Gaya Hidup

Wajibkah Menyampaikan Salam Yang Dikirim Orang

Oleh Natirah Azira  •  25 Nov 2019  •  3 min baca

Pertemuan dengan teman lama yang jarang-jarang dapat berjumpa biasanya mencetuskan perasaan teruja dan gembira. Dan kerap kali apabila kita ingin berpisah dengan mereka, pasti ada salam yang dikirimkan kepada teman-teman lain yang berdekatan.

Kadang-kadang hal tersebut diambil ringan. Ada pula masa kita terlupa dan membiarkan pesanan tersebut berlalu begitu sahaja. Bagaimana pula Islam memandang hal ini? Apakah hukum menyampaikan salam yang dipesan?

Hukum Berkirim Salam

Hukum memberi salam adalah sunnah. Seperti hadis yang biasa kita dengar – seorang yang sedang menaiki kenderaan hendaklah memberi salam kepada orang yang sedang berjalan, orang yang berjalan hendaklah memberi salam kepada orang yang sedang duduk, dan orang yang sedikit memberi salam kepada orang ramai. Ia menunjukkan anjuran mengirim salam yang sangat disarankan dalam Islam.

Pernah juga diceritakan dalam sebuah hadis tentang peristiwa Malaikat Jibril menyampaikan salam kepada Aisyah melalui Nabi SAW kerana Aisyah tidak dapat melihat Jibril. Ia diceritakan semula oleh Saidatina Aisyah:

Maksudnya: Rasulullah SAW bersabda: “Wahai Aisyah, ini Jibril. Beliau menyampaikan salam untukmu.” Lalu saya menjawab: ‘وَعَلَيْهِ السَّلاَمُ وَرَحْمَةُ اللَّهِ’. Nabi SAW melihat apa yang tidak saya lihat. (Riwayat a-Bukhari, no.3217 dan Muslim, no.6457)

Dalam riwayat Imam Ahmad, Saidatina Aisyah R.Anha menjawab salam tersebut dengan lafaz:

عَلَيْكَ وَعَلَيْهِ السَّلَامُ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ

Maksudnya: “Untuk anda dan untuknya salam, rahmat Allah dan keberkatanNya.” (Riwayat Ahmad, no. 24857)

Imam Nawawi dalam menjelaskan hadis Aisyah dalam Riwayat Muslim di atas, menyebut: “Menjawab salam seperti ini hukumnya wajib segera. Demikian juga jika dia menerima salam pada kertas (surat) daripada orang yang berada di jauh, wajib dia menjawab secara lisan dengan segera ketika dia membacanya.” (Lihat al-Minhaj fi Syarh Sahih Muslim Ibn al-Hajjaj, 15/211)

Manakala orang yang dipesan atau diamanahkan untuk berkirim salam pula wajib menyampaikan salam kepada orang tersebut. Ia dikira sebagai amanah yang perlu diselesaikan. Pendapat ini adalah seperti yang digariskan dalam Mazhab Syafie. Hal ini juga disandarkan kepada sebuah penerangan daripada Kitab Muhyiddin Syarf An-Nawawi.

Ertinya, “Disunahkan berkirim salam kepada orang yang tidak hadir. Dalam konteks ini terdapat banyak hadis sahih (yang menganjurkannya). Bagi utusan (yang dikirimkan salam) wajib untuk menyampaikan salam tersebut kerana merupakan sebuah amanah. Sungguh, Allah SWT telah berfirman, ‘Sesungguhnya Allah menyuruh kamu menyampaikan amanah kepada yang berhak menerimanya’ (Surat An-Nisa, ayat 58),’ (Lihat Muhyiddin Syarf An-Nawawi, hal. 641)

Wajib Menyampaikan Salam Dan Perlu Menyatakan Kesanggupan

Walau bagaimanapun Al-Iraqi mempunyai pendapat tambahan kepada hukum di atas. Menurut beliau seseorang itu wajib menyampaikan salam selagi mana dia sanggup untuk menyampaikan salam tersebut. Jika pada awalnya dia tidak sanggup, maka perlu menyatakan ketidaksanggupan.

Hal ini disamakan dengan situasi apabila mengirim barang kepada seseorang untuk disampaikan kepada seorang yang lain. Jika pada awalnya dia tidak sanggup menerima pesanan tersebut (tidak bersetuju untuk menyampaikan), maka hukum menjadi tidak wajib buatnya. Penjelasan Al-Iraqi adalah seperti di bawah.

“Dalam hadis ini terdapat anjuran untuk berkirim salam. Menurut para ulama dari kalangan kami (Mazhab Syafie) wajib bagi utusan (orang yang dititipkan salam) menyampaikan salamnya kerana merupakan sebuah amanah, sedangkan menyampaikan amanah adalah wajib. Dan konteks ini sebaiknya dikatakan (difahami) bahawa ia (utusan) wajib menyampaikan salam tersebut sepanjang memang memiliki kesanggupan, dan mengatakan kepada pihak yang mengutus (atau menitip salam), ‘Sungguh, saya bersedia dan akan menyampaikan salam.’

Kerananya, jika ia tidak sanggup, maka tidak wajib baginya untuk menyampaikannya. Hal ini sebagaimana orang yang dititipi sebuah titipan kemudian ia tidak mahu menerimanya,” (Lihat Waliyuddin Abu Zar’ah Al-Iraqi, Tharhut Tatsrib fi Syarhit Taqrib, Juzuk 8/108).

Kesimpulan

Salam bermakna kesejahteraan, keamanan dan juga keselamatan. Apabila kita mengucap ‘Assalamualaikum’, ia merupakan kalimah doa yang baik ke atas orang yang diucapkan. Eratkan perhubungan dan sebarkanlah salam.

“Selamat sejahtera ke atas kamu”


Kongsikan Artikel Ini

Nabi Muhammad s.a.w berpesan, “sampaikanlah dariku walau satu ayat” dan “setiap kebaikan adalah sedekah.” Apabila anda kongsikan artikel ini, ia juga adalah sebahagian dari dakwah dan sedekah. Insyallah lebih ramai yang akan mendapat manafaat.

Natirah Azira

Beliau merupakan graduan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia dalam bidang Al-Quran dan Sunnah. Pernah mendalami bidang Psikologi selama dua tahun dan sekarang sedang menyambung pengajian peringkat Ijazah Sarjana dalam bidang Kaunseling di Universiti Sains Malaysia.

Kempen Dakwah Digital

Boleh Sumbangkan RM50 Untuk Dakwah?

Bantu kami untuk mengerakkan platform dakwah digital ini dengan menerbitkan konten-konten Islamik yang mampu menyentuh jiwa insan lain agar berubah menjadi lebih baik.

Langgan Siri Tazkirah

Dapatkan siri informasi islamik yang ringan dan santai terus kepada emel anda setiap minggu dengan mengisi emel anda di bawah.

Ikuti Kami