Gaya Hidup, Hukum

Usaha Mencari Jodoh – Bolehkah Melalui Laman Baitul Muslim

Oleh Fieyzah Lee  •  5 Jul 2019  •  7 min baca

Mengapa wujudnya suruhan untuk manusia berusaha mencari jodoh sendiri walaupun sebenarnya jodoh kita sudah ditetapkan sejak azali oleh Allah SWT? Kalau Allah memberitahu siapakah jodoh kita yang sebenar, maka tiadalah manusia-manusia yang mengalami kemurungan disebabkan putus cinta, tiadalah juga manusia yang mati akibat bunuh diri dalam kegagalan cinta.

Ataupun, jika diberitahu siapakah jodoh kita dari awal, maka tiadalah manusia atau wanita yang digelar andartu. Malah, dunia ini akan harmoni tanpa kemurungan akibat terlalu lama membujang dan tiadalah muncul soalan-soalan daripada saudara-mara atau jiran tetangga seperti, ‘bila kau nak kahwin’ dan sebagainya.

Sebenarnya, hikmahnya senang sahaja. Allah ingin menyuruh kita bergaul dan mengenali sesama manusia. Itulah yang dinamakan sebagai ujian. Setiap yang berlaku di dunia ini adalah ujian, sama ada kita lulus atau tidak, sebagai penghubung kepada akhirat nanti.

Jika jodoh sudah tidak menjadi rahsia lagi, maka hidup ini akan berlalu dengan sama sahaja setiap hari, malah tiada lagi teka-teki dan keunikan untuk berfikir mengenai jodoh. Selama ini, kita ditekankan dengan istikharah untuk mencari petunjuk mengenai jodoh.

Jika tiada rahsia dalam perhubungan, maka tiadalah juga pergantungan dan pengharapan kita terhadap Allah. Dapat dilihat di sini bahawa, setiap ujian yang kita lalui sebenarnya dapat menghubungkan kita dengan Allah agar cinta kepadaNya semakin menebal.

Jika gagal, kita perlu mencuba lagi, bukannya terus berputus asa dan menyalahkan sesetengah pihak serta menyebarkan keaiban masing-masing di laman sosial. Malah, Allah melarang kita menyebarkan aib sendiri dan orang lain untuk mengelakkan daripada berlakunya fitnah.

إِنَّ الَّذِينَ يُحِبُّونَ أَن تَشِيعَ الْفَاحِشَةُ فِي الَّذِينَ آمَنُوا لَهُمْ عَذَابٌ أَلِيمٌ فِي الدُّنْيَا وَالْآخِرَةِ ۚ وَاللَّـهُ يَعْلَمُ وَأَنتُمْ لَا تَعْلَمُونَ

“Sesungguhnya orang-orang yang suka terhebah tuduhan-tuduhan yang buruk dalam kalangan orang-orang yang beriman, mereka akan beroleh azab seksa yang tidak terperi sakitnya di dunia dan di akhirat; dan (ingatlah) Allah mengetahui (segala perkara) sedang kamu tidak mengetahui (yang demikian). (Surah An-Nur, 24:19)

Para sahabat juga, ada yang pernah mengalami perkara yang sama, namun mereka tidak pernah berputus asa.

Sebagai contoh, Saidina Uthman yang pernah ditolak lamarannya oleh bapa kepada gadis yang diingininya, Saidina Abu Bakar dan Saidina Umar. Walaupun hatinya kecewa akibat dua lamarannya ditolak, namun beliau tidak larut dalam kesedihan. Akhirnya, Rasulullah melamar beliau untuk menjadi menantunya. Hebatnya perancangan Allah dalam urusan jodoh.

Beliau ditolak oleh pilihan yang dirasakan baik untuknya, namun Allah menggantikannya dengan sesuatu yang lebih baik dan menggembirakan beliau. Hikmahnya di sini ialah, jangan terlalu lama bersedih dalam sesuatu perkara. Pandanglah ke hadapan dan jalani hidup seperti biasa.

Jodoh tidak akan lari dari anda. Ia tidak akan lambat dan tidak akan cepat. Allah akan menemukan kita dengan pasangan pada waktu yang tepat dan apabila kita sudah bersedia, bukan waktu yang kita rasa sunyi atau bosan sehingga memerlukan teman segera.

Pencarian Merupakan Suatu Usaha

Mencari jodoh merupakan sebuah usaha dalam membina masjid. Orang kata, hidup ini tidak boleh bergantung kepada doa semata-mata, malah perlu diikuti dengan usaha yang selari dengan kemampuan.

Jika ingin makan, berdoa sahaja tidak cukup kerana makanan tidak akan turun dari langit. Oleh itu, berusahalah mencari makanan dan rezeki yang halal dengan bekerja untuk mendapatkan wang dan sebagainya. Jika menunggu ibarat bulan jatuh ke riba, silap haribulan kita sendiri boleh mati kebuluran.

Sama juga dengan jodoh. Setiap orang perlu memulakan langkahnya sendiri agar bertemu jodoh yang telah ditentukan Allah. Jika salah seorang tidak memulakan langkah, macam mana kita nak memastikan ia akan berkesan.

Tidak salah mencuba, walau akhirnya ternyata bukan dia jodoh kita. Mungkin Allah sudah menetapkan seseorang yang lebih baik dan melalui peristiwa itulah kita akan mendapat lebih banyak kekuatan dan pengalaman sebagai pengajaran dalam hidup.

وَعَسَىٰ أَن تَكْرَهُوا شَيْئًا وَهُوَ خَيْرٌ لَّكُمْ ۖ وَعَسَىٰ أَن تُحِبُّوا شَيْئًا وَهُوَ شَرٌّ لَّكُمْ ۗ وَاللَّـهُ يَعْلَمُ وَأَنتُمْ لَا تَعْلَمُونَ

“Dan boleh jadi kamu benci kepada sesuatu padahal ia baik bagi kamu, dan boleh jadi kamu suka kepada sesuatu padahal ia buruk bagi kamu. Dan (ingatlah), Allah jualah Yang Mengetahui (semuanya itu), sedang kamu tidak mengetahuinya.” (Surah Al-Baqara, 2:216)

Mungkin kita pernah mendengar, Allah akan menghantar jodoh pada masa yang sesuai. Ayat ini sebenarnya bukan sebagai suatu tiket untuk kita tidak berusaha mencari jodoh. Namun, Allah akan memberi petunjuk apabila dirasakan diri kita sudah bersedia.

Boleh jadi, jodoh kita sebenarnya sudah ada di depan mata, namun disebabkan keadaan diri kita atau si dia yang masih belum bersedia, maka petunjuk dari Allah belum sampai. Oleh itu, bersabarlah dan sentiasa berdoa semoga Allah menemukan kita dengan pasangan yang baik-baik.

Timbul pula persoalan yang mempertikaikan usaha seseorang mencari jodoh. Kadang-kadang ada yang menyerahkan urusan tersebut kepada orang tua, ada yang cuba mencari dengan mengiklankan di laman sosial seperti Facebook atau laman lain yang ada, seperti IIUM Confession dan ada juga yang cuba mencari melalui aplikasi seperti Wechat, Thinder dan Baitul Muslim serta banyak lagi.

Jadi, adakah usaha-usaha ini dikira sebagai halal atau dibolehkan dalam Islam? Ramai yang takut jika sesuatu platform itu tidak bertepatan dengan syarie atau melanggar hukum-hakam Islam.

Jika menyerahkan urusannya kepada orang tua, maka ia adalah sesuatu yang baik. Hal ini kerana, kadang-kadang pilihan ibu bapa itu merupakan sesuatu yang tepat dan lebih berkat.

Namun, untuk mengelakkan persengketaan selepas berkahwin, maka pasangan tersebut juga perlu bertaaruf atau berkenalan secara ringkas agar tidak timbul isu di kemudian hari seperti rupa paras yang tidak kena dengan cita rasa atau perangai yang tidak bersesuaian dengan seseorang.

Malah, dalam Islam juga digalakkan untuk bertaaruf terlebih dahulu. Ia merupakan salah satu rukun usrah yang perlu diamalkan. Jika dirasakan tidak bersesuaian, maka dibolehkan untuk menolak secara baik dan jangan memberi harapan palsu terlalu lama.

Bagi persoalan mengiklankan diri dalam laman sosial yang lain pula, beberapa ustaz dan golongan ulama’ memberikan pendapat bahawa ia adalah dibolehkan bergantung kepada niat.

Maksudnya di sini ialah, jika niatnya adalah betul untuk mencari jodoh dan serius untuk berkahwin, maka ia adalah dibolehkan. Malah, ia dituntut kerana niat murninya itu. Sekurang-kurangnya kita telah meletakkan usaha untuk mencari jodoh.

Namun, jika niatnya adalah untuk main-main dan tidak serius untuk melangsungkan perkahwinan, maka ia adalah tidak dibolehkan. Malah, ada sebahagian ulama’ telah meletakkan hukum haram kerana ia bertentangan dengan nilai Islam. Wallahu a’lam.

Sebagai contoh, jika berkenalan dengan perempuan melalui aplikasi tersebut namun tiada niat untuk berkahwin tetapi telah memberikan harapan palsu kepada seseorang, maka tidak dibolehkan dan sekaligus mereka berpendapat bahawa ia adalah suatu perkara yang boleh mengundang kepada dosa.

Jika serius dan sudah bersedia dari sudut fizikal, mental, agama dan kewangan untuk melangsungkan perkahwinan, namun jodohnya sahaja belum ada, maka dibolehkan meletakkan usaha melalui laman tersebut. Namun, jika ingin berkahwin sekadar mengikut trend tetapi dari segi persediaannya belum ada, maka itu adalah tidak dibolehkan.

Kita perlu merujuk kepada hukum-hakam untuk melaksanakan perkahwinan agar ia didasari dengan ilmu dan bukan dengan perasaan semata-mata.

Namun, mereka juga mengatakan bahawa sebaik-baiknya seseorang itu pandai untuk menjaga diri sendiri agar tidak mudah ditipu dan terpedaya dengan anasir-anasir jahat. Hal ini kerana, kita tidak mengetahui niat sebenar seseorang yang mendaftarkan diri melalui aplikasi tersebut.

Malah, melalui beberapa pengalaman yang telah diceritakan, ada pengguna yang mendaftarkan diri melalui aplikasi tersebut sebenarnya mempunyai niat yang kurang elok, seperti sekadar mencari teman di saat bosan atau untuk dijadikan tempat memuaskan nafsu sendiri.

Ia adalah sesuatu yang perlu dielakkan dan perlu berhati-hati terutamanya bagi golongan wanita. Walau bagaimanapun, sebenarnya menurut beberapa carian yang dilakukan, aplikasi atau laman seperti ini sebenarnya memberikan peluang kepada golongan muslim yang sukar untuk mencari jodoh di tempat tinggal mereka.

Sebagai contoh, aplikasi Muzmatch yang lebih memfokuskan kepada golongan muslim minoriti yang tinggal di negara-negara barat. Hasil menunjukkan, aplikasi ini memberi kesan yang positif kepada mereka.

Kesimpulan

Jodoh itu tidak akan datang bergolek. Ia perlu diikuti dengan doa, usaha dan tawakkal kepada Allah. Tetapkan niat yang baik-baik di hati, nescaya Allah akan mendatangkan petunjuk dan jodoh dengan cara yang terbaik. Wallahu a’lam.

يَا أَيُّهَا النَّاسُ اتَّقُوا رَبَّكُمُ الَّذِي خَلَقَكُم مِّن نَّفْسٍ وَاحِدَةٍ وَخَلَقَ مِنْهَا زَوْجَهَا وَبَثَّ مِنْهُمَا رِجَالًا كَثِيرًا وَنِسَاءً ۚ وَاتَّقُوا اللَّـهَ الَّذِي تَسَاءَلُونَ بِهِ وَالْأَرْحَامَ ۚ إِنَّ اللَّـهَ كَانَ عَلَيْكُمْ رَقِيبًا

Mafhum: “Wahai sekalian manusia, bertaqwalah kepada Tuhan kamu yang telah menjadikan kamu (bermula) dari diri yang satu (Adam), dan yang menjadikan daripada (Adam) itu pasangannya (isterinya – Hawa), dan juga yang membiakkan dari keduanya – zuriat keturunan – lelaki dan perempuan yang ramai. Dan bertaqwalah kepada Allah yang kamu selalu meminta dengan menyebut-nyebut namaNya, serta peliharalah hubungan (silaturahim) kaum kerabat; kerana sesungguhnya Allah sentiasa memerhati (mengawas) kamu.” (Surah An-Nisa, 4:1)


Kongsikan Artikel Ini

Nabi Muhammad s.a.w berpesan, “sampaikanlah dariku walau satu ayat” dan “setiap kebaikan adalah sedekah.” Apabila anda kongsikan artikel ini, ia juga adalah sebahagian dari dakwah dan sedekah. Insyallah lebih ramai yang akan mendapat manafaat.

Fieyzah Lee

Fieyzah Lee

Merupakan seorang pelajar Universiti Islam Antarabangsa Malaysia dalam bidang Bahasa Melayu untuk Komunikasi Antarabangsa. Seorang yang suka membaca bahan bacaan dalam bidang sejarah dan motivasi

Kempen Dakwah Digital

Boleh Sumbangkan RM50 Untuk Dakwah?

Bantu kami untuk mengerakkan platform dakwah digital ini dengan menerbitkan konten-konten Islamik yang mampu menyentuh jiwa insan lain agar berubah menjadi lebih baik.

Langgan Siri Tazkirah

Dapatkan siri informasi islamik yang ringan dan santai terus kepada emel anda setiap minggu dengan mengisi emel anda di bawah.

Ikuti Kami