Gaya Hidup

Usia 40 Tahun – Permulaan Atau Merosotnya Kehidupan?

Oleh Azian Mohamed Isa  •  8 Jan 2020  •  3 min baca

Kata orang, hidup bermula apabila usia mencecah 40 tahun.

Life begins at 40

Namun, bagi saya pula, sebaliknya yang berlaku. Dalam meniti usia 40-an, semakin banyak garis-garis halus muncul di wajah saya terutama sekali di kawasan penjuru mata.

Setiap kali saya tersenyum, garis-garis halus itu bersentuh di antara satu sama lain lalu membentuk lipatan-lipatan kedut. Ah, saya nampak tua!

Bukan itu sahaja. Rambut putih sudah mula kelihatan. Kaki mula berasa lenguh jika lama duduk di lantai. Kalau dulu kerja-kerja rumah dapat dilakukan dengan cekap dan pantas, tapi sekarang saya harus menyelesaikan secara berperingkat.

Jika tidak, saya akan keletihan dan sudah mahu tidur seawal jam lapan malam. Sebab itu pada saya;

life declines at forty. Not begins at forty!

Saya menarik nafas dan melepaskannya perlahan-lahan. Jika ukurannya adalah semata-mata kecantikan luaran dan kekuatan fizikal, maka benarlah fasa 40-an ialah fasa kemerosotan.

Sel-sel tubuh mengalami proses penuaan, satu proses yang sudah termaktub dalam proses kehidupan. Saya teringat satu hadis yang berbunyi;

“Sesiapa yang berusia 40 tahun, amalan kebajikannya belum mengatasi amalan kejahatannya, maka bersedialah ke neraka Allah.”Riwayat Tabrani

Menurut Imam Tarmizi di dalam kitabnya Nawadir al-Usul, hadis di atas adalah hadis yang daif atau lemah. Maka, ia tidak boleh dijadikan hujah.

Namun, jika kita membandingkan atau membuat kajian berdasarkan pengalaman, makna hadis ini adalah sahih atau dari sudut praktikal, amalannya tidak bercanggah dengan akidah dan dalam banyak hal, hadis ini betul. Kenapa betul?

Menurut Datuk Zahazan Mohamed, pertamanya, Nabi Muhammad SAW menerima wahyu ketika usia Baginda 40 tahun. Sebelum peristiwa di Gua Hira’, Baginda tidak menganut mana-mana agama.

Ini boleh dijadikan renungan kepada kita kerana setiap peristiwa yang berlaku bukanlah kebetulan tetapi ketentuan yang Allah takdirkan.

Keduanya, apabila dilihat dari sudut kitaran hidup manusia, usia 40 tahun menjadi detik penentu untuk pembinaan hala tuju masa hadapan.

Jika sebelumnya seseorang itu mengamalkan cara hidup yang ‘happy go lucky’, tidak serius dan kurang bertanggungjawab, apabila mencecah 40 tahun, terdetik di fikirannya untuk menjalani kehidupan yang lebih bermakna.

Ketiganya, dalam satu kajian yang melibatkan analisis penagih dadah, 70% penagih yang berusia bawah 35 tahun mampu berubah menjadi warga yang produktif.

Tetapi, apabila usia meningkat 36-45 tahun, hanya 30% yang boleh berubah. Manakala bakinya akan kekal atau bertambah teruk. Fakta ini berdasarkan satu kajian saintifik semasa. Maka, analisis dan statistik menunjukkan ada kebenarannya. Subhanallah.

Betapa Islam memandang serius soal usia dan masa. Dua nikmat mutlak daripada Allah kepada hamba-hamba-Nya. Dua nikmat ini juga yang manusia sering lalai dan alpa. Sama ada life begins at 40 or declines at 40, kitalah yang menentukannya.

Dan seiring dengan usia 40-an, pemikiran dan tindak-tanduk kita seharusnya menjadi dewasa. Menurut Datuk Prof Dr. Muhaya Mohamad, perkataan dewasa ialah akronim kepada:

D: Diam
Bercakap biarlah benar, perlu dan bermanfaat. Kalau tidak, lebih baik diam. Kata beliau, percakapan kita biarlah membawa orang dekat pada Allah, kata- kata yang berzikir.

E: Empati
Keupayaan untuk menyelami dan memahami emosi atau perasaan orang lain.

W: Warak
Berhati-hati dengan kata-kata dan perbuatan.

A: Adil
Meletakkan sesuatu pada tempatnya. Tidak zalim atau pilih kasih.

S: Sabar
Menurut beliau, orang yang tidak sabar ialah orang yang tidak berupaya mengawal diri.
Orang yang tidak solat, tidak menutup aurat ialah orang yang tidak sabar mencegah kemungkaran.

Orang yang sentiasa merungut, mengeluh ialah orang yang tidak sabar menghadapi ujian atau musibah.

A: Amanah
Orang yang melunaskan tanggungjawab atau amanah ialah orang yang sangat tenang.

Moga kita sentiasa mensyukuri nikmat usia dan masa. Mudah-mudahan, dalam meniti usia 40-an kita lebih matang dan dewasa dalam setiap tindakan dan menyegerakan amalan untuk kita bawa ke negeri akhirat nanti.


Kongsikan Artikel Ini

Nabi Muhammad s.a.w berpesan, “sampaikanlah dariku walau satu ayat” dan “setiap kebaikan adalah sedekah.” Apabila anda kongsikan artikel ini, ia juga adalah sebahagian dari dakwah dan sedekah. Insyallah lebih ramai yang akan mendapat manafaat.

Azian Mohamed Isa

Azian Mohamed Isa

Pemegang Sarjana dalam bidang Sains Biologi, pernah menyandang jawatan pensyarah. Kini seorang penulis sepenuh masa. Seorang pemikir dan pengembara. Kisah kembaranya di Xi’an, China dan Pulau Mauritius boleh diikuti di dalam majalah E&T yang diterbitkan oleh MySet, myset.org.my. Salah seorang penulis di dalam buku antologi himpunan kisah benar berjudul ‘BLUR’ yang diterbitkan oleh Buku Puris.

Kempen Dakwah Digital

Boleh Sumbangkan RM50 Untuk Dakwah?

Bantu kami untuk mengerakkan platform dakwah digital ini dengan menerbitkan konten-konten Islamik yang mampu menyentuh jiwa insan lain agar berubah menjadi lebih baik.

Langgan Siri Tazkirah

Dapatkan siri informasi islamik yang ringan dan santai terus kepada emel anda setiap minggu dengan mengisi emel anda di bawah.

Ikuti Kami