Gaya Hidup

Yang Kau Dengar Belum Tentu Benar

Oleh Azian Mohamed Isa  •  26 Oct 2020  •  3 min baca

كَفَى بِالْمَرْء كَذِبًا أَنْ يُحَدِّثَ بِكُلِّ مَا سَمِعَ

“Cukuplah seseorang dikatakan berdusta apabila menceritakan segala hal yang ia dengar.” (Hadis Riwayat Muslim dari Hafsh bin ‘Ashim RA)

Hadis ini melarang kita menyampaikan semua berita yang didengari kerana bimbang ada sebahagian daripada cerita-cerita itu tidak benar dan tidak pasti sumber serta kesahihannya.

Sepanjang menjadi penulis Tzkrh, ada satu insiden di mana artikel saya terpaksa ditarik balik setelah tersiar selama tiga hari. Artikel ini telah meraih ratusan perkongsian dan dibaca oleh ribuan pengunjung Tzkrh.

Pun begitu, editor memberitahu saya bahawa artikel itu mengandungi kisah yang tidak sahih. Oleh yang demikian, artikel itu terpaksa ditarik balik.

Allahu, saya berasa terkejut dan bersalah.

Terkejut kerana kisah yang saya kongsikan itu saya dengar daripada ceramah seorang pendakwah terkenal di Malaysia yang sering dijemput di stesen tv dan konti radio.

Bersalah kerana disebabkan sifat kurang berhati-hati saya, ribuan pembaca menerima maklumat yang salah dan tidak benar. Maklumat yang salah akan jadi fitnah.

Daripada seorang yang membaca, ia akan berkembang menjadi dua, tiga hingga sejumlah orang yang kita sendiri tidak menyangkanya. Ditambah lagi dengan butang kongsi yang ada pada setiap aplikasi. Ia akan tersebar dan terus tersebar.

Dan saya tidak berdaya untuk menariknya kembali. Allahu. Saya memohon keampunan daripadaMu, Ya Rab.

Kisah yang saya kongsikan ialah tentang Rasulullah SAW memakan limau masam yang diberikan oleh seorang perempuan Yahudi. Rupa-rupanya kisah ini adalah kisah palsu dan tiada asalnya di dalam mana-mana hadis.

Oleh hal yang demikian, ia tidak boleh disebarkan. Walaupun kisah ini saya ambil daripada seorang pendakwah terkenal yang mempunyai autoriti dalam bidang dakwah, ini tidak bermakna hak saya untuk menyemak dan menyelidik sumber cerita ini dinafikan.

Saya bertanggungjawab sepenuhnya dengan apa-apa yang saya tulis. Begitu halnya juga dengan para pendakwah dan para da’i yang tugasnya
menyampaikan dakwah.

Janganlah menganggap dengan tauliah yang diamanahkan, kalian dengan sewenang-wenangnya boleh menyampaikan sesuatu maklumat tanpa sumber yang sahih dan berautoriti. Besar kesannya kepada khalayak yang mendengar.

Kisah Nabi Sulaiman Dan Burung Hud Hud

Saya bawakan sebuah contoh daripada kisah Nabi Sulaiman AS dan burung hud-hud; sebaik sahaja Nabi Sulaiman mendengar berita tentang kekayaan dan kekuatan negeri Saba’ yang diperintah oleh seorang ratu yang sangat cantik dengan adil dan bijaksana, Sulaiman berkata;

قَالَ سَنَنظُرُ أَصَدَقْتَ أَمْ كُنتَ مِنَ الْكَاذِبِينَ

Mafhum: “Nabi Sulaiman berkata: “Kami akan fikirkan dengan sehalus-halusnya, adakah benar apa yang engkau katakan itu, ataupun engkau dari golongan yang berdusta.” (Surah An Naml 27:27)

Walaupun berita yang disampaikan oleh burung hud-hud begitu meyakinkan, Nabi Sulaiman AS tetap bertindak untuk menguji burung hud-hud; apakah keterangannya benar atau dusta?

Ada sebuah istilah yang disebut Fatabayyanu, iaitu selidiklah. Satu batu asas yang perlu diletakkan pada setiap individu dalam zaman lambakan maklumat ini.

Teliti dan selidiki dengan apa-apa berita yang kita dengar dan baca. Pastikan ada bukti dari pihak autoriti sebelum kita percaya, sebar dan kongsi. Elak percaya dahulu jika sumbernya meragukan. Ingat dan amalkan konsep,‘ it is wrong until it is proven right.

Di Malaysia, ada beberapa portal yang boleh dirujuk untuk memastikan kesahihan sebarang maklumat yang diperolehi. Portal sebenarnya.my yang dibina bertujuan untuk menjadi pusat sehenti bagi rakyat Malaysia untuk menyemak sebelum berkongsi berita yang tidak ditentukan kesahihannya, yang diterima secara dalam talian melalui platform media sosial, perkhidmatan mesej segera, blog, laman sesawang, dan lain-lain.

Untuk hadis pula, platform hdith.com atau semakhadis.com boleh dirujuk bagi mengelakkan penularan hadis palsu.

Semoga perkongsian ini menjadikan kita lebih bertanggungjawab dan berhati-hati dalam berkongsi maklumat. Jangan sampai maklumat yang salah menjadi sungai fitnah yang terus mengalir dan mengalir setiap kali ia tersebar. Na’uzubillahi min zalik.


Kongsikan Artikel Ini

Nabi Muhammad s.a.w berpesan, “sampaikanlah dariku walau satu ayat” dan “setiap kebaikan adalah sedekah.” Apabila anda kongsikan artikel ini, ia juga adalah sebahagian dari dakwah dan sedekah. Insyallah lebih ramai yang akan mendapat manafaat.

Azian Mohamed Isa

Pemegang Sarjana dalam bidang Sains Biologi, pernah menyandang jawatan pensyarah. Kini seorang penulis sepenuh masa. Seorang pemikir dan pengembara. Kisah kembaranya di Xi’an, China dan Pulau Mauritius boleh diikuti di dalam majalah E&T yang diterbitkan oleh MySet, myset.org.my. Juga seorang penulis yang telah menerbitkan lima buah buku di bawah Galeri Ilmu

Kempen Dakwah Digital

Boleh Sumbangkan RM50 Untuk Dakwah?

Bantu kami untuk mengerakkan platform dakwah digital ini dengan menerbitkan konten-konten Islamik yang mampu menyentuh jiwa insan lain agar berubah menjadi lebih baik.

Langgan Siri Tazkirah

Dapatkan siri informasi islamik yang ringan dan santai terus kepada emel anda setiap minggu dengan mengisi emel anda di bawah.

Ikuti Kami