Sejarah, Tokoh

Wujudnya Empat Mazhab, Bukan Bukti Perpecahan

Oleh Fieyzah Lee  •  26 Jul 2019  •  6 min baca

Kita semua sedia maklum bahawa pada zaman Rasulullah SAW, ramai sahabat yang berhijrah untuk menyampaikan dakwah dan menyebarkan agama Islam. Ada dalam kalangan sahabat sendiri yang diperintahkan oleh Baginda untuk pergi ke suatu tempat bagi menyelesaikan masalah dan perihal Islam yang terjadi.

Melalui ilmu dan pegangan tersebut, para sahabat mencuba sedaya upaya untuk menyampaikan Islam sesuai dengan cara penduduk setempat boleh menerimanya. Malah, Islam mula berkembang dengan adanya kesanggupan dalam kalangan sahabat untuk berhijrah demi agama tersebut.

Komunikasi pada zaman tersebut sangat terbatas dan sukar. Kadang-kadang, apabila ditanya mengenai sesuatu, para sahabat akan mengambil masa yang lama untuk mengeluarkan jawapannya sendiri, sama ada menanti jawapan daripada Rasulullah SAW atau berijtihad dengan pengetahuan dan ilmu yang ada padanya.

Namun, ijtihad ini akan dilakukan oleh mereka yang pakar dan dekat dengan Rasulullah, bukannya oleh calang-calang orang ataupun mereka yang baru lagi dengan Islam. Disebabkan itu, kebanyakan ijthad diterima dan diguna pakai.

Pada zaman Rasulullah masih ada, jika sesuatu ijtihad yang sampai kepada Baginda itu benar, maka Rasulullah akan membenarkannya. Namun, jika ijtihad yang sampai kepadanya salah, maka Rasulullah akan membatalkannya.

Namun, setelah lengkapnya wahyu dan agama yang diturunkan Allah dan kewafatan Baginda, barulah ijtihad para sahabat dan khalifah diterima berdasarkan rujukan dan sumber daripada Al-Quran dan As-Sunnah.

Imam Al-Shawkani ada menghuraikan di dalam kitabnya mengenai hal ini:

والحق ما تقدم من التفصيل بين من كان بحضرته صلى الله عليه وسلم فيما نابه من الأمر وبين من كان غائبا عنها فيجوز له الاجتهاد، وقد وقع من ذلك واقعات متعددة كما وقع من عمرو بن العاص من صلاته بأصحابه وكان جنبا ولم يغتسل بل تيمم وقال: سمعت الله تعالى يقول: (ولا تقتلوا أنفسكم) فقرره النبي صلى الله عليه وسلم على ذلك … .

Maksud: “Dan pendapat yang benar ialah pendapat yang membuat perbezaan di antara para sahabat yang hadir bersama Rasulullah SAW ketika menghadapi sesuatu permasalahan hukum (maka mereka tidak diharuskan berijtihad kecuali dengan keizinan atau pengiktirafan baginda); berbeza dengan sahabat yang berada di tempat yang berjauhan dengan Baginda, maka haruslah baginya untuk berijtihad.

Dan sesungguhnya ijtihad para sahabat (semasa ketiadaan Rasulullah SAW) telah berlaku dalam kes sebagaimana ia dilakukan oleh ‘Amru bin al-‘As berkaitan kes beliau mengimami solat (fardhu subuh) kepada para sahabatnya padahal ketika itu beliau berhadas besar (kerana bermimpi) dan beliau tidak mandi (janabah) pun bahkan hanya bertayammum (kerana cuaca pada hari tersebut adalah tersangat sejuk); dan beliau berkata (memberi alasan kepada Rasulullah):

“Saya telah mendengar Allah berfirman (yang bermaksud): “Dan janganlah kamu membunuh diri kamu sendiri.” Lalu Nabi SAW pun terus memberi perakuan kepada ijtihad tersebut…”

Bagimana Wujudnya 4 Mazhab

Mazhab berasal daripada perkataan Arab yang bermaksud jalan atau cara berfikir. Manakala, dari segi istilah ia membawa pengertian kepada ajaran atau cara berfikir yang telah diterima sebagai satu kaedah dalam menilai pelbagai perkara terutamanya hukum hakam dan fikh.

Antara mazhab yang terkenal ialah Mazhab Hanafi, Maliki, Hambali dan Syafi’e. Namun, tahukah kita, sejak zaman Rasulullah lagi telah wujudnya tafsiran dan pendapat yang berbeza mengenai hukum dan fikh dalam Islam.

Bibit pertumbuhan mazhab telah mula wujud pada zaman para sahabat lagi. Antara mazhab yang pernah ada ialah Mazhab Abdullah Ibnu Umar, Mazhab Aisyah dan Mazhab Abdullah Ibnu Abbas.

Seterusnya, pada zaman ulama’ Mujtahidin, kebanyakan pandangan dan ajaran mereka telah dikumpulkan sebagai koleksi dan dibukukan oleh para pengikut masing-masing, iaitu:

#1 – Imam al-Hassan al-Basri – Basrah
#2 – Imam Abu Hanifah dan Imam Sufyan al-Tsauri – Kufah
#3 – Sufyan bin uyainah – Mekah
#4 – Imam Malik bin Anas – Madinah
#5 – Imam al-Syafi’e dan Imam al-Laits bin Saad – Mesir
#6 – Imam al-Awzai’e – Syam
#7 – Imam Ishaq bin Rahuwaih – Naisabur
#8 – Imam Ahmad bin Hambal, Daud al-Zahiri, Abu Tsaur dan Ibnu Jarir al-Tabari – Baghdad

Walau bagaimanapun, disebabkan oleh para pengikutnya telah tiada dan tidak menyambung mazhab ulama ini, hanya empat mazhab yang kita pegang sekarang sahaja yang masih diamalkan dan relevan untuk digunakan.

Menurut pakar sejarah, terdapat sembilan mazhab yang pernah ada, iaitu Hanafi, Maliki, Syafi’e, Hambali, Laythi, Tabari, Awza’i dan Thawri.

#1 – Mazhab Hanafi

Mazhab Hanafi telah diasaskan oleh Imam Abu Hanifah. Nama sebenar beliau ialah Numan bin Tsabit. Beliau telah dilahirkan pada tahun 80 Hijrah di Kufah, Iraq.

Ayah beliau dikatakan seorang pedagang besar yang sempat hidup bersama Ali bin Abi Talib. Imam Hanifah merupakan ulama’ fikh yang terkenal Iraq dan mampu menjadi sumber rujukan semua orang.

Beliau dikatakan telah meninggal dunia pada usia 68 tahun, iaitu 150 Hijrah.

Mazhab ini digunakan oleh Ahli Sunnah di Mesir, Turki, sub-benua India, Tajikistan, Iraq serta sebahagian Afrika Barat.

#2 – Mazhab Maliki

Mazhab ini telah diasaskan oleh Imam Malik bin Anas. Beliau telah dilahirkan di Madinah pada tahun 93 Hijrah.

Datuk beliau dikatakan seorang perawi dan penghafal hadis serta bapa saudaranya, iaitu Abu Suhail Nafi’ yang merupakan seorang tabi’in yang sempat menghafal hadis daripada Abdullah Ibn Umar, Aisyah binti Abu Bakar, Ummu Salamah, Abu Hurairah dan Abu Sa’id al-Khudri.

Imam Malik dikatakan mengajar dan menjadi tokoh agama di Masjid Nabawi. Beliau dikatakan sebagai orang terawal yang mengumpul dan membukukan hadis-hadis Rasulullah SAW.

Beliau telah meninggal dunia pada 11 Rabiul Awal pada tahun 179 Hijrah, iaitu ketika berusia 86 tahun.

Mazhab ini diamalkan di Utara Afrika dan sebahagian Afrika Barat. Ia dikatakan mempunyai pengikut ketiga yang ramai, iaitu lebih kurang 15 peratus.

#3 – Mazhab Syafi’e

Imam Syafi’e atau nama sebenarnya ialah Muhammad bin Idris as-Syafi’e telah lahir pada tahun 150 hijrah di Gaza, Palestin.

Imam Syafie telah menuntut ilmu di Mekah dengan Muslim bin Khalid al-Zanji, iaitu Mufti Kota Mekah pada waktu itu.

Imam Syafi’e telah meletakkan pelbagai usaha untuk menutup jurang antara ajaran Imam Malik dan Imam Abu Hanifah. Walaupun beliau telah menghadapi banyak tentangan, namun usahanya itu tidak pernah pudar.

Beliau telah dikatakan meninggal dunia pada 29 Rejab tahun 209 Hijrah di Mesir ketika berumur 54 tahun disebabkan dipukul dan dibelasah secara teruk oleh pengikut Imam Malik yang terlalu taksub dengan ajaran Imam Malik dan menentang Imam Syafi’e.

Namun, beliau telah meninggalkan kitab yang terkenal kepada pengikutnya, iaitu Kitab Ar-Risalah yang membahaskan mengenai kaedah-kaedah untuk mengeluarkan hukum dari dalil Quran dan sunnah.

Mazhab ini diamalkan oleh penduduk Muslim di Selatan Mesir, Barat Arab Saudi, Syria, Indonesia, Malaysia, Brunei, Singapura, Selatan Filipina dan Yaman serta Bahrain.

#4 – Mazhab Hambali

Nama sebenar beliau ialah Imam Abu ‘Abdullah Ahmad bin Muhammad bin Hambal. Beliau telah dilahirkan di Baghdad, Iraq pada tahun 162 hijrah.

Beliau dikatakan telah berjaya menjadi penghafaz al-Quran pada usia 16 tahun dan juga penghafaz hadis.

Beliau dikatakan telah meninggal dunia pada tahun 241 hijrah, iaitu ketika berusia 77 tahun.

Mazhab beliau telah diamalkan oleh umat Islam di Semenanjung Arab seperti di Mekah dan Madinah, pedalaman Oman, beberapa tempat di sepanjang Teluk Parsi dan bandar di Asia Tengah.

Kesimpulan

Wujudnya pelbagai mazhab bukanlah disebabkan oleh perpecahan umat Islam, namun ia adalah untuk menyatukan dan meraikan pendapat mereka. Malah, mazhab ini diamalkan sesuai dengan tempat ajaran tersebut disampaikan.

Wallahu a’lam.

Rujukan:
Empat Mazhab
Riwayat Hidup Empat Mazhab


Kongsikan Artikel Ini

Nabi Muhammad s.a.w berpesan, “sampaikanlah dariku walau satu ayat” dan “setiap kebaikan adalah sedekah.” Apabila anda kongsikan artikel ini, ia juga adalah sebahagian dari dakwah dan sedekah. Insyallah lebih ramai yang akan mendapat manafaat.

Fieyzah Lee

Fieyzah Lee

Merupakan seorang pelajar Universiti Islam Antarabangsa Malaysia dalam bidang Bahasa Melayu untuk Komunikasi Antarabangsa. Seorang yang suka membaca bahan bacaan dalam bidang sejarah dan motivasi

Kempen Dakwah Digital

Boleh Sumbangkan RM50 Untuk Dakwah?

Bantu kami untuk mengerakkan platform dakwah digital ini dengan menerbitkan konten-konten Islamik yang mampu menyentuh jiwa insan lain agar berubah menjadi lebih baik.

Langgan Siri Tazkirah

Dapatkan siri informasi islamik yang ringan dan santai terus kepada emel anda setiap minggu dengan mengisi emel anda di bawah.

Ikuti Kami