Looking for Something?

BILA DIGERAKKAN HATI UNTUK BERDOA…

Author:

Kita berdoa bukan untuk memberitahu Allah apa yang kita hendak kerana tanpa diberitahu pun Allah sedia mengetahui segala sesuatu. Allah Maha Mengetahui segala apa yang kita zahirkan mahupun apa yang kita sembunyikan. Jadi perlu apa lagi kita berdoa? Imam Ibn Ataillah menjawab persoalan ini dengan berkata, “…hendaknya doa permintaanmu adalah untuk menunjukkan sifat kehambaanmu dan menunaikan kewajipan terhadap kemuliaan Tuhanmu.”

Berdoa sebenarnya adalah satu tugas pengabdian. Doa adalah untuk membuktikan sifat kehambaan kita di hadapan Allah s.w.t. Dengan berdoa kita mengakui kelemahan, kemiskinan, kehinaan, kejahilan dan lain-lain sifat kehambaan kita di sisi-Nya. Sebagai hamba kita memerlukan Allah lebih daripada segala-galanya dalam hidup ini. Dan sebagai hamba kita wajib memuliakan Allah setiap masa. Inilah hakikat doa.

Dan Allah berfirman yang bermaksud: “Berdoalah kepada-Ku, nescaya akan Aku perkenankan bagimu. Sesungguhnya orang yang menyombongkan diri daripada menyembah-Ku akan masuk neraka jahanam dalam keadaan hina-dina.” (Surah Ghafir 40: 60)

Oleh sebab itu, sesiapa yang tidak berdoa, boleh dikira sombong terhadap Allah. Dia secara langsung seperti tidak mengakui sifat-sifat kehambaannya yang rendah, miskin, jahil dan hina itu. Dia seolah-olah berasa pandai, kaya, gagah dan mulia dan tidak memerlukan Allah lagi dalam kehidupan ini. Pada hal sebagai hamba Allah dia sebenarnya sangat rapuh untuk menjalani kehidupan di dunia yang penuh cabaran ini. 

Selagi kita sedar kedudukan kita sebagai hamba, maka selagi itulah kita akan terus berdoa kepada-Nya. Inilah prinsip yang dipegang dan diamalkan oleh orang yang hampir dengan Allah. Para Rasul, nabi dan umumnya salafussoleh pada zaman dahulu ialah orang yang membudayakan doa dalam kehidupan harian, mingguan dan tahunan pada setiap fasa kehidupan mereka. Mereka sentiasa sedar bahawa mereka ialah hamba Allah dan sebagai hamba, mereka mesti selalu berhubung dengan-Nya. Dan doa adalah “medium” perhubungan itu.

Doa adalah cara hidup yang menjadi tradisi orang soleh. Bermula daripada bangun tidur, membersihkan diri, masuk tandas, keluar tandas, memakai baju, melihat cermin, makan, minum, memakai kasut, menaiki kenderaan, melihat pemandangan, bersin, menguap hinggalah tidur semula…semuanya ada doanya yang khusus. Malah, untuk melakukan hubungan suami isteri pun, mesti dimulakan dengan doa.

Itulah uniknya Islam berbanding dengan agama-agama yang lain. Ajaran Islam begitu kaya dengan doa. Bukan sahaja untuk melaksanakan perkara yang besar, tetapi untuk melaksanakan perkara yang dipandang remeh sekali pun, Islam mengajar kita untuk berdoa.

Allah mendidik manusia agar selalu dan sentiasa berdoa kepada-Nya. Bukan itu sahaja, malah Allah mengajar manusia tentang doa yang bagaimana seharusnya diajukan kepada-Nya. Ayat-ayat al-Quran yang berupa doa ialah bukti betapa Allah begitu menitikberatkan agar manusia berdoa kepada-Nya. Tidak syak lagi, berdoa adalah satu ciri orang yang “melalui jalan yang lurus dan diberi nikmat oleh Allah” seperti yang ditegaskan dalam surah al-Fatihah.

Para rasul dan nabi juga mendidik umatnya dengan doa. Nabi Muhammad s.a.w. khususnya, telah mengajar kita untuk berdoa pada setiap masa dan ketika. Tradisi itu diteruskan lagi oleh para sahabat, tabiin, tabi‘ al-tabiin dan generasi salafussoleh. Alhasil, khazanah doa sentiasa bertambah daripada satu zaman ke satu zaman.

Mengapa begitu sekali kepentingan doa kepada manusia? Ini disebabkan beberapa faktor. Antaranya termasuk:

1. Mengekalkan Hubungan dengan Allah Setiap Masa

Manusia memerlukan Allah lebih daripada segala keperluan lain. Tanpa Allah dalam hatinya, manusia umpama ikan yang ketiadaan air. Jiwanya akan mati. Manusia akan hilang ketenangan, kebahagiaan dan keharmonian walaupun dia memiliki segala-galanya. Tanpa hubungan dengan Allah yang berkekalan, manusia umpama layang-layang putus tali yang akan dihanyutkan oleh gelombang hidup tanpa arah tuju yang pasti.

Doa jua sebenarnya adalah zikir – yakni interaksi dan komunikasi kita kepada Ilahi dengan cara yang paling harmoni. Allah memerintahkan kita agar berdoa untuk mengingati-Nya kerana dengan mengingati Allah, hati akan menjadi tenang. Dan ketenangan itulah hakikatnya sebuah kebahagiaan. Demikian yang dijelaskan dalam firman Allah yang bermaksud: “Yakni mereka yang beriman dan hati mereka menjadi tenang dengan mengingati Allah. Ingatlah, hanya dengan mengingati Allah hati menjadi tenang.” (Surah al-Ra‘d 13: 28)

Jelas di sini, orang yang sering berdoa tidak akan dilanda stres yang melampau dan kemurungan dalam hidup. Hal ini kerana talian hayatnya sentiasa bersambung dengan Allah apatah lagi apabila dia memerlukan pertolongan. Terbukti hasil kajian dan pemerhatian sejak zaman berzaman, orang yang kuat beragama jarang sakit jiwa apatah lagi membunuh diri. Apa yang agama telah beri sehingga mereka berani menghadapi hidup ini? Ya, doa!

2. Keupayaan Melakukan Perubahan ke Arah Kebaikan Secara Berterusan

Hidup orang yang berjaya sentiasa lebih baik daripada sebelumnya. Sama ada kebaikan itu berkait dengan Allah mahupun yang berkait dengan manusia. Oleh sebab itu, manusia perlu sentiasa berubah –daripada kurang baik kepada baik. Daripada baik kepada yang lebih baik (cemerlang).

Allah berfirman yang bermaksud: “Dan Dia memperkenankan (doa) orang yang beriman serta mengerjakan amal yang soleh dan menambah (pahala) kepada mereka daripada kurnia-Nya.” (Surah al-Syura 42: 26)

Doa adalah satu kunci menggamit pertolongan Allah untuk melaksanakan perubahan diri yang dimaksudkan. Doa itu harapan. Manakala usaha adalah langkah untuk merealisasikan harapan itu. Dengan berdoa kita mengharapkan sebaik takdir. Dengan berusaha kita melaksanakan sebaik tadbir. Apabila bergabung tadbir dan takdir yang baik, insya-Allah kita akan berubah ke arah yang lebih baik.

3. Didampingi oleh Malaikat dan Menghalau Syaitan

Dalam mengharungi kehidupan ini, sentiasa ada makhluk lain yang mengiringi dan mendampingi kita. Apabila kita makan tanpa berdoa misalnya, syaitan akan menumpang makan bersama kita. Akibatnya, makanan yang kita makan akan hilang keberkatannya. Tenaga yang diperoleh daripada makanan itu akan terarah kepada kejahatan dan menjadi sebab kita terjerumus ke neraka.

Syaitan akan menghasut dengan menimbulkan berapa keraguan, ketakutan, kerakusan dan lain-lain rasa yang negatif dalam hati. Inilah punca kejahatan, kegelisahan dan kegagalan dalam kehidupan seseorang. Syaitan umpama virus pada hati manusia. Jadi, hanya dengan mengingati Allah menerusi doa kita mampu menghalau syaitan yang sentiasa ingin mendampingi kita.

Sebaliknya jika kita berdoa, malaikat akan mendampingi kita dan akan memberi sarana atau input yang baik-baik ke dalam hati kita. Malaikat akan dekat kepada orang yang dekat dengan Allah. Kesannya, manusia yang sentiasa didampingi malaikat akan lebih terkawal kata-kata, pertimbangan, keputusan dan tindakan dalam hidupnya. Oleh sebab itu berdoalah, insya-Allah malaikat akan hampir, syaitan pula akan meminggir!

4. Membentangkan Masalah dengan Jelas dan Tuntas

Doa secara tidak langsung menyebabkan kita membentangkan masalah kita untuk diselesaikan. Apa sebenarnya masalah kita? Inilah langkah pertama untuk menyelesaikan sebarang masalah. Malangnya, ramai orang yang hanya gelisah tidak tentu arah apabila ditimpa masalah. Sedangkan mereka tidak tahu pun apa masalah mereka yang sebenar.

Doa telah menolong kita menukarkan masalah ke dalam bentuk perkataan. Begitu yang ditegaskan oleh pakar-pakar psikologi. Dengan berdoa, masalah yang asalnya kabur dan samar menjadi jelas dan terang. Doa adalah seperti menulis masalah kita di atas kertas. Bukankah dengan berdoa hakikatnya kita “berkata-kata” dengan Allah.

Jadi, semasa kita bermohon, merayu, mengadu dan meluahkan segala-galanya kepada Allah, kata-kata yang kita gunakan semasa itu seperti membentangkan masalah kita secara tidak langsung. Ini akan memberi kelegaan, malah masalah yang dinyatakan dengan terang itu sudah menjadi separuh selesai!

5. Melahirkan Rasa Berkongsi Menghadapi Sebarang Kebuntuan

Menurut pakar psikologi, tidak ramai manusia yang begitu kuat sehingga mampu menanggung masalah paling sulit dan perit secara bersendirian. Ada kalanya kita sangat memerlukan insan lain untuk berkongsi rasa dengan kita. Malah dalam keadaan itu adalah lebih baik untuk menceritakan kepada orang lain akan masalah itu.

Namun ada kalanya masalah kita terlalu personal yang kita rasa malu atau enggan untuk diceritakan kepada orang lain. Kadangkala kebimbangan kita terlalu tinggi sehingga tidak dapat berbincang pun dengan saudara-saudara atau sahabat-sahabat terapat. Pada ketika itu kepada siapa kita hendak mengadu?

Ya, sudah pasti kepada Allah. Berdoalah, Allah sentiasa sedia dan setia untuk mendengarnya. Firman Allah yang bermaksud: “Jika hamba-Ku bertanyakan kamu tentang Aku, maka sesungguhnya Aku dekat. Aku sentiasa mendengar permohonan doa tatkala berdoa kepada-Ku. Oleh sebab itu, wajarlah mereka sahut seruan-Ku dan beriman dengan-Ku, semoga mereka beroleh petunjuk.” (Surah al-Baqarah 2: 186)

Berdoa memberikan kita rasa “tidak bersendirian” dalam menghadapi sebarang kebuntuan hidup. Malah kita akan berasa keberadaan Allah bersama kita untuk berdepan dengan apa jua masalah. Benarlah kata pujangga Profesor Dr. Hamka, “Ketika pintu di bumi sudah tertutup segalanya, pintu ke langit sentiasa terbuka!” Maksudnya, apabila manusia tidak boleh lagi diharap mendengar pengaduan kita, Allah sentiasa dekat untuk mendengar segala rintihan dan harapan.

6. Mengaktifkan Diri untuk Berusaha

Doa adalah langkah pertama dan utama ke arah suatu tindakan. Dengan berdoa, kita sebenarnya telah mengaktifkan minda dan jiwa kita untuk bertindak. Malah dengan berdoa umpama menyalakan satu jana kuasa dalam diri yang akan menghasilkan tenaga yang sangat kuat untuk meledakkan tindakan.

Terdapat saintis menyatakan bahawa doa juga adalah sejenis tenaga. Iaitu sejenis tenaga yang boleh dihasilkan dari dalam diri seseorang hasil berhubung dengan yang Maha Kuasa. Inilah hikmah mengapa Allah menyuruh kita berdoa. Kita bukan sahaja mendapat kekuatan daripada Allah, malah akan mendapat kekuatan daripada tenaga dalam diri yang telah dikurniakan oleh Allah secara tabii.

Semasa berdoa seorang manusia akan meningkatkan keupayaan tenaga mereka yang terhad dengan menyerahkan diri kepada sumber tenaga yang tidak terhad. Interaksi dan komunikasi kepada sumber tenaga yang Maha Hebat ini akan meledakkan satu kuasa yang sangat kuat. Inilah sumber tenaga dan kuasa yang dimiliki oleh para Rasul apabila berdepan dengan kuasa-kuasa besar yang menghalang kebenaran yang hendak disampaikan kepada umat mereka.

Dengan kuasa Allah impak daripada doa-doa mereka, Namrud, Firaun, Kafir Quraisy yang punya kuasa, harta dan senjata tewas apabila berdepan dengan Nabi Ibrahim a.s, Nabi Musa a.s dan Nabi Muhammad s.a.w. Doa adalah antara faktor kejayaan itu. Hakikat inilah yang ditegaskan oleh Rasulullah s.a.w menerusi sabdanya yang bermaksud: “Doa itu adalah senjata orang Mukmin, tiang agama dan cahaya langit dan bumi.” (Riwayat al-Hakim no. 1218)

Walaupun doa itu satu senjata, tetapi jarang sekali digunakan untuk memusnahkan musuh. Sebaliknya ketika berdepan dengan kaumnya, seseorang Rasul sentiasa mendoakan agar kaumnya mendapat hidayah dan taufik daripada Allah, bukan doa menghancurkan mereka. Di Taif umpamanya, setelah Nabi Muhammad s.a.w. diusir dan dilukai, Baginda telah berdoa untuk mendapat hasil jangka panjang (yakni taufik dan hidayah kepada zuriat penduduk Taif pada masa akan datang). Baginda menolak tawaran malaikat memberikan hasil yang “instant” iaitu dihempap gunung ke atas penduduk Taif.

7. Menghindar daripada Penyakit Fizikal

Doa bukan sahaja mampu menyihatkan hati tetapi juga menyihatkan fizikal kita. Sains perubatan berjaya memusnahkan penyakit yang disebabkan oleh bakteria dan virus yang telah membunuh berjuta-juta manusia. Tetapi sains perubatan tidak berjaya melawan kemusnahan minda dan fizikal yang bukan disebabkan oleh virus atau bakteria. Sains tidak mampu menyekat emosi kerisauan, ketakutan, kebencian, kemurungan yang semakin menular dalam kehidupan manusia masa kini dengan pantasnya.

Semua emosi yang negatif itu memberi impak langsung kepada fizikal manusia. Apa kata Wiliam James (pakar perubatan dan psikologi) tentang risau? Beliau berkata, “Tuhan boleh mengampuni segala dosa kita, tetapi sistem urat saraf kita tidak.” Penyakit jantung, darah tinggi, kencing manis, sakit kerongkong malah lumpuh juga boleh disebabkan oleh kerisauan, ketakutan dan penyakit-penyakit hati (mazmumah) yang lain.

Tetapi dengan berdoa kita boleh mengubat hati dan fikiran daripada serangan sifat-sifat mazmumah yang juga menjadi punca kepada penyakit-penyakit fizikal. Plato pernah berkata, “Kesalahan ahli perubatan adalah cuba mengubat tubuh badan tanpa mengubat fikiran. Sedangkan fikiran dan jasad adalah satu dan tidak harus dirawat berasingan.” Dan kesalahan ini akhirnya diakui oleh pakar perubatan moden dengan mewujudkan satu “ubat” baru yang dikenali sebagai psikosomatik (gangguan fizikal manusia yang timbul akibat masalah psikologi, seperti rasa bimbang, takut dan lain-lain) – ubat yang merawat fikiran dan tubuh badan.

Salah Faham Tentang Doa

Itulah antara sebab mengapa Allah perintahkan kita berdoa. Kebaikan dan manfaat doa bukan untuk Allah tetapi untuk manusia. Jika orang yang sabar, perkasa, mulia, berilmu seperti para rasul dan nabi itu pun sentiasa berdoa, apatah lagi kita yang lemah, jahil dan “biasa-biasa” sahaja berbanding mereka.

Dengan hujah di atas, maka ternafilah anggapan negatif sesetengah pihak tentang doa. Ada pihak yang menganggap doa itu hanya satu pemberitahuan kita kepada Allah tentang apa yang mereka inginkan. Lalu apabila tidak ada apa yang diinginkan, tidak perlulah berdoa. Anggapan ternyata salah kerana doa itu bukan permohonan tetapi juga satu kewajipan. Maka berdoa itu merupakan lambang kehambaan kita kepada yang Maha Esa. Oleh sebab itu, doa perlu dilakukan setiap masa dan ketika kerana kita ialah hamba Allah selama-lamanya.

Selain itu doa juga bukan sesuatu yang pasif. Maka apabila sudah tiada usaha yang boleh dibuat lagi, menyerah dan pasrah sajalah kepada Allah. Anggapan sesetengah orang ini ternyata salah kerana doa itu sesuatu yang pro-aktif. Malah doa itu perlu dibuat sebelum kita melakukan sesuatu kerja, semasa dan selepasnya. Doa penting pada permulaan, pertengahan dan pengakhiran sesuatu tindakan.

Islam tidak mahu umatnya berdoa setelah berasa lemah. Jangan berdoa dan berharap kepada Allah hanya setelah doktor mengakui ketidakupayaannya. Tetapi berdoalah kepada Allah sebelum kita menemui doktor untuk mengubat penyakit itu. Doa sesuatu yang bersifat proaktif, bukan jumud dan pasif. Lihatlah, dengan keberkatan doalah Nabi Musa mampu berdepan dengan Firaun dan ahli sihirnya. Dengan doa juga, Nabi Ibrahim meruntuhkan berhala-berhala sembahan Namrud. Malah Nabi Muhammad berdoa ketika memulakan hijrah. Allah berfirman yang bermaksud: “Sesungguhnya Tuhanku, benar-benar Maha Mendengar (memperkenankan) doa.” (Surah Ibrahim 14: 39)

Oleh yang demikian tidak mungkin orang yang benar-benar berdoa untuk mendapat hidayah, rasa berat hati untuk menghadiri majlis-majlis tazkirah dan pengajian. Tidak mungkin orang yang memohon untuk mendapat rezeki yang halal, tetapi terus bermalas-malas tanpa melakukan apa-apa pekerjaan. Jadi, jagalah integriti dalam berdoa dengan menyejajarkan antara doa dengan usaha. Misalnya, janganlah setiap hari berdoa minta kesihatan tetapi terus merokok. Jika demikian, apakah kita tidak terasa yang kita sedang “mempermainkan” doa dan kepada siapa yang kita berdoa itu?

Ingatlah bahawa perbezaan antara orang yang berdoa dengan orang yang tidak berdoa umpama orang hidup dengan orang yang mati. Dengan berdoa kita mengaktifkan tenaga dalaman kita yang mampu menghadapi apa jua masalah dan cabaran hidup. Jangan cuba hidup bersendirian kerana hidup ini perlukan teman. Dan sebaik-baik “teman” ialah “Teman daerah tinggi” (al-rafiq al-a‘la) yang disebut berulang kali oleh Rasulullah s.a.w. menjelang wafatnya.

Jadi, berdoalah… nescaya kita tidak akan bersendirian dalam menghadapi apa jua masalah dan kebuntuan. Ada “Teman daerah tinggi” yang setia dan sentiasa mendengarnya!

Renungkan ungkapan berikut: “Doa diperkenankan bukan semasa kita meminta tetapi semasa kita berusaha!”

Feedback

41
  • damaikasih

    Mmg benar. Kita perlukan pertolongan dan rahmat Allah sepanjang masa. T.kasih ustaz.

  • kak nor

    Assalamualaikum Ustaz, Semoga Allah kurniakan ganjaran kepada Ustaz atas perkongsian ilmu ini dan semoga dapat terus kita bersama-sama amalkan secara istiqamah. Berdoa untuk mengadu dan meminta kepada ‘al- rafiq al-a’la’ bukan sahaja untuk diri kita sendiri tetapi juga untuk ibu bapa, suami/isteri, anak& cucu, keluarga & kerabat, sahabat & rakan dan seterusnya seluruh mukminin mukminat dan muslimin muslimat. Didoakan agar Ustaz & keluarga sentiasa dirahmati-Nya.

  • wardah

    Salam us…

    Syukran atas entry yang penuh makna ini…

  • noazhatori

    salam ustaz..

    bagaimana kalau seseorang itu tidak berdoa sebab terasa dirinya jauh dengan Allah – rasa rendah diri sebab melakukan banyak dosa terhadap-Nya?

    takut2 kalau doanya tak diterima – sebab dosa2 yang telah dilakukannya..

    bagaimana ustaz?

  • nabihah

    salam ustaz,
    perlukah kita menyebutkan permintaan kita dgn jelas ketika berdoa sedangkan Allah dh tahu pun apa yang kita niat dlm hati?

  • gentarasa

    Salam Kak,
    Syukran atas doa. Begitu jua malah lebih lagi untuk kakak dan keluarga. Amin.

  • gentarasa

    Salam,
    Lebih banyak dosa kita, lebih banyak sepatutnya kita berdoa. Minta diampunkan. Minta diberi kekuatan untuk tidak mengulanginya lagi. Dan bukankah doa itu satu pengabdian bukan satu pemberitahuan mahupun sekadar permintaan?

  • gentarasa

    Ya,
    Sebab ia memberi kesan pada hati kita. Bukan pada Allah. Ingat, doa bukan untuk memberitahu, tetapi untuk membuktikan kita hamba. Hamba wajib meminta dan mengadu.

  • nabihah

    terima kasih ustaz.
    saya terlalu byk permintaan..smpi kdg2 malu nak meminta.

  • Hafriz

    Assalamu’alaikum…

    Benar kata ustaz, saat ditimpa musibah…maka saya berdoa. Jiwa jadi lapang. Hati jd tenang… Dengan segeranya, Allah maqbulkan permintaan. Alhamdulillah…

    Namun, ketenangan itu akan lebih hangat dirasai apabila kita berdoa saat kita senang. Bukan hanya berdoa apabila ditimpa musibah…

  • naf_qayyma

    ..membaca artikel dari ustaz memberi ruang untuk diri muhasabah kembali…bagaimana selama ini meminta padaNYA …

    Adakah hanya sekadar meminta ..tidak dari hati..?

    hanya empunya diri..dan ALLAH mengetahui

  • SiNoMoSa

    Salam Ustaz,

    Terima kasih atas perkongsian.

  • insan kerdil

    salam ustaz, saya ingin bertanya perlukah jika kita ingin memiliki cinta insani dengan bersyarat? dan memang sepatutnyer ke, jika kita sudah mengasihi seseorang dengan sepenuh hati..tapi masih ada syarat2 nyer? saya masih keliru…

  • hanif

    Saya mempunyai masalah dimana saya sukar untuk mengingat ilmu untuk jangka masa yang lama. Saya melakukan banyak pembacaan, tetapi ilmu itu tidak banyak yang melekat di kepala saya. Saya sedar betapa pentingnya mahasiswa seperti saya untuk menuntut ilmu-ilmu yang pelbagai,bukan ilmu yang dipelajari di dalam kuliah sahaja. Walaupun saya banyak membaca, tetapi tindak tanduk saya masih ditakuk lama. Saya ingin memohon bantuan dari ustaz untuk menjawab persoalan saya kerana saya masih belum mampu untuk mencarinya sendiri. Bagaimanakah saya dapat meningkatkan pemahaman saya terhadap ilmu dan mengekalkannya untuk jangka masa yang panjang?

  • Kak Nisha

    Assalamualaikum semua,

    Terima kasih ustaz.

  • amyrose

    salam ustaz, waktu ini saya melalui pengalaman hidup yang paling mencabar. sehingga kadang rasa, tiada siapa dapat membantu. namun alhamdulillah masih mempunyai keluarga yang menyokong dan ya, Yang Maha Kuasa Maha Agung, tempat saya mengadu. laman ustaz disyorkan adik, untuk merawat jiwa yang lara ini. terubat rasa membaca tulisan ustaz dan menguatkan keyakinan untuk hidup dan terus menghadapi ujian hidup ini dengan tabah dan redha disamping terus bermohon berdoa padaNYA, InsyaAllah

  • Ridhwan Bin Abdullah

    ‘ Doa Otak Ibadah ‘. Hadis nabi ini walaupun pendek tetapi jika diteliti dengan mendalam maka kita akan bertemu dengan jawapan penghujungnya iaitu Segala bentuk ibadah yang dilakukan tanpa doa seolah-olah manusia yang tidak punyai alat yang cukup berharga kepada manusia iaitu OTAK. Rasul juga meletakkan kepentingan doa itu dengan gambaran Otak yang amat perlu dan berharga kepada seorang manusia…Allah lebih Mengetahui

  • nurshariza

    assalamualaikum ustaz,

    baru semalam saya bertanya kepada kawan-kawan berkenaan soal doa. dan alhamdulillah ustaz telah membincangkannya dengan panjang lebar berkenaan hal ini.

    harap ustaz dapat memberi sedikit penjelasan berkenaan beberapa perkara ini kerana saya masih agak kurang paham mengenainya.

    1. adakah terdapat sebarang limitasi dalam berdoa?

    contohnya saya ingin memohon agar kawan-kawan saya yang masih belum memeluk agama islam agar diberi petunjuk dan hidayah Allah untuk memeluk islam. bukan sekadar kawan-kawan sahaja, malahan termasuklah keluarga mereka. saya berharap dengan penghijrahan mereka beserta keluarga, maka kawan-kawan saya tidaklah akan merasa begitu tertekan kerana tidak perlu menghadapi tentangan dari keluarga.
    jika dilihat dari satu sudut, perkara sekeluarga memeluk islam ada berlaku tetapi sangat jarang. dan jauh di sudut hati kecil saya merasakan ia seperti mustahil namun saya tidak menolak ia boleh berlaku dengan izin Allah.

    adakah ‘rasa mustahil dan sangat jarang berlaku ‘ itu dikira saya tidak yakin dengan kekuasaan Allah dan akan menyebabkan doa saya tidak dimakbulkan..?

    2. permintaan yang tidak munasabah

    seorang kawan saya menyatakan bahawa kita tidak boleh meminta perkara-perkara yang tidak munasabah. contohnya seperti mahu kaya pada esok hari, mahu kembali ke zaman lampau dan sebagainya. sedangkan bagi saya Allah satu-satunya tempat untuk bermohon segala yang dirasakan mustahil.

    bolehkah ustaz menerangkan lebih lanjut berkenaan perkara ini..? saya agak keliru dalam soal munasabah dan juga Allah sebagai tempat pengharapan untuk segala sesuatu.

    terima kasih ustaz. semoga Allah memberi limpah rahmat kepada ustaz dengan segala ilmu yang telah ustaz curahkan kepada kami.

    terima kasih.

  • gentarasa

    Salam,
    Teringat pertanyaan Imam Safie terhadap gurunya… lalu gurunya berkata, “jauhi dosa, ilmu akan datang!”

  • pacifist

    salam ustaz.
    ada org hanya bersandar kpd doa semata2.cthnya masalah palestin.ramai yg menganjurkan supaya kita berdoa utk kemenangan mereka.tanpa melakukan tindakan susulan.sepatutnya doa+usaha+tawakkal.sy tidak menafikan fadilat berdoa.dan Allah jua mampu memakbulkan doa kita.Malahan Allah juga mampu mengirimkan burung Ababil utk memusnahkan yahudi zionis.ttp cukupkah hanya berdoa?dan ada yg mengatakan jihad hawa nafsu lebih penting/utama/besar.bknkah org yg mahu berperang sudah berjaya menundukkan nafsunya drp menetap dlm daerah yg penuh tipu daya?(harta/pangkat/anak isteri dll)Nabi dan para sahabat berjihad hawa nafsu selepas kembali dr medan perang.bkn menidakkan perang.kalau hanya berdoa menjadi sandaran.bukankah doa rasul lebih mustajab drp doa kita?ttp kenapa rasul turut berperang dan mendapat kecederaan?itu menunjukkan peperangan juga satu jalan.(hingga ke hari ini)bkn hanya menjadi subjek sejarah utk dikenang oleh umat Islam.mengapa takut menyatakan perang adalah jawapan kpd kebiadapan zionis?kita bkn tidak mampu, ttp cinta dunia takut mati.lihatlah kemewahan yg diimpahkan kpd negara Arab/islam ttp masih tidak dpt menggegarkan zionis.malahan menjadi talibarut dgn menyediakan pengkalan tentera asing/kafir.Anjuran untuk membentuk kekuatan dalaman individu muslim itu satu kaedah dan tidak dpt dinafikan ttp perang adalah jawapannya.bila sudah menemui jawapannya.terpulang kpd kita untuk berorganisasi/mempersiapkan diri @ lebih selesa dgn pengertian jihad yg kita pegang.
    -jarum yahudi juga meresap dlm gerakan Islam.cth:sebuah gerakan kerohanian telah menggugurkan rukun jihad menentang penjajah di India suatu masa dahulu, atas alasan taat kpd pemerintah.sedangkan british pd waktu itu adalah penjajah!sbb itu mereka dibiarkan bebas di mana2 negara, kerana mereka bkn menjadi ancaman kpd imperialis.meeka ‘asyik’ dgn ibadat tanpa mempedulikan nasib yg menimpa saudara seugama.hinggakan seorang abid yg berjuaraian airmata beribadat di dlm masjid ditegur kerana asyik beribadat tanpa mempedulikan masalah umat.
    -sy tertarik dgn frasa’ yahudi tidak takut jika saf solat subuh tidak penuh'(kita terima bulat2 kata mereka).jika penuh sekalipun tanpa diterapkan semangat jihad dan masalah umat.jadilah juga mereka spt ahli ibadah tadi.
    -maaf jika ulasan terkeluar drp tajuk, hanya pandangan kerdil sy

  • pacifist

    “Ya Allah, ampunilah dosaku, kebodohanku, dan hal-hal yg Engkau lebih mengetahuinya daripadaku”

  • gentarasa

    Salam,
    Jika anda yakin dengan tafsiran begitu… ya silakan, berperanglah. Pada yakin yakin dengan jihad yang mengorbankan masa, tenaga, harta dan kemudian baru nyawa… silakan. Asalkan berjihad. Tetapi ada juga yang asyik nak berperang, tetapi asas-asas Fardhu Ain tidak selesai, ibadah-ibadah khususnya lintang pukang, akhlaknya kasar. Teringat bagaimana keadaan tentera Sultan Muhammad Al Fatih dan Sultan salehuddin Al Ayubi, dan terfikir bagaimana pula tentu Abu Sayyaf, dan pejuang-pejuang Islam terkini… terasa ada yang hilang. jangan tanyakan umat Arab, tetapi tanyakan kita… diri kita. Jika ada gerakan kerohanian yang menggugurkan tuntutan Jihad, itu bukan gerakan kerohanian. Jihad melawan hawa nafsu melahirkan keberanian yang tulus dan luar biasa. tanpa jihad melawan hawa nafsu, keberanian akan melahirkan kekejaman, kasar dan semberono. Ingat lagi bagaimana tentera Ikhwan yang melazimi zikir berada di barisan depan menghancurkan kubu Barlev dalam perang Ramadhan antara Mesir dan israel.

    Saya kira tidak ada abid yang berjuraian air mata yang tuli apabila genderang jihad dipalu. Namun, mereka bukan orang yang melulu tanpa tertib dan buta aulawiyat berdepan dengan waqi’ dan strategi. Apapun, usahakanlah dengan keyakinan saudara… yang penting berjihad. Teruskan. Wallahua’lam.

  • rin

    Salam Ustaz,

    Bagaimana pula apabila sesorang berdoa tetapi diwar-warkan kepada orang ramai? Bukan kah berdoa itu sepatutnya dilakukan dalam hati?
    Apa komen ustaz..

  • me n myself

    1) terima kasih banyak ustaz atas perkongsian yang amat bermakna ini..

    2) mohon ustaz pelbagaikan bahan ilmiah ustaz akan isu2 masa kini seperti buang anak, zina, dadah, rempit dan sebagainya untuk tatapan semua..

    terima kasih..

  • Cikgu khaty

    A.km. Ustaz. Terima kasih berkongsi ilmu. Mudah-mudahan doa kita semua diperkenankan Allah. Bagaimana pula kita boleh membantu mereka yang putus asa berdoa, dan menganggap, doanya sia-sia.

  • Sarzi

    solat itu doa dan doa itu solat.

    To Pacifist, sila baca sejarah ulama sufi dan jgn buat assumption bukan2 tentang gerakan kerohanian.

    Regards.

  • habibah al-farisi

    salam….
    wah…
    satu lagi isu lapuk yg mendapat kupasan baru dan menyegarkan
    dari ust pahrol…
    i love you style!!!!
    yeahhhh

  • NurKasih

    Salam Ustaz.. kali ini terlewat menatap post yg terbaru tp Alhamdulillah..tidak terlambat..
    Benar kata Ustaz.. saat berdoa terasa dekat sekali dengan Allah..bila hati dan fikiran menyatu..tiada lagi kata2 yang terucap hanya airmata yang berbicara.. Jazakallah kerana terus menyirami hati2 kami yang sering dahagakan ilmu..
    Semoga Ustaz diberi kesihatan dan kekuatan untuk terus mendidik dan mendidik….

  • kakYah

    minta izin ustaz untuk diperpanjangkan tarbiyah ini ke facebook.

  • Ahmadi

    Assalamua’laikum…Alhamdulillah…Selalu yg terjadi pd sy..ustaz…apabila dibaca mukaddimah do’a saja…hati terus jadi aman..belum lagi berdoa.. sedangkan sebelum itu, bermacam perkara yg sy ingin minta dari Allah..membuatkan saya tersenyum…sy memerlukan pertolongan Allah…tapi bila nak meminta fikiran terus jadi lapang seolah-olah tiada apa masalah. Sedangkan sebelum itu sy bagaikan seorang pemikul beban yang berat sedang mendaki bukit yg tinggi. Matilah saya begini.. bila saya kembali menjalani routine harian..masalah(penyakit) membebani kembali.. sehingga saya jadi bingung…..berilah sedikit panduan/pendapat ustaz.

  • nur fatin

    Alhamdulillah. satu pengisian yang amat baik untul insan bernama student… Jangan berhenti harap dari Rahmat ALLAH, Allah pun dah pesan dalam surah Az-zumar ayt 72( if im not mistaken)… Jadikan iktibar and selalu berdoa kepada Allah

  • adie

    apa perbezaan antara muslimin wa muslimat dan mukminain wa mukminat dlm doa yang selalu dibaca. tolong jelaskan

  • gentarasa

    Salam,
    Secara mudah Islam dan beriman itu sesuatu yang berbeza. Muslim setakat percaya, tetapi mukmin itu yakin. Wallahua’lam.

  • ZACK

    ustaz, terima kasih di atas entri ustaz . Cuma saya ada pohon pandangan ustaz. Ada orang berdoa dengan ayat mereka sendiri , bahasa yang mudah dan terus kepada point. Ada yang berdoa menggunakan doa yang ayatnya panjang mengikut yang disarankan oleh ulamak ( ada buku khas doa , doa makan , doa menaiki kenderaan dan sebagainya ) . Bagi mereka yang berdoa mengikut ayat mereka sendiri mereka merasa doa mereka tidak lengkap. Jadi , perlukah kita menghafal doa-doa dan berdoa mengikut kaedah tertentu . Terima kasih

  • gentarasa

    Cubalah yang doa-doa yang muktabar. Tetapi yang paling baik adalah doa yang dari hati. Dan untuk itu mungkin dari lafaz kata kita sendiri. Yang paling utama, rendah diri, penuh harapan dan penuh yakin dimakbulkan.

  • syidah

    salam ustaz,
    sungguh sy suka entri ustaz ni..memberi ketenangan pada jiwa yg sekian lama mencari ketenangan
    Allah mmg sgt dekat, pertolongan Allah juga sgt dekat
    ustaz sy ingin bertny, spt seorg shbt telah bertanya diawal komen ini
    jika hati kita, ketika kita berdoa, kdg2 tidak yakin bhwa ianya mungkin kerana pelbagai keadaan dan mslh yg melanda skrg, adkh sy berdosa?
    adkh doa sy termasuk doa2 yg tidak dimakbulkan?

  • gentarasa

    Teruskan berdoa walau apapun rasa kita sewaktu berdoa. Keyakinan itu bermula dengan ketidak yakinan yang dididik dan diperingatkan. Berdoa bukan untuk dimakbulkan tetapi tanggung jawab kita sebagai hamba… perlu dan wajib berdoa. Wallahua’lam.

  • ida

    salam ustz..
    tQ untuk tajuk yang ringkas tapi isi yang cukup padat..
    btul uztaz,saya masih ingat kata2 mak sy untuk adik beradik sy
    ‘lepas s0lat mintak la d0a..SOMBONG kalau kita tidak berd0a pdNya..
    m0ga tiap d0a2 sy dimakbulknNya..ameen~

Leave a Reply

%d bloggers like this: