Inspirasi

Untuk 2019 Yang Tiba

Oleh Natirah Azira  •  31 Dec 2018  •  2 min baca

Saya sentiasa menganggap tahun baru detik yang istimewa. Bukan kerana perayaan atau sambutan yang ada, tetapi kerana magisnya kewujudan dan peredaran masa yang Tuhan ciptakan. Setiap tahun, saya akan membangun harapan-harapan baru.

Dan untuk tahun ini, saya berharap saya dan anda semua akan lebih percaya dan yakin pada perjalanan yang Tuhan aturkan. Kita tidak akan lagi mengetuk pintu yang telah ditutup. Kita akan mempelajari bahawa hidup ini punya banyak pintu kebahagiaan. Setiap satunya ibarat jalan-jalan kecil yang akan mengarah kepada titik temu yang sama di penghujungnya iaitu kebahagian yang sebenar di sisi Tuhan.

Di tahun 2019, saya berharap kita akan lebih cekal menghadapi cabaran hidup. Kita akan lebih gigih berusaha. Jika ada halangan yang bakal ditempuh, kita akan meminta kekuatan daripada Dia. Jika kita jatuh, kita tidak akan berputus asa untuk bangkit lagi, dan lagi. Di tahun ini, sekalipun kita masih bertanya ‘mengapa ini terjadi’, saya berharap kita akan terus yakin dan percaya bahawa Dia lebih tahu apa yang terbaik untuk kita.

Di tahun 2019, saya berharap kita akan lebih banyak bercerita perihal kehidupan yang kita lalui kepada Tuhan. Segala kegembiraan, kesedihan dan keluh kesah kita akan lebih dahulu kita curahkan kepada Tuhan. Dia akan menjadi pendengar kita yang pertama dan paling utama. Kerana hakikatnya jawapan kepada segala masalah yang telah, sedang dan bakal tiba semuanya ada pada Dia.

Di tahun 2019, saya berharap kita akan lebih teliti mendengar jawapan dari doa-doa yang kita pohonkan pada Tuhan. Kita tidak lagi akan membiarkan jawapan daripada Dia diam tidak bersambut. Kita akan menerimanya sebagai jawapan meski bukan seperti yang kita harapkan.

Di tahun 2019, saya berharap kita semua akan mengikat hati kita pada Dia, dan bukan pada orang, benda, mahupun peristiwa. Sekalipun kita akan disakiti dan dilukai lagi, kita tahu ke mana tempat ingin menyelamatkan diri. Kita tahu bahawa Dia miliki penawar mujarab jika kita ingin diubati.

Di tahun 2019, saya berharap kita akan lebih cepat menyedari bahawa hidup ini sementara, dan apa yang akan menjadikan hidup ini lebih bermakna ialah apa yang kita isi di dalamnya- hubungan baik dengan keluarga, bakti pada orang yang kita jumpa serta ikatan dengan Dia.

Di tahun 2019, saya berharap hati kita akan dipenuhi bahagia.


Kongsikan Artikel Ini

Nabi Muhammad s.a.w berpesan, “sampaikanlah dariku walau satu ayat” dan “setiap kebaikan adalah sedekah.” Apabila anda kongsikan artikel ini, ia juga adalah sebahagian dari dakwah dan sedekah. Insyallah lebih ramai yang akan mendapat manafaat.

Natirah Azira

Beliau merupakan graduan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia dalam bidang Al-Quran dan Sunnah. Pernah mendalami bidang Psikologi selama dua tahun dan sekarang sedang menyambung pengajian peringkat Ijazah Sarjana dalam bidang Kaunseling di Universiti Sains Malaysia.

Kempen Dakwah Digital

Boleh Sumbangkan RM50 Untuk Dakwah?

Bantu kami untuk mengerakkan platform dakwah digital ini dengan menerbitkan konten-konten Islamik yang mampu menyentuh jiwa insan lain agar berubah menjadi lebih baik.

Langgan Siri Tazkirah

Dapatkan siri informasi islamik yang ringan dan santai terus kepada emel anda setiap minggu dengan mengisi emel anda di bawah.

Ikuti Kami