Tokoh

Zainab Al-Ghazali: Lambang Perjuangan Agung Yang Perlu Diteladani

Oleh Rabiatul Adaweeyah  •  31 Mar 2017  •  5 min baca

Siapakah Zainab al-Ghazali? Zainab al-Ghazali al-Zubaili merupakan nama yang besar dalam perjuangan Islam menentang kekufuran di zaman moden ini.

Beliau dilahirkan di al-Bihira pada tahun 1917 dan berketurunan mulia. Dari sebelah ayahnya berketurunan Umar al-Khattab dan sebelah ibunya dari keturunan Hasan bin Ali bin Abi Talib.

Pada tahun 1936, ketika berusia 18 tahun Zainab al-Ghazali telah mengasaskan Persatuan Wanita Islam atau Jamaah Saiditina Muslimah untuk mengendalikan hal-ehwal dan aktiviti wanita di Mesir berlandaskan ajaran Islam. Persatuan ini juga selari dengan cara dan matlamat Ikhwan Muslimin

Ketika itu juga, proses pembaratan sedang pesat berlaku di Mesir dan ramai masyarakat Islam semakin hanyut dengan budaya, cara berpakaian dan pemikiran yang kebaratan. Zainab al-Ghazali berusaha mengembalikan kaum wanita yang kian hanyut itu kepada Islam yang sebenarnya.

Pada tahun 1949, Zainab al-Ghazali berbaiah dengan Hasan al-Banna dan berjanji akan menyokong perjuangan Ikwan Muslimin dalam menegakkan Islam. Malangnya, tidak lama kemudian Hassan al-Banna telah gugur syahid dan Zainab al-Ghazali bertekad menyambung perjuangannya, lalu bergabung dengan Ikhwan Muslimin.

Zainab al-Ghazali juga menyokong Revolusi 1952 bersama pemimpin-pemimpin Ikhwan Muslimin. Pada awalnya revolusi itu berjaya menggulingkan Raja Faraouk. Namun, sebenarnya Ikhwan Muslimin telah dikhianati oleh Jamal Abdul Naseer dan persatuan itu diharamkan pada 13 Januari 1954.

Ramai tokoh Ikhwan Muslimin yang ditangkap, dipenjara dan dihukum mati. Mereka dituduh merancang menggulingkan kerajaan Revolusi Mesir.

Selepas pengharaman itu, Zainab al-Ghazali terpaksa bergerak secara rahsia. Beliau dan persatuannya berusaha membantu golongan isteri, ibu tunggal dan ahli keluarga pejuang yang dipenjarakan dan dibunuh oleh kerajaan ketika itu.

Dalam tahun 1962, Zainab al-Ghazali menerbitkan buku yang dikarang oleh Syed Qutb yang ditulis dalam penjara dan diterbitkan dengan judul Ma’alim Fit-Tariq (Petunjuk Sepanjang Jalan). Zainab al-Ghazali menjadikan buku tersebut sebagai rujukan dakwahnya.

Jamal Abdul Naseer mulai curiga dengan pergerakan wanita itu lalu mengharamkan Jemaah wanita Ikhwan Muslimin pada tahun 1965. Namun pembubaran itu akan ditarik balik sekiranya Zainab al-Ghazali bersetuju untuk berkerjasama dengan Parti Istrokiyah. Zainab al-Ghazali menolak tawaran itu.

Beliau ditawarkan pula dengan jawatan Menteri Kebajikan Masyarakat, Zainab al-Ghazali menjawab dengan yakin;

“Dalam perjuangan ini aku tidak bercadang untuk menjadi menteri aku hanya mahu berdakwah.”

Sehinggakan Jamal Abdul Nasser berputus asa untuk memujuk Zainab al-Ghazali lalu memerintahkan untuk menangkapnya. Ogos 1965, rumah Zainab al-Ghazali digeledah oleh pihak tentera. Mereka dengan kasar mengheretnya dan dibawa ke penjara.

Dalam perjalanan itu beliau dimaki hamun dengan teruknya, bahkan sebuah kereta merempuh kereta yang membawa Zainab al-Ghazali dengan tujuan untuk membunuhnya, namun rancangan mereka gagal.

Pada tahun 1966 itu, Zainab al-Ghazali dijatuhkan hukuman penjara seumur hidup dengan kerja berat. Jamal Abdul Nasser turut mengarahkan agar wanita itu diseksa dengan seberatnya melebihi pesalah lelaki.

Namun semua seksaan yang dihadapinya seperti dipukul dengan tongkat, cemeti, digantung kaki ke atas, direndam seharian dalam penjara air, dipenjara dengan tikus diterima oleh Zainab al-Ghazali dengan sangat tabah dan berserah kepada Allah s.w.t. Ayat yang selalu disebutnya;

“Cukuplah Allah menjadi penolong kami dan Allah adalah sebaik-baik pelindung.”

Para tentera juga mengugut untuk membunuh dan menanamnya hidup-hidup seperti yang dilakukan terhadap berpuluh-puluh anggota Ikhwan Muslimin dan pengikut sealiran dengan Zainab al-Ghazali.

Beliau menceritakan semua pengalamannya ketika dalam tahanan dalam sebuah diari, namun terdapat sebuah pengalamannya yang sangat menginsafkan;

“Sebuah pintu bilik yang sangat gelap dibuka, lalu aku dimasukkan ke dalamnya dan aku mengucapkan, ‘Bismillah as-salamu’alaikum’. Kemudian, pintu itu ditutup dan lampu yang sangat terang dinyalakan dengan tiba-tiba. Ini bertujuan untuk menyeksaku.

Alangkah terperanjatnya aku kerana ruangan itu dipenuhi oleh anjing. Aku segera pejamkan mataku dan meletakkan kedua-dua tanganku di dada kerana ketakutan yang amat. Aku terdengar pintu dikunci dengan rantai dan mangga besar.

Lalu anjing-anjing itu terus menyerangku dan mengigit sekujur tubuhku, kepalaku, kedua tanganku, dadaku, dan di seluruh tubuhku sehingga kurasakan tusukkan taring anjing-anjing itu. Aku menahan sakit yang amat sangat.

Ketika aku mencuba membuka mata untuk melihat, segera kupejamkan semula kerana ketakutan, sambil menyebut asma-asma Allah s.w.t satu per satu. Sementara anjing-anjing itu tidak berhenti mengigitku. Aku berdoa kepada Allah agar menyibukkan aku dengan mengingati-Nya untuk aku lupakan kesakitan yang aku alami. Aku berdoa tanpa henti sekejap pun sambil binatang-binatang buas itu terus menggigitku.

Aku menahan sakit itu selama berjam-jam sebelum pintu tiba-tiba dibuka, aku dikeluarkan dari bilik itu. Aku membayangkan, bahawa pakaian putihku berlumuran darah dan koyak rabak. Tetapi betapa terkejutnya aku apabila melihat pakaianku seperti tidak disentuh langsung oleh anjing-anjing itu.

“Maha suci Engkau Ya Allah. Sesungguhnya Dia selalu bersamaku dan selalu mengawasiku. Ya Allah, apakah aku ini layak mendapatkan kurnia dan kemuliaan dari-Mu. Ya, Tuhanku bagimu segala puji.’ Para tentera itu hairan ketika mengetahui bahawa anjing-anjing tidak merobek-robek tubuhku.

Mereka menengking;

“Bagaimana anjing-anjing itu tidak merobek daging engkau? Bagaimana anjing itu tidak menggigit engkau!”

Beliau menceritakan, suatu hari pengawal penjara yang ditugaskan untuk memukulnya, tidak mahu memukulnya.

“Duhai Makcikku, tidak sanggup saya memukulmu, tidak ada sebab mengapa harus aku memukulmu.”

Rupa-rupanya ketika itu, ketua penjara mengintai perbualan mereka. Lalu tentera itu diseret keluar dengan makian. Keesokannya, ketua penjara memberitahu Zainab al-Ghazali bahawa pemuda itu telah ditembak mati.

Pasukan Jamal Abdul Nasser juga pernah memaksa suami Zainab al-Ghazali untuk menceraikannya, tetapi suaminya yang juga seorang yang kuat ilmu agamanya bersumpah tidak akan sesekali menceraikan isterinya itu, bahkan terus memberi sokongan atas perjuangan wanita itu.

Terdapat banyak lagi penyeksaan yang diterima oleh wanita itu semasa dalam penjara selama enam tahun, termasuklah dihidang dengan makanan yang disapu najis dan sebagainya.

Pegawai tentera yang menyiksa Zainab al-Ghazali di penjara terkejut hairan dengan kekuatan dan ketabahan wanita itu yang menanggung keseksaan yang lebih dasyat melebihi pesalah lelaki.

Pada tahun 1971, Zainab al-Ghazali telah dibebaskan setelah Jamal Abdul Nasir meninggal dunia dan Anwar Sadat mengambil alih pemerintahan di Mesir.

Beliau meneruskan perjuangannya memartabatkan Islam di negara itu sehingga ke hujung nyawanya. Zainab al-Ghazali meninggal dunia pada hari Rabu 3 Ogos 2005, ketika itu beliau berusia 88 tahun.

Semoga segala perjuangan Zainab al-Ghazali menegakkan Islam mendapat balasan yang baik di sisi Allah s.w.t. Amin.


Kongsikan Artikel Ini

Nabi Muhammad s.a.w berpesan, “sampaikanlah dariku walau satu ayat” dan “setiap kebaikan adalah sedekah.” Apabila anda kongsikan artikel ini, ia juga adalah sebahagian dari dakwah dan sedekah. Insyallah lebih ramai yang akan mendapat manafaat.

Rabiatul Adaweeyah

Rabiatul Adaweeyah

Berkelulusan Ijazah Sarjana Muda dari Universiti Malaya dalam Pengkhususan Pengajian Media Dan Sejarah. Sekarang bertugas sebagai Editor di sebuah syarikat penerbitan buku.

Kempen Dakwah Digital

Boleh Sumbangkan RM50 Untuk Dakwah?

Bantu kami untuk mengerakkan platform dakwah digital ini dengan menerbitkan konten-konten Islamik yang mampu menyentuh jiwa insan lain agar berubah menjadi lebih baik.

Langgan Siri Tazkirah

Dapatkan siri informasi islamik yang ringan dan santai terus kepada emel anda setiap minggu dengan mengisi emel anda di bawah.

Ikuti Kami