Tokoh

Uwais Al-Qarni Yang Dikenali Penduduk Langit

Oleh Fieyzah Lee  •  5 Feb 2020  •  2 min baca

Uwais al-Qarni merupakan seorang pemuda daripada kabilah Yaman Bani Murad. Nama sebenar beliau adalah Uwais bin ‘Amir dan beliau merupakan seorang pemuda yang sangat miskin. Beliau tidak terkenal dalam kalangan penduduk bumi, namun beliau sangat dikenali di kalangan penduduk langit.

Beliau juga termasuk daripada kalangan tabi’in yang utama. Ini adalah berdasarkan hadis yang diriwayatkan daripada Umar al-Khattab RA, Rasulullah SAW bersabda:

إِنَّ خَيْرَ التَّابِعِينَ رَجُلٌ يُقَالُ لَهُ أُوَيْسٌ وَلَهُ وَالِدَةٌ وَكَانَ بِهِ بَيَاضٌ فَمُرُوهُ فَلْيَسْتَغْفِرْ لَكُمْ

Maksud: “Sesungguhnya tabi’in yang terbaik ialah seorang lelaki yang bernama Uwais. Dia memiliki seorang ibu dan dahulu dia berpenyakit kulit (tubuhnya ada putih-putih). Suruhlah dia untuk memohon ampun untuk kamu semua.” (Hadis Riwayat Muslim, no. 2542)

Kisah beliau yang telah menggendong ibunya dari Yaman ke Mekah untuk menunaikan Haji sangat terkenal. Beliau hanya berjalan kaki bagi menunaikan hasrat ibunya itu. Disebabkan ketaatan kepada ibunya yang sudah uzur itu, beliau dimuliakan oleh penduduk langit.

Diceritakan bahawa, beliau tidak mempunyai harta mahupun saudara mara yang lain. Bapanya telah meninggal dunia ketika beliau masih kecil. Maka, tinggallah beliau dengan ibunya yang lumpuh.

Beliau bukan sahaja diuji dengan kemiskinan, namun juga dengan penyakit kulit. Diriwayatkan bahawa beliau mempunyai penyakit sopak di seluruh badan. Berkat doa dan ketaatan kepada ibunya, penyakitnya itu telah sembuh dan tidak meninggalkan kesan kecuali di tapak tangannya.

Beliau telah beberapa kali ingin menjumpai Baginda SAW, namun menurut beberapa riwayat hasratnya itu tidak pernah tercapai. Setiap apa yang ingin dilakukannya, beliau akan mempertimbangkan keadaan ibunya kerana berasa takut untuk meninggalkan ibunya sendiri tanpa pemantauan.

Walau bagaimanapun, beliau telah berkesempatan berjumpa dengan Umar Al-Khattab beberapa tahun selepas Umar dilantik sebagai khalifah. Diceritakan juga bahawa Umar sendiri yang sentiasa menunggu dan mengharapkan kedatangan beliau disebabkan oleh sebuah hadis yang telah diriwayatkan oleh Baginda SAW:

يَأْتِى عَلَيْكُمْ أُوَيْسُ بْنُ عَامِرٍ مَعَ أَمْدَادِ أَهْلِ الْيَمَنِ مِنْ مُرَادٍ ثُمَّ مِنْ قَرَنٍ كَانَ بِهِ بَرَصٌ فَبَرَأَ مِنْهُ إِلاَّ مَوْضِعَ دِرْهَمٍ لَهُ وَالِدَةٌ هُوَ بِهَا بَرٌّ لَوْ أَقْسَمَ عَلَى اللَّهِ لأَبَرَّهُ فَإِنِ اسْتَطَعْتَ أَنْ يَسْتَغْفِرَ لَكَ فَافْعَلْ

Maksud: “Nanti akan datang kepada kamu seseorang yang bernama Uwais bin ‘Amir bersama rombongan pasukan dari Yaman. Dia berasal dari Murad, dari Qaran. Dia menghidap penyakit kulit, kemudian dia sembuh daripadanya kecuali sebesar satu dirham. Dia memiliki seorang ibu dan sangat berbakti kepadanya. Sekiranya dia bersumpah kepada Allah, maka akan diperkenankan yang dipintanya. Jika kamu mampu agar dia memohon pada Allah keampunan bagimu, maka lakukanlah.” (Hadis Riwayat Muslim , no. 2542)

Beliau telah meninggal dunia pada tahun ke-37 Hijrah ketika berusia 67 tahun dalam perang Siffin.

Rujukan:
Uwais Al-Qarni


Kongsikan Artikel Ini

Nabi Muhammad s.a.w berpesan, “sampaikanlah dariku walau satu ayat” dan “setiap kebaikan adalah sedekah.” Apabila anda kongsikan artikel ini, ia juga adalah sebahagian dari dakwah dan sedekah. Insyallah lebih ramai yang akan mendapat manafaat.

Fieyzah Lee

Fieyzah Lee

Merupakan seorang pelajar Universiti Islam Antarabangsa Malaysia dalam bidang Bahasa Melayu untuk Komunikasi Antarabangsa. Seorang yang suka membaca bahan bacaan dalam bidang sejarah dan motivasi

Kempen Dakwah Digital

Boleh Sumbangkan RM50 Untuk Dakwah?

Bantu kami untuk mengerakkan platform dakwah digital ini dengan menerbitkan konten-konten Islamik yang mampu menyentuh jiwa insan lain agar berubah menjadi lebih baik.

Langgan Siri Tazkirah

Dapatkan siri informasi islamik yang ringan dan santai terus kepada emel anda setiap minggu dengan mengisi emel anda di bawah.

Ikuti Kami