Inspirasi

Usah Leka Dengan Ujian, Syaaban Menanti Untuk Diraikan

Oleh Natirah Azira  •  3 Apr 2020  •  3 min baca

Dalam kekalutan keadaan yang kita hadapi sekarang, tanpa sedar bulan Syaaban sudah merangkak ke hari yang kesembilan. Tinggal tidak sampai tiga minggu lagi semua umat Islam akan mula menunaikan rukun Islam yang ketiga, iaitu berpuasa di bulan Ramadan.

Rata-rata orang ramai mula menyatakan keresahan, bimbang tidak dapat melalui Ramadan kali ini dalam suasana meriah seperti sebelumnya – tidak dapat menunaikan taraweh beramai-ramai di masjid, tidak dapat ke kuliah atau majlis ilmu, tidak ada bazar mahupun sesi ‘moreh’ beramai-ramai. Bagi yang berniaga pula inilah masanya untuk meraih pendapatan yang lebih lumayan dan aktiviti ini pastinya terjejas.

Tetapi hakikatnya inilah cabaran yang sedang dilalui oleh hampir semua orang di dunia – berkurung dan pergerakan menjadi terhad. Walau bagaimanapun, kehidupan seharian di rumah perlu diteruskan jua. Hati-hati, jangan sampai kerana kekalutan yang dihadapi menyebabkan fokus kita pada bulan mulia yang semakin hampir terganggu. Jangan sampai ibadah hilang kualiti.

Bulan Syaaban adalah bulan yang istimewa. Bulan yang dipilih oleh Rasulullah SAW untuk berpuasa lebih banyak berbanding bulan-bulan lain selain Ramadan.

عَنْ أُسَامَةُ بْن ُ زَيْدٍ قَالَ قُلْتُ يَا رَسُولَ اللَّهِ لَمْ أَرَكَ تَصُومُ شَهْرًا مِنْ الشُّهُورِ مَا تَصُومُ مِنْ شَعْبَانَ قَالَ ذَلِكَ شَهْرٌ يَغْفُلُ النَّاسُ عَنْهُ بَيْنَ رَجَبٍ وَرَمَضَانَ وَهُوَ شَهْرٌ تُرْفَعُ فِيهِ الْأَعْمَالُ إِلَى رَبِّ الْعَالَمِينَ فَأُحِبُّ أَنْ يُرْفَعَ عَمَلِي وَأَنَا صَائِمٌ

Daripada Usamah bin Zaid dia berkata, aku bertanya kepada Rasulullah SAW; “Wahai Rasulullah SAW, aku tidak pernah melihat engkau berpuasa pada bulan-bulan lain sebagaimana (kerapnya) engkau berpuasa di bulan Sya’ban. Baginda bersabda:

Bulan tersebut merupakan waktu manusia lalai iaitu antara Rejab dan Ramadhan. Ia merupakan bulan yang mana pada bulan tersebut amalan diangkat kepada Allah Rab semesta alam. Aku suka amalan aku diangkat ketika aku berpuasa”. (HR An-Nasai, no. 2317 – Status Hadis Hasan)

Lihat bagaimana Rasulullah SAW memperingatkan bahawa manusia akan sering lalai pada bulan Syaaban dengan ujian yang bermacam jenis – ada yang mula sibuk mengambil tempahan kuih, menjahit baju raya, menjual barang persiapan raya sedangkan Ramadan masih belum tiba. Dan kali ini kita semua berhadapan dengan ujian yang sama dengan orang lain – ujian wabak Covid-19 yang menyebabkan semua orang terpaksa berada di rumah.

Ketika PKP sudah memasuki fasa dua (minggu ketiga), pasti setiap daripada kita sudah tahu apa cabaran yang sedang dihadapi oleh diri sendiri – sama ada perlu menguruskan anak-anak 24 jam selama 4 minggu, cabaran kewangan, cabaran menguruskan keperluan keluarga dan lain-lain. Tidak dinafikan sedikit sebanyak perkara-perkara ini dapat mengurangkan kualiti dalam bekerja mahupun dalam melakukan ibadah kerana masa dan fokus yang perlu dibahagi-bahagikan.

Pada waktu ini, ibadah pasti terasa lebih berat dan sukar dilakukan. Bagi mereka yang berseorangan dan terpaksa berjauhan dari keluarga pada musim PKP ini, maka mungkin kurang bersemangat melakukan ibadah seperti puasa sunat kerana tiada teman. Bagi yang berada dengan keluarga cabarannya pula apabila perlu menyediakan hidangan untuk seluruh ahli keluarga.

Walau bagaimanapun, sebagai manusia kita harus beradaptasi dengan keadaan dan tidak menyerah begitu sahaja. Ubah suai lah rutin mengikut keperluan serta seimbangkan antara tanggungjawab buat diri sendiri, ahli keluarga dan juga Pencipta. Bulan Syaaban yang penuh dengan rahmat dan keberkatan ini turut perlu diraikan dengan melakukan amalan-amalan ibadah sunat.

Ibnu Rajab juga mengatakan bahawa hadis yang disebutkan pada awal tadi adalah dalil mengenai anjuran melakukan amalan ketaatan di saat manusia lalai dan itulah amalan yang dicintai di sisi Allah. (Lathaif Al Ma’arif, 235)

Abu Bakr Al-Balkhi pula berkata:

شَهْرُ رَجَبٍ شَهْرُ الزَّرْعِ وَشَهْرُ شَعْبَانَ شَهْرُ سَقْيِ الزَّرْعِ وَشَهْرُ رَمَضَانَ شَهْرُ حِصَادِ الزَّرْعِ

“Bulan Rajab waktu menanam, bulan Syaaban waktu menyiram tanaman dan bulan Ramadan waktu menuai hasil.”

Sememangnya tidak dapat dinafikan bahawa perubahan rutin, kesusahan untuk bergerak dan pelbagai lagi jenis kesempitan ketika ini dapat memberi kesan kepada diri secara langsung atau tidak langsung. Namun, tenangkanlah kekalutan dan keresahan yang dirasai dengan meningkatkan kekuatan spiritual, kekuatan iman serta kebergantungan pada tuhan.

Pohonlah pada Allah agar diberikan kekuatan serta tidak dilalaikan dengan cabaran yang hadir. Semoga kita masih mampu menghargai Syaaban yang tiba.


Kongsikan Artikel Ini

Nabi Muhammad s.a.w berpesan, “sampaikanlah dariku walau satu ayat” dan “setiap kebaikan adalah sedekah.” Apabila anda kongsikan artikel ini, ia juga adalah sebahagian dari dakwah dan sedekah. Insyallah lebih ramai yang akan mendapat manafaat.

Natirah Azira

Beliau merupakan graduan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia dalam bidang Al-Quran dan Sunnah. Pernah mendalami bidang Psikologi selama dua tahun dan sekarang sedang menyambung pengajian peringkat Ijazah Sarjana dalam bidang Kaunseling di Universiti Sains Malaysia.

Kempen Dakwah Digital

Boleh Sumbangkan RM50 Untuk Dakwah?

Bantu kami untuk mengerakkan platform dakwah digital ini dengan menerbitkan konten-konten Islamik yang mampu menyentuh jiwa insan lain agar berubah menjadi lebih baik.

Langgan Siri Tazkirah

Dapatkan siri informasi islamik yang ringan dan santai terus kepada emel anda setiap minggu dengan mengisi emel anda di bawah.

Ikuti Kami