Tokoh

Zaid Bin Harithah Anak Angkat Rasulullah S.A.W Yang Dikasihi

Oleh Zulfikar Egar  •  20 Sep 2018  •  7 min baca

Sedarkah kita bahawa hanya Zaid bin Harithah R.A adalah satu-satunya sahabat Rasulullah S.A.W yang disebut secara khusus namanya dalam al-Quran pada surah al-Ahzab.

Mengapa hanya nama Zaid bin Harithah R.A sahaja disebut di dalam al-Quran manakala nama para sahabat lain tidak pula disebut?

Terlebih dahulu mari kita mengenali siapakah gerangan Zaid bin Harithah R.A ini. Beliau adalah anak angkat Rasulullah S.A.W yang sangat baginda sayangi.

Asalnya beliau adalah hamba abdi yang dihadiahkan oleh Khadijah binti Khuwailid R.A, isteri Rasulullah sendiri kepada baginda S.A.W.

Sebelum itu, semasa Zaid bin Harithah R.A ini masih kecil, beliau pernah diculik oleh sekumpulan penyamun dalam perjalanan pulang ke penempatan kabilahnya. Dianggarkan usianya pada ketika itu berumur 8 tahun.

Lalu beliau kemudiannya telah dijual di pasar Ukaz sebagai hamba dan dibeli oleh seorang pembesar Quraisy iaitu Hakim bin Hizam bin Khuwailid. Hakim kemudiannya menghadiahkan Zaid bin Harithah R.A ini kepada ibu saudaranya iaitu Khadijah binti Khuwailid R.A.

Keakraban Zaid bin Harithah R.A dengan Rasulullah begitu terserlah sehingga orang Mekah menamakannya dengan nama Zaid bin Muhammad sehinggalah turunnya surah al-Ahzab ayat ke-5 yang melarang menasabkan nama anak angkat kepada bapa angkat.

Selepas Zaid bin Harithah R.A hilang diculik. Ibu bapa Zaid bin Harithah R.A pernah cuba mencari beliau merata-rata. Akhirnya apabila telah mengetahui lokasi di mana beliau berada, lantas ibu bapa Zaid bin Harithah R.A terus mengumpulkan sejumlah harta dan segera pergi ke Mekah untuk menebus Zaid daripada Rasulullah S.A.W.

Tetapi baginda Rasulullah S.A.W telah memberikan tawaran yang luar biasa kepada keluarga Zaid di mana baginda menyerahkan keputusan kepada Zaid bin Harithah R.A sama ada beliau ingin kembali kepada keluarganya atau kekal bersama baginda.

Sekiranya Zaid bin Harithah R.A memilih untuk kembali kepada keluarganya, baginda Rasulullah S.A.W sedia menyerahkan Zaid begitu sahaja tanpa sebarang tebusan.

Setelah pilihan dibuat, Zaid bin Harithah R.A telah memilih untuk tetap tinggal bersama Rasulullah S.A.W dan tindakannya itu menghairankan kedua ibu bapanya kerana Zaid bin Harithah R.A memilih menjadi hamba berbanding memilih kebebasan dan keluarganya.

Tapi Zaid bin Harithah R.A ada sebab tersendiri mengapa membuat pilihan itu. Kerana bagi Zaid, beliau telah melihat sesuatu yang cukup istimewa yang ada pada baginda Rasulullah S.A.W sehingga menyebabkan beliau tidak akan memilih orang lain pun selain daripada baginda.

Selepas mendapat jawapan daripada Zaid yang memilih untuk tetap tinggal bersama baginda. Lantas Rasulullah S.A.W membawa Zaid keluar menuju ke Kaabah berhampiran dengan Hajar al-Aswad seraya berkata kepada orang ramai;

“Aku menjadikan kamu semua saksi bahawa Zaid ini (aku anggap) adalah anakku, dia akan mewarisi dariku dan aku juga akan mewarisi darinya”

Apabila melihat keadaan itu, keluarga Zaid bin Harithah R.A berasa tenteram dan lega lalu pulang ke kampung halaman mereka.

Zaid bin Harithah R.A bukan sahaja menjadi anak angkat yang dikasihi oleh Nabi, tetapi turut menjadi sahabat yang setia di sisi Nabi Muhammad. 

Beliau juga turut mengikuti hijrah ke Madinah serta mengikuti setiap pertempuran dalam membela Islam. 

Baginda Nabi S.A.W turut mengahwinkan Zaid bin Harithah R.A ini dengan Ummu Aiman R.A iaitu pengasuh baginda sendiri, yang juga merupakan orang yang baginda sayangi. Ini kerana Ummu Aiman R.A telah menjadi pengasuh Nabi S.A.W sejak baginda masih kecil.

Ummu Aiman R.A kemudiannya melahirkan Usamah bin Zaid R.A yang kita tahu amat disayangi oleh baginda S.A.W sehingga digelar sebagai al-Hibb Ibn al-Hibb (yang amat dikasihi anak lelaki kepada yang amat dikasihi).

Usamah bin Zaid R.A inilah yang menjadi panglima perang termuda dalam sejarah Islam ketika berumur 17 tahun semasa pemerintahan Khalifah Abu Bakar As-Sidiq R.A

Di akhir hayat Zaid bin Harithah R.A, beliau telah dilantik oleh Nabi sebagai ketua panglima perang untuk berjuang menentang tentera Rom Byzantine dalam peperangan yang dikenali sebagai Perang Mu’tah yang akhirnya beliau mati syahid di sana.

Berbalik kepada mengapa nama Zaid bin Harithah R.A merupakan satu-satunya sahabat Nabi yang namanya ada disebut dalam al-Quran.

Setelah turunnya ayat melarang menukar nama bapa asal, nama Zaid bin Muhammad kemudiannya ditukar kepada Zaid bin Harithah. Firman Allah S.W.T;

“Panggilah mereka (anak angkat itu) dengan ber”bin”kan kepada bapa mereka sendiri; Cara itulah yang lebih adil di sisi Allah. Dalam pada itu, jika kamu tidak mengetahui bapa mereka, maka panggilah mereka sebagai saudara kamu yang seugama dan sebagai “maula” kamu. Dan kamu pula tidak dikira berdosa dalam perkara yang kamu tersilap melakukannya, tetapi (yang dikira berdosa itu ialah perbuatan) yang disengajakan oleh hati kamu melakukannya. Dan (ingatlah Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.”Surah al-Ahzab:5

Diriwayatkan, selepas penukaran nama Zaid kepada nama bapa asalnya sejurus turunnya ayat di atas, sedikit sebanyak menyedihkan Zaid bin Harithah R.A. Beliau sedih kerana sudah hilang penghormatan yang hebat iaitu di-bin dan dinasabkan terus kepada baginda Nabi S.A.W.

Bagi menggantikan kehilangan itu, Allah S.W.T telah merekodkan namanya secara khusus dalam surah al-Ahzab ayat ke-37. Ini berikutan apabila beliau telah berkahwin dengan seorang wanita yang bernama Zainab binti Jahsy R.A.

Setelah hidup beberapa tahun, mereka berdua bercerai kerana tiada kesefahaman dan kemudiannya Rasulullah S.A.W mengahwini Zainab binti Jahsy R.A untuk menghapuskan amalan tradisi Arab Jahiliyah. Firman Allah yang bermaksud;

“Dan (ingatlah wahai Muhammad) ketika engkau berkata kepada orang yang telah dikurniakan Allah (dengan nikmat Islam) dan yang engkau juga telah berbuat baik kepadanya: “Jangan ceraikan isterimu (Zainab) itu dan bertaqwalah kepada Allah”, sambil engkau menyembunyikan dalam hatimu perkara yang Allah akan nyatakannya; dan engkau pula takut kepada (cacian manusia padahal Allah lebih patut engkau takuti (melanggar perintah-Nya). Kemudian setelah Zaid selesai habis kemahuannya terhadap isterinya (dengan menceraikannya), Kami kahwinkan engkau dengannya supaya tidak ada keberatan atas orang yang beriman untuk berkahwin dengan isteri anak angkat mereka, apabila anak angkat itu telah selesai habis kemahuannya terhadap isterinya (lalu menceraikannya). Dan sememangnya perkara yang dikehendaki Allah itu tetap berlaku.Surah al-Ahzab: 37

Berkenaan ayat ini. Sebenarnya Nabi sudah tahu sejak dari awal lagi bahawa baginda akan dikahwinkan dengan Zainab bin Jahsy R.A sebagai cara untuk membatalkan budaya jahiliah yang menganggap anak angkat seperti anak sendiri.

Zainab binti Jahsy R.A ini merupakan sepupu Rasulullah sendiri dan berasal dari golongan bangsawan Quraisy. Asalnya Zainab binti Jahsy R.A memang tidak berkenan dengan Zaid bin Harithah R.A kerana Zaid dahulunya seorang hamba, Begitu juga dengan Zaid turut tidak berkenan dengannya.

Tetapi apabila surah al-Ahzab ayat 36 turun dan menegur sikap mereka berdua itu, lantas mereka pun akur dan berkahwin jua. Dalam ayat tersebut Allah S.W.T berfirman;

“Dan tidaklah layak bagi lelaki yang mukmin dan perempuan yang mukmin, apabila Allah dan Rasul-Nya telah menetapkan suatu ketetapan, akan ada pilihan (yang lain) bagi mereka tentang urusan mereka. Dan barang siapa menderhakai Allah dan Rasul-Nya, maka sesungguhnya, dia telah tersesat dengan kesesatan yang nyata.”Surah al-Ahzab: 36

Ketika Zaid bin Harithah R.A masih bersama dengan Zainab bin Jahsy R.A, beliau sering mengadu kepada Nabi bahawa beliau tidak serasi dengan isterinya itu. Tetapi Rasulullah memujuk Zaid agar tidak menceraikan isterinya hinggalah turunnya ayat 37 surah al-Ahzab tersebut sekaligus menegur Nabi.

Sebenarnya Nabi risau akan celaan manusia yang akan mengatakan bahawa Nabi sanggup mengahwini bekas isteri anak angkatnya.

Kerisauan Nabi itu adalah perkara biasa kerana baginda juga manusia biasa yang ada perasaan. Bahkan Zaid sendiri yang disuruh oleh Nabi untuk pergi meminang Zainab.

Berikutan kisah inilah, nama Zaid bin Harithah tercatat di dalam al-Quran bahkan beliau adalah satu-satunya sahabat Nabi yang pernah “di-bin atau dinasabkan” kepada baginda Rasulullah S.A.W sebagai Zaid bin Muhammad setelah beliau diambil sebagai anak angkat semasa di Mekah.

Kini nama Zaid telah menjadi salah satu perkataan di dalam al-Quran dan nama itu akan tetap terus kekal dituturkan oleh semua makhluk (para malaikat, manusia dan jin yang beriman) yang membaca al-Quran sehingga hari kiamat.

Wallahulam.


Kongsikan Artikel Ini

Nabi Muhammad s.a.w berpesan, “sampaikanlah dariku walau satu ayat” dan “setiap kebaikan adalah sedekah.” Apabila anda kongsikan artikel ini, ia juga adalah sebahagian dari dakwah dan sedekah. Insyallah lebih ramai yang akan mendapat manafaat.

Zulfikar Egar

Merupakan graduan Ijazah Sarjana Muda Perniagaan dan Pembangunan Keusahawanan di Kuala Lumpur Metropolitan University College. Pernah bertugas sebagai Penolong Eksekutif di Pusat Pengajian Islam Yayasan Ta’lim TTDI KL. Kini bertugas di SmartStuday & Consultant Sdn. Bhd. sebagai Eksekutif Jualan SmartStudy.

Kempen Dakwah Digital

Boleh Sumbangkan RM50 Untuk Dakwah?

Bantu kami untuk mengerakkan platform dakwah digital ini dengan menerbitkan konten-konten Islamik yang mampu menyentuh jiwa insan lain agar berubah menjadi lebih baik.

Langgan Siri Tazkirah

Dapatkan siri informasi islamik yang ringan dan santai terus kepada emel anda setiap minggu dengan mengisi emel anda di bawah.

Ikuti Kami