Keluarga

Usah Sembunyikan Anak-Anak Dari Dunia Yang Mencabar

Oleh Natirah Azira  •  21 Sep 2018  •  3 min baca

Semester ini saya mengambil kelas Community Psychology. Kelas ini menjadi lapangan para pelajar berdiskusi dan berbincang bersama pensyarah tentang masalah-masalah sosial yang berlaku di dunia hari ini. Isu penderaan kanak-kanak, gangguan seksual, pornografi, LGBT dan banyak lagi.

Pernah sekali seseorang bercerita kepada saya tentang kawannya yang tidak pandai bergaul, selalu negatif dan merasakan orang berniat tidak baik kepadanya. Setiap tindakan orang yang tidak kena dengan kehendaknya dirasakan sebagai ancaman ingin menjatuhkan.

Apabila cerita-cerita begini diluah kepada saya, tidak dapat tidak saya perlu tahu sedikit sebanyak latar belakang keluarga dan bagaimana keadaan dia dibesarkan untuk memberi pendapat. Seseorang individu menjadi siapa mereka pada hari ini adalah kerana banyak faktor. Antaranya cara mereka dibesarkan, pengalaman hidup, latar pendidikan dan sebagainya.

Lalu terluah juga cerita bahawa kawannya itu dibesarkan oleh ibu yang sangat ‘protective’, terlalu melindungi. Setiap pergerakan dikawal, tidak boleh keluar dengan kawan-kawan dan bermacam-macam peraturan lagi perlu dipatuhi.

Kanak-Kanak Tidak Boleh Disembunyikan Dari Dunia

Dunia sememangnya penuh dengan cabaran. Terlalu banyak perkara negatif yang kita dengari setiap hari. Ibu bapa sekarang membesarkan anak-anak dalam keadaan penuh kerisauan dan berjaga-jaga. Perkara ini bagus tapi perlulah seimbang.

Silap didikan boleh menyebabkan anak-anak membesar menjadi manusia yang terlalu pesimistik dengan dunia di sekeliling dan tidak pandai bergaul dengan orang ramai.

Seorang pakar psikologi, Jordan Peterson, dalam satu videonya berkata bahawa kanak-kanak sememangnya lemah, itu memang sifat mereka, namun tidak bermakna mereka perlu disembunyikan daripada dunia. Sebaliknya mereka perlu diajar menjadi lebih kuat untuk menempuh dunia yang mencabar.

Ajari mereka supaya memahami bahawa dunia tempat yang penuh dengan cabaran tetapi mereka boleh jadi lebih kuat daripada masalah yang ada. Menyembunyikan mereka terus menerus tidak akan menyelesaikan masalah.

Nasihat yang sama diberikan oleh sahabat Rasulullah SAW, Saidina Ali berkenaan perihal mendidik anak-anak.

“Didiklah anakmu sesuai dengan zamannya, karena mereka hidup bukan di zamanmu”

Mendedahkan Diri Dengan Bantuan Serta Sokongan Luar

Seorang rakan sekelas saya berkongsi bagaimana dia terlibat dalam usaha memberi kesedaran kepada masyarakat tentang bahaya pornografi. Komuniti tersebut dipanggil Malaysian Against Pornography.

Modul-modul dan kit berkenaan langkah pencegahan pornografi serta gangguan seksual disediakan kepada masyarakat umum. Dari situ, ibu bapa boleh memberi penjelasan kepada anak-anak tentang ‘Safe touch vs unsafe touch’ iaitu kawasan badan yang boleh disentuh dan tidak boleh disentuh oleh orang lain.

Masyarakat sebenarnya perlu lebih dekat dengan badan-badan seperti ini. Mereka perlu bergerak seiring. Usaha yang dicetuskan dan digerakkan oleh badan bebas sebegini perlu disambut oleh setiap lapangan masyarakat, barulah usaha kearah pembaikan masyarakat menjadi lebih menyeluruh.

Dunia memang tempat yang menakutkan dan seakan-akan tidak selamat lagi untuk kanak-kanak membesar tetapi kita tetap perlu menerima kenyataan bahawa dunia ini tempat tinggal kita. Masalah dan cabaran memang tidak dapat dilenyapkan sekelip mata, jadi solusinya adalah dengan mendidik anak-anak menjadi lebih kuat daripada masalah yang ada.

Percayalah masih banyak usaha yang boleh dilakukan untuk melahirkan generasi yang sihat. Ia tidak mustahil. Cuma kesedaran perlu bermula dari sekarang.


Kongsikan Artikel Ini

Nabi Muhammad s.a.w berpesan, “sampaikanlah dariku walau satu ayat” dan “setiap kebaikan adalah sedekah.” Apabila anda kongsikan artikel ini, ia juga adalah sebahagian dari dakwah dan sedekah. Insyallah lebih ramai yang akan mendapat manafaat.

Natirah Azira

Beliau merupakan graduan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia dalam bidang Al-Quran dan Sunnah. Pernah mendalami bidang Psikologi selama dua tahun dan sekarang sedang menyambung pengajian peringkat Ijazah Sarjana dalam bidang Kaunseling di Universiti Sains Malaysia.

Kempen Dakwah Digital

Boleh Sumbangkan RM50 Untuk Dakwah?

Bantu kami untuk mengerakkan platform dakwah digital ini dengan menerbitkan konten-konten Islamik yang mampu menyentuh jiwa insan lain agar berubah menjadi lebih baik.

Langgan Siri Tazkirah

Dapatkan siri informasi islamik yang ringan dan santai terus kepada emel anda setiap minggu dengan mengisi emel anda di bawah.

Ikuti Kami