Remaja

We Only Miss Or Madam!

Oleh Rasyidah Rahmat  •  5 Dec 2018  •  4 min baca

“Dan antara tanda-tanda kebesaran Allah ialah, Dia menciptakan untukmu isteri-isteri daripada jenismu sendiri, agar kamu cenderung dan berasa tenang dan tenteram kepadanya, dan dijadikan-Nya antara kamu perasaan kasih dan sayang. Surah al-Rum: 21

Subhanallah! Bila kita mentadabbur (menghayati / mengambil pengajaran) ayat ini, sungguh terasa betapa Allah S.W.T sangat memahami fitrah hamba-Nya yang dicampakkan ke dalam hati masing-masing perasaan kasih dan sayang.

Hakikatnya, perasaan ini sudah pastinya bertujuan. Benar bukan? Perasaan itu bertujuan agar kita dapat bersama-sama mengejar cinta Allah dengan kekuatan yang lebih lagi.

Apabila kita berumah tangga, kekuatan kita umpama 1+1=3. Begitulah sinerginya.

Bila Mahu Berkahwin?

Bila seseorang masuk ke usia 20-an mulalah diri dipersoalkan perihal kahwin dan yang sewaktu dengannya.

Adakalanya masyarakat mudah sekali memberi gelaran kepada orang yang belum berkahwin dengan panggilan andartu (anak dara tua) dan bujang terlajak. Sedangkan Allah S.W.T tidak pernah memberi gelaran sebegitu kepada hamba-hamba-Nya.

Jadi, mengapa kita suka benar memberi gelaran sesuka hati tanpa memikirkan apakah perasaaan seseorang itu apabila mendengar kata-kata yang kita ucapkan.

Dalam Islam tiada istilah andartu mahupun bujang terlajak. Tetapi, cuma dua sahaja iaitu berkahwin atau belum berkahwin.

Jika kita melihat kawan-kawan kita yang belum mendirikan rumah tangga jangan pula kita sentiasa bertanya bila nak berkahwin, tiada calonkah, kenapa memilih sangat atau apa jua persoalan yang mungkin boleh mengguriskan hati mereka.

Apa yang lebih tepat adalah memberikan kata semangat dan mendoakan mereka. Jodoh itu rahsia Allah.

Cepat atau lambat tidak pernah memberi kesan kepada hidup seseorang. Kerana kita harus sedar, tujuan penciptaan kita di dunia dan tujuan perkahwinan itu diciptakan oleh Allah buat hamba-Nya.

Kahwin Di Syurga

Saya suka mendengar kata-kata;

‘Tidak sempat kahwin di dunia, kita kahwin di syurga’

Masya-Allah! Hebat sungguh ungkapan ini. Mengapa? Bukankah kahwin di syurga itu berganda-ganda lebih mulia?

Namun begitu, jangan salah faham dengan kenyataan saya ini. Saya bukan menafikan tentang soal perkahwinan di dalam hukum syarak mahupun perkahwinan dalam Islam.

Tetapi apa yang ingin saya sampaikan di sini. Adakalanya kita (lebih-lebih lagi para pemuda pemudi) kadangkala terlalu asyik dengan perihal kahwin sehingga menjadikan hammasah seorang pemuda itu hambar dan lemah.

Asyik sangat memikirkan soal baitul Muslim sehingga perkara yang perlu diutamakan terabai begitu sahaja.

Bangun anak muda! Jangan terlalu melayani ujian rasa ingin bernikah di saat persediaan ilmu, mental, emosi, jasmani, rohani, material masih zero. Jangan sesekali!

Perkahwinan ini sebuah ikatan yang suci dan memberi kesan yang sangat besar dan hebat untuk agama kita.

Islam meletakkan panduan buat umatnya dalam soal perkahwinan dengan aturan yang cukup cantik dan tegas berhikmah. Mengapa saya kata begitu?

Kerana hal kahwin bukan perkara main-main. Bukan macam kita waktu kecil main kahwin-kahwin dengan anak jiran sebelah rumah. Tidak sama sekali!

Perkahwinan itu sangat membutuhkan komitmen yang seimbang antara pasangan. Penyatuan dua hati yang sungguh rumit sudah pasti tidak mudah persediaannya. (Mahu jaga hati sendiri pun payah, inikan pula bila tambah lagi satu hati) Kena ingat tu ya!

Prioriti Diri

Baiklah, sekarang ini saya yakin semua orang sudah berlapang dada. Berapa usia pun anda sekarang, itu bukan menjadi hal yang utama.

Tetapi, yang menjadi hal utama seharusnya anda fikir ketika hati sudah mula berniat untuk mendirikan rumah tangga adalah bagaimana anda membawa keluarga anda supaya semakin kuat dan hebat mencintai Allah!

Adik-adik remaja sekalian di luar sana, selagi kita masih belum berkahwin kita masih remaja dan dalam golongan belum berkahwin. Masih digelar Miss, Cik, Cikpuan, Kakak, Sir, dan yang sewaktu dengannya.

Kita fikir seketika apakah prioriti kita di saat ini dan sudah bersediakah untuk hidup berkeluarga. Tepuk dada tanya hati dan iman. Apa khabar hari ini?

Bidadari Dan Wildan Untukmu!

Sering juga saya ditanya oleh mutarabbi (adik-adik usrah/ mad’u) persoalan bidadari dan wildan.

Sungguh, kita hanya mampu meyakini. Akal kita masih terbatas untuk memikirkan soal nikmat di syurga kelak.

Kita pun masih belum dijamin diri kita terhindar dari api neraka, inikan pula untuk berada di dalam syurga? Fuh!

Tapi, ingatlah pada sifat mahmudah bersangka baik dan sifat mujahadah dalam bersungguh-sungguh beramal ibadah.

Kita yakinlah ada sesuatu yang istimewa telah Allah sediakan buat kita dengan asbab rahmat dari Allah dan ketaatan kita kepada-Nya. Allahu akbar! Wallahualam.


Kongsikan Artikel Ini

Nabi Muhammad s.a.w berpesan, “sampaikanlah dariku walau satu ayat” dan “setiap kebaikan adalah sedekah.” Apabila anda kongsikan artikel ini, ia juga adalah sebahagian dari dakwah dan sedekah. Insyallah lebih ramai yang akan mendapat manafaat.

Rasyidah Rahmat

Rasyidah Rahmat

Suka mencuba perkara baru dan sangat meminati bidang penulisan dan membaca buku dalam semua genre. Karya pertama yang diterbitkan iaitu dalam siri antologi cerpen Negeri Terengganu. Merupakan mahasiswa tahun akhir sarjana muda syariah di UIN STS Jambi, Indonesia.

Kempen Dakwah Digital

Boleh Sumbangkan RM50 Untuk Dakwah?

Bantu kami untuk mengerakkan platform dakwah digital ini dengan menerbitkan konten-konten Islamik yang mampu menyentuh jiwa insan lain agar berubah menjadi lebih baik.

Langgan Siri Tazkirah

Dapatkan siri informasi islamik yang ringan dan santai terus kepada emel anda setiap minggu dengan mengisi emel anda di bawah.

Ikuti Kami