Gaya Hidup

Usah Dipaksa Kerana Islam Sungguh Terang Bak Matahari

Oleh Abdullah Bukhari  •  31 May 2019  •  5 min baca

“Awak tak boleh paksa saya solat atau tutup aurat! Bahkan kalau saya mahu tinggalkan Islam sekalipun awak tiada hak menghalang saya. Islam menjamin hak kebebesan manusia.”

Tegas sekali jawapan Puan Sister kepada temannya yang cuba menegur. Lantas lidah Puan Sister kelihatan alim lancar menuturkan ayat al-Quran sebagai hujah:

وَلَوْ شَاءَ رَبُّكَ لَآَمَنَ مَنْ فِي الْأَرْضِ كُلُّهُمْ جَمِيعًا أَفَأَنْتَ تُكْرِهُ النَّاسَ حَتَّى يَكُونُوا مُؤْمِنِينَ
Dan (bukanlah tanggungjawabmu wahai Muhammad menjadikan seluruh umat manusia beriman), jika Tuhanmu menghendaki nescaya berimanlah sekalian manusia yang ada di bumi. (Janganlah engkau bersedih hati tentang kedegilan orang-orang yang ingkar itu; kalau Tuhan tidak menghendaki) “Maka patutkah engkau pula hendak memaksa manusia supaya mereka menjadi orang-orang yang beriman?”Surah Yunus 10:99

Benar kata Puan Sister, Islam adalah agama yang sangat telus dan gentleman. Islam tidak memerlukan paksaan sebagai lampu menyuluh isinya yang sudah terang lagi bersuluh bak cahaya matahari di tengahari (Tafsir Ibn Kathir). Barang yang perlu dipaksa biasanya kurang kualiti:

لَا إِكْرَاهَ فِي الدِّينِ قَدْ تَبَيَّنَ الرُّشْدُ مِنَ الْغَيِّ فَمَنْ يَكْفُرْ بِالطَّاغُوتِ وَيُؤْمِنْ بِاللَّهِ فَقَدِ اسْتَمْسَكَ بِالْعُرْوَةِ الْوُثْقَى لَا انْفِصَامَ لَهَا وَاللَّهُ سَمِيعٌ عَلِيمٌ
“Tidak ada paksaan dalam ugama (Islam),” kerana sesungguhnya telah nyata kebenaran (Islam) dari kesesatan (kufur). Oleh itu, sesiapa yang tidak percayakan Taghut, dan ia pula beriman kepada Allah, maka sesungguhnya ia telah berpegang kepada simpulan (tali ugama) yang teguh yang tidak akan putus. Dan (ingatlah), Allah Maha Mendengar, lagi Maha Mengetahui Surah al-Baqarah 2:256

Paksa pun tidak berguna kerana hati manusia mutlak dipegang Allah. Hanya Allah mampu memberi hidayah sesuai dengan namaNya “الهادي – Yang Maha Memberi Hidayah.”

Boleh sahaja Barrack Obama, Angelina Jolie, Lindsay Lohan, Lim Guan Eng atau sesiapa sahaja diberikan hidayah. Jika Allah menghalang hidayah menyentuh hati seseorang seiring namaNya “المانع – Yang Maha Menghalang”, berilah air Yasin penerang hati 10 tempayan atau “air ajaib 30 juzuk” sekalipun, manusia sesat tidak akan beriman. Usahkan kita, Rasulullah S.A.W sendiri pun tidak mampu memberikan hidayah:

إِنَّكَ لَا تَهْدِي مَنْ أَحْبَبْتَ وَلَكِنَّ اللَّهَ يَهْدِي مَنْ يَشَاءُ وَهُوَ أَعْلَمُ بِالْمُهْتَدِينَ
Sesungguhnya engkau (wahai Muhammad) tidak berkuasa memberi hidayah petunjuk kepada sesiapa yang engkau kasihi (supaya ia menerima Islam), tetapi Allah jualah yang berkuasa memberi hidayah petunjuk kepada sesiapa yang dikehendakiNya (menurut undang-undang peraturanNya); dan Dia lah jua yang lebih mengetahui akan orang-orang yang (ada persediaan untuk) mendapat hidayah petunjuk (kepada memeluk Islam) Surah al-Qasas 28:56

Memaksa orang menerima Islam seakan mencabar Allah yang memiliki hak ekslusif memberi Hidayah. Paksa bukan mengukuhkan hati, bahkan boleh meruntuhkan iman.

Orang yang dipaksa boleh tersenyum depan si pemaksa, namun setelah berpaling, kata nista pasti dihambur bersembur-sembur seperti peluru penabur. Islam adalah Agama Ilmu dan Agama Sedar. Manusia cerdik yang sedar hatinya pasti terbuka menerima Islam yang sangat logik dan saintifik.

Walau bagaimanapun kenyataan Puan Sister dalam kisah di awal tadi perlu ditegur untuk kebaikannya. Tampak seakan alim menuturkan ayat al-Quran, namun sebenarnya beliau silap memasang nass agama tanpa disiplin. Tindakannya seumpama memberikan panadol kepada si rabun. Kenyataannya ada 3 silap kesilapan:

#1- Salah Memahami Konteks Sebenar Ayat ‘Tiada Paksaan’ Dalam Islam

Ayat tersebut berada dalam lingkungan akidah iaitu “seorang Muslim tidak boleh memaksa saudaranya yang masih belum Islam menerima Islam.” Sebab penurunan ayat tersebut cukup menjawab persoalan larangan memaksa akidah itu:

عَنْ ابْنِ عَبَّاسٍ قَالَ كَانَتْ الْمَرْأَةُ تَكُونُ مِقْلَاتًا فَتَجْعَلُ عَلَى نَفْسِهَا إِنْ عَاشَ لَهَا وَلَدٌ أَنْ تُهَوِّدَهُ 
فَلَمَّا أُجْلِيَتْ بَنُو النَّضِيرِ كَانَ فِيهِمْ مِنْ أَبْنَاءِ الْأَنْصَارِ فَقَالُوا لَا نَدَعُ أَبْنَاءَنَا فَأَنْزَلَ اللَّهُ عَزَّ وَجَلَّ
{ لَا إِكْرَاهَ فِي الدِّينِ قَدْ تَبَيَّنَ الرُّشْدُ مِنْ الْغَيِّ }
Ibn ‘Abbas berkata: Ada seorang wanita yang tiada anak bernazar jika anaknya lahir, akan dididik menganut agama Yahudi. Setelah Yahudi Bani Nadhir diusir dari Madinah (berikutan jenayah mereka) sedang dalam kalangan Bani Nadhir itu ada anak orang Ansar yang beragama Yahudi. Orang Ansar lalu berkata: Kami tidak akan membiarkan anak-anak kami itu berterusan menganut agama Yahudi (dan mahu memaksa mereka memeluk Islam). Berikutan itu Allah menurunkan: Tiada paksaan dalam agamaSunan Abu Dawud

Sebelum seseorang itu memeluk Islam, kita tidak boleh memaksa mereka memeluk Islam kerana itu adalah “Hak Asasinya Dalam Berakidah. Namun begitu, apabila seseorang sudah memilih Islam seperti Puan Sister, beliau terikat dengan segala arahan Islam yang sebenarnya sangat baik untuk dirinya.

Tutup aurat, solat, zakat puasa dan sebagainya mempunyai manfaat untuk dirinya dan orang lain. Umpamanya sebelum memandu di jalan raya Malaysia, anda bebas berbuat apa sahaja. Setelah memandu di jalan raya Malaysia, anda perlu berlesen dan membayar cukai jalan kerana ia adalah tuntutan kerajaan Malaysia. Jika ditahan Polis kerana tidak memiliki lesen atau cukai jalan anda tetap salah dan perlu disaman.

#2- Salah Memahami Makna ‘Islam’

Islam adalah penyerahan mutlak kepada sistem Allah dengan keyakinan apa yang ditentukan Allah sebagai Pencipta makhluk adalah terbaik. Muslim sebenar juga yakin kita tak akan lebih pandai atau bijak dari Allah.

Jika kita berdegil tidak mahu mematuhi arahan Islam, tanggunglah akibatnya di dunia dan akhirat kelak.

#3- Salah Memahami Hak Asasi Allah Berbanding Hak Asasi Manusia

Siapalah manusia tanpa Allah yang menciptanya. Mematuhi Allah dalam bangunan Islam bukan suatu pilihan tetapi kewajipan yang kebaikannya bertimbal balik padanya juga:

قُلْ يَا أَيُّهَا النَّاسُ قَدْ جَاءَكُمُ الْحَقُّ مِنْ رَبِّكُمْ فَمَنِ اهْتَدَى فَإِنَّمَا يَهْتَدِي لِنَفْسِهِ وَمَنْ ضَلَّ فَإِنَّمَا يَضِلُّ عَلَيْهَا وَمَا أَنَا عَلَيْكُمْ بِوَكِيلٍ
Katakanlah (wahai Muhammad): “Wahai sekalian manusia! Telah datang kepada kamu kebenaran (Al-Quran) dari Tuhan kamu. Oleh itu sesiapa yang mendapat hidayah petunjuk (beriman kepadanya), “Maka faedah hidayah petunjuk itu terpulang kepada dirinya sendiri; dan sesiapa yang sesat (mengingkarinya) maka bahaya kesesatannya itu tertimpa ke atas dirinya sendiri” dan aku pula bukanlah menjadi wakil yang menguruskan soal (iman atau keingkaran) kamu”Surah Yunus 10:108

Saya percaya Allah jauh lebih pandai dan bijak dari semua makhluk ciptaanNya. Pun begitu, jika teman kita masih enggan menutup aurat, bersolat, berpuasa dan menjalankan kewajipannya sebagai muslim, usahlah dipaksa kerana paksaan bukan ubat terbaik untuknya.

Sebaliknya sentuhlah hatinya dengan keindahan Islam dan doakan hidayah untuknya. Islam adalah agama ilmu yang logik, saintifik lagi luas medan wacananya.

Jangan dibawa Islam dalam lagak seorang guru disiplin yang mengugut para pelajar dengan libasan rotan atau gentelan misai semata. Islam adalah rahmat dan kasih sayang. Ada masanya kasih sayang dibawa dalam bahasa lunak dan adakala kasih sayang perlu rotan dan teguran.


Kongsikan Artikel Ini

Nabi Muhammad s.a.w berpesan, “sampaikanlah dariku walau satu ayat” dan “setiap kebaikan adalah sedekah.” Apabila anda kongsikan artikel ini, ia juga adalah sebahagian dari dakwah dan sedekah. Insyallah lebih ramai yang akan mendapat manafaat.

Abdullah Bukhari

Abdullah Bukhari

Beliau merupakan seorang Sarjana Usuluddin (Tafsir Al-Quran) dan kini menjadi seorang pensyarah di Jabatan Tilawah Al-Quran, Pusat Bahasa, UIAM. Beliau juga merupakan pemikir dan penulis Nota Tafsir Wartawan al-Quran yang kerap dikongsikan bersama pembaca, lebih-lebih lagi pengguna Facebook. Selain daripada itu, penulisan beliau juga kerap tersiar di akhbar Utusan Malaysia dan Berita Harian.

Kempen Dakwah Digital

Boleh Sumbangkan RM50 Untuk Dakwah?

Bantu kami untuk mengerakkan platform dakwah digital ini dengan menerbitkan konten-konten Islamik yang mampu menyentuh jiwa insan lain agar berubah menjadi lebih baik.

Langgan Siri Tazkirah

Dapatkan siri informasi islamik yang ringan dan santai terus kepada emel anda setiap minggu dengan mengisi emel anda di bawah.

Ikuti Kami