Wanita

Ummu Sulaim; Maharnya Adalah Islam

Oleh Marina  •  16 Aug 2017  •  3 min baca

Ummu Sulaim atau nama sebenarnya, Rumaisha binti Milhan merupakan isteri kepada Malik bin Nadhar.

Hasil perkongsian hidup, mereka dikurniakan seorang anak lelaki bernama Anas. Tanpa pengetahuan suaminya, Ummu Sulaim telah menyatakan keislamannya bersama anaknya itu.

Sebaik suaminya mendapat khabar itu, dia tidak dapat menerima hakikat tersebut lalu meninggalkan Ummu Sulaim bersama anak mereka terkapai-kapai sendirian akibat marah dengan tindakan Ummu Sulaim itu.

Tidak lama setelah itu, khabar duka tiba ke pengetahuan Ummu Sulaim yang memberitahu bahawa suaminya itu telah mati dibunuh oleh musuhnya. Alangkah sedihnya Ummu Sulaim mengenangkan nasib suaminya.

Sejak itu, Ummu Sulaim bergelar ibu tunggal dan membesarkan anaknya sendirian. Tanpa pengetahuan Ummu Sulaim, seorang pembesar Musyrikin Mekah ketika itu sudah lama menaruh hati padanya. Namanya Abu Talhah.

Pernah, suatu hari Abu Talhah menyatakan keinginan hatinya terhadap Ummu Sulaim. Namun, Ummu Sulaim menjawab;

“Aku akan terus menyusukan anakku sehingga dia tidak mahu lagi menyusu dan aku tidak akan menikahi sesiapa lagi sehingga anakku membesar.”

Abu Talhah berasa kagum dengan pendirian Ummu Sulaim. Cinta begitu kuat untuk memperisterikan Ummu Sulaim.

Lalu, Abu Talhah bersama beberapa orang pembantu datang menemui Ummu Sulaim dan membawa emas dan perak sebagai mahar untuk menyunting dirinya.
Abu Talhah berkata kepada Ummu Sulaim dengan penuh keyakinan;

“Wahai Ummu Sulaim, sudikah engkau menjadi isteriku? Mahukah engkau menerimanya?”

Lalu, Ummu Sulaim pun tersenyum dan membalas;

“Wahai Abu Talhah, lamaranmu itu memang tidak patut ditolak. Akan tetapi, aku tidak mahu menikahi seorang musyrik.”

Abu Talhah terdiam seketika. Senyuman yang terukir di wajahnya serta-merta berubah. Ummu Sulaim berkata;

“Wahai Abu Talhah, tidakkah engkau tahu bahawa berhala yang engkau sembah itu langsung tidak dapat memberikan manfaat kepadamu. Itu hanyalah patung yang diukir oleh manusia. Jika engkau membakarnya, pasti ia hangus berderai.”

Alangkah terkejutnya Abu Talhah mendengarkan kata-kata yang keluar dari mulut Ummu Sulaim itu. Dia langsung tidak menyangka pinangannya itu akan membawa ke suatu perkara yang serius dalam pegangan akidahnya.

Kata-kata Ummu Sulaim begitu menghantui hidup Abu Talhah. Setelah berfikir panjang, lalu Abu Talhah kembali menemui Ummu Sulaim dan membawa beberapa barangan sebagai mahar untuknya. Namun, Ummu Sulaim langsung tidak tergoda dengan tawaran tersebut.

“Wahai Abu Talhah, engkau mengetahui bahawa aku seorang muslim dan engkau adalah seorang kafir. Oleh itu, aku tidak boleh bernikah denganmu. Akan tetapi, sekiranya engkau masih terus mahu menikah denganku, ada syarat yang perlu engkau turuti iaitu jadikan Islammu sebagai mahar untukku.”

Penjelasan itu benar-benar mengejutkan Abu Talhah. Dia langsung tidak terfikir Ummu Sulaim akan berkata demikian, kerana ia melibatkan pegangan dan keyakinannya selama ini.

Dia buntu memikirkan mana satu yang perlu dipilih. Setelah membuat pertimbangan sewajarnya, sedarlah Abu Talhah bahawa harta kemewahan langsung tidak menggugat iman Ummu Sulaim.

Hal itu secara tidak langsung menambahkan lagi kasihnya terhadap Ummu Sulaim. Abu Talhah segera menemui Rasulullah s.a.w untuk mengucapkan syahadahnya.

Namun begitu, keislamannya itu bukanlah semata-mata kerana cintanya terhadap Ummu Sulaim, akan tetapi dia berbuat demikian setelah memikirkan kebenaran kata-kata Ummu Sulaim terhadap berhala sembahannya selama ini.

Tidak lama setelah itu, Abu Talhah pun bernikah dengan Ummu Sulaim dan menjadikan Islam sebagai maharnya.

Terharunya Ummu Sulaim kerana Abu Talhah benar-benar mengasihinya dan beroleh hidayah untuk beriman kepada Allah s.w.t.

Mudah-mudahan, kisah ini dapat menjadikan kita untuk menghargai nikmat hidayah yang dikurniakan oleh Allah swt kepada setiap hambanya. Wallahua’lam.


Kongsikan Artikel Ini

Nabi Muhammad s.a.w berpesan, “sampaikanlah dariku walau satu ayat” dan “setiap kebaikan adalah sedekah.” Apabila anda kongsikan artikel ini, ia juga adalah sebahagian dari dakwah dan sedekah. Insyallah lebih ramai yang akan mendapat manafaat.

Marina

Merupakan graduan dari UNISZA, Terengganu dalam bidang Pengajian Islam dengan hasrat menggabungkan pelbagai pengetahuan dan kemahiran yang dimiliki untuk manfaat komuniti. Menulis adalah salah satu dari minatnya dan beliau turut menghasilkan sebuah karya pertamanya yang berjudul , '' Himpunan Kisah Kaum-Kaum Binasa''.

Kempen Dakwah Digital

Boleh Sumbangkan RM50 Untuk Dakwah?

Bantu kami untuk mengerakkan platform dakwah digital ini dengan menerbitkan konten-konten Islamik yang mampu menyentuh jiwa insan lain agar berubah menjadi lebih baik.

Langgan Siri Tazkirah

Dapatkan siri informasi islamik yang ringan dan santai terus kepada emel anda setiap minggu dengan mengisi emel anda di bawah.

Ikuti Kami