Ini menunjukkan asal usul agama Islam yang dianuti oleh keturunannya.

Ketika beliau masih kecil, bandar tempat kelahirannya telah diserang oleh pihak tentera Dinasti Ming. Beliau telah diculik dan dibawa ke daerah Nanjing. Di situ beliau berkhidmat di rumah kekaisaran. Di sebalik kesempitan dan kesusahan yang dialami, Zheng He ketika itu telah berkawan dengan salah seorang putera raja bernama Zhu Di.

Apabila Zhu Di meningkat dewasa dan akhirnya ditabalkan sebagai pemerintah, Zheng He telah dilantik memegang jawatan yang tinggi dalam kerajaan. Pada waktu inilah, beliau diberi panggilan kehormat ‘Zheng’.

Pada tahun 1405 Masihi, Zheng He telah dilantik mengetuai sebuah pelayaran besar-besaran yang dilancarkan oleh Zhu Di. Seramai lebih 30, 000 orang terlibat dalam pelayaran tersebut . Di antara tahun 1405 hingga tahun 1433, beliau telah mengetuai sebanyak tujuh pelayaran membelah lautan dan meneroka benua-benua terdekat hinggalah ke Semenanjung Arab.

Antara tempat yang pernah dijejaki rombongan pelayarannya ialah Tanah Melayu, Tanah Jawa, Sumatera Indonesia, Thailand, India, Sri Lanka, Iran, Oman, Yaman, Arab Saudi, Somalia, Kenya, dan banyak lagi.

Saiz kapal yang digunakan digambarkan sebesar 400 kaki panjang, berpuluh kali ganda lebih besar daripada saiz kapal yang digunakan oleh Christopher Columbus. Sesetengah orang mengatakan gambaran ini terlalu keterlaluan dan dibuat-buat, namun kajian arkeologi yang dilakukan menunjukkan bukti bahawa saiz kapal yang dibina di Sungai Yangtze ini memang benar.

Zheng He bukanlah satu-satunya Muslim dalam pelayaran tersebut. Beberapa orang pembantu dan penasihatnya juga beragama Islam. Ma Huan contohnya, seorang penterjemah yang mampu bercakap dalam Bahasa Arab, dan berkomunikasi dengan Muslim yang lain dalam perjalanan yang ditempuhi mereka.

Ma Huan juga ada menulis catatan tentang pengembaraan ini yang bertajuk “Ying-yai Sheng-Ian”, sebuah catatan yang penting untuk memahami masyarakat dan budaya sosial di sekitar Kepulauan Hindi.

Pelayaran besar ini menimbulkan rasa hormat dan takut kerajaan-kerajaan yang wujud ketika itu. China ingin menyampaikan mesej bahawa merekalah penguasa ekonomi dan kuasa besar politik. Disebabkan itulah, Tanah Melayu juga melakukan kerjasama dengan China serta mendapatkan perlindungan daripada mereka. Dalam pelayaran tersebut, mereka telah mengembangkan hubungan ekonomi dengan negara-negara lain.

Zheng He meninggal dunia pada tahun 1433 Masihi, namun pengikutnya tetap meneruskan legasinya dengan menyebarkan Islam ke serata tempat. Tetapi yang menyedihkan, selepas kematiannya juga, falsafah dan kepercayaan Kerajaan China bertukar kepada aliran Konfusianisme.

Namun suatu hakikat yang tidak dapat disangkal, Zheng He telah menyebarkan pengaruh Islam ke banyak tempat. Malah sekarang terdapat Muzium Zheng He yang dibangunkan di Bandar Melaka tidak jauh dari Bangunan Stadthuys bagi memperingati sumbangannya. Dipercayai bahawa lokasi ini merupakan lokasi asal di mana Zheng He membina kompleks gudang suatu waktu dahulu. Di Surabaya pula, terdapat masjid yang dinamakan Masjid Cheng Ho.

Sumber:
http://lostislamichistory.com/zheng-he/


Kongsikan Artikel Ini

Nabi Muhammad s.a.w berpesan, “sampaikanlah dariku walau satu ayat” dan “setiap kebaikan adalah sedekah.” Apabila anda kongsikan artikel ini, ia juga adalah sebahagian dari dakwah dan sedekah. Insyallah lebih ramai yang akan mendapat manafaat.

Natirah Azira

Natirah Azira

Beliau merupakan graduan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia dalam bidang Al-Quran dan Sunnah. Sekarang sedang menyambung pengajian peringkat Ijazah Sarjana dalam bidang Psikologi di universiti yang sama. Seorang yang suka membaca pelbagai genre bahan bacaan terutama sejarah, sastera, motivasi dan psikologi.

Kempen Dakwah Digital

Boleh Sumbangkan RM50 Untuk Dakwah?

Bantu kami untuk mengerakkan platform dakwah digital ini dengan menerbitkan konten-konten Islamik yang mampu menyentuh jiwa insan lain agar berubah menjadi lebih baik.

Langgan Siri Tazkirah

Dapatkan siri informasi islamik yang ringan dan santai terus kepada emel anda setiap minggu dengan mengisi emel anda di bawah.

Ikuti Kami