Tokoh

Ummu Mahjan, Wanita Istimewa Yang Bertugas Membersih Masjid Nabi

Oleh Natirah Azira  •  29 Jul 2019  •  4 min baca

Diceritakan bahawa ada seorang wanita yang kerap didampingi oleh Saidatina Aisyah setiap hari. Wanita tersebut kerap mengungkapkan syair tentang sehelai selendang.

“ويوم الوشاح من أعاجيب ربنا ألا إنه من بلدة الكفر أنجاني”

(Dan hari di mana sehelai selendang menjadi bukti kebesaran Tuhan kita,
dan pada hari itulah Dia telah menyelamatkan ku daripada kota kekafiran (mereka yang tidak percaya)

Dia dipanggil Ummu Mahjan. Saidatina Aisyah mendengar wanita itu mengulang syair yang sama berkali-kali, namun beliau tidak mengerti. Pada suatu hari Saidatina Aisyah membuat keputusan untuk bertanya, apakah makna dan kisah yang tersimpan di sebalik ungkapan syair tersebut.

Ummu Mahjan bercerita bahawa sebenarnya dia berasal daripada daerah yang dipanggil Habsyah atau Abyssinia (Utara Ethiopia sekarang). Dia merupakan seorang hamba perempuan kepada sebuah keluarga dalam kabilah tersebut. Ummu Mahjan ‘sebatang kara’ dan tidak mempunyai keluarga atau saudara mara yang lain. Maka ke mana sahaja keluarga itu berkelana, maka Ummu Mahjan juga akan turut serta.

Keluarga tersebut mempunyai seorang anak perempuan. Dia memiliki sehelai selendang kulit berwarna merah. Ia dipanggil Wisyah dan biasanya dipakai di pinggang atau dililitkan di leher. Kebiasaan selendang pada waktu itu akan diletakkan batu permata atau hiasan lain bagi menunjukkan taraf dan juga kekayaan pemiliknya.

Namun pada suatu hari saat anak perempuan tuannya tidur, datanglah seekor burung menyambar selendang tersebut kerana menyangka ia sepotong daging. Bangun sahaja daripada tidur, dia menyedari bahawa selendangnya hilang lalu mula menjerit. Orang-orang dari kabilah tersebut dikumpulkan dan Ummu Mahjan telah dituduh mengambil selendang tersebut.

Ummu Mahjan disiasat dan apabila ditanya di mana selendang tersebut berada, beliau menjawab bahawa; “Burung telah datang menyambarnya”

Orang yang mendengar langsung tidak percaya.

“Jika engkau mahu menipu sekalipun, pilihlah alasan yang lebih munasabah”

Ummu Mahjan bersumpah kepada mereka bahawa dia bercakap benar namun tidak dipedulikan. Mereka terus memukul dan langsung tidak mengasihaninnya.

Pada waktu itu juga, burung tersebut kembali datang lalu menjatuhkan selendang yang dicari betul-betul di tempat mereka berkumpul dan semua orang yang berada di situ terkejut melihat apa yang terjadi.

Ummu Mahjan yang marah dan kecewa kerana tidak dipercayai lantas menghamburkan segala kekecewaannya.

“Inilah hal yang engkau tuduhku itu dan aku tidak bersalah!”

Orang-orang yang mula menyedari bahawa Ummu Mahjan telah bercakap benar berasa malu. Tuannya juga telah mengambil keputusan untuk membebaskannya. Dengan keputusan tersebut, dia akhirnya bebas ke mana-mana.

Ekoran daripada peristiwa itu, dia akhirnya membuat keputusan untuk berhijrah ke Madinah apabila mendengar adanya seorang nabi yang menawarkan perlindungan kepada orang-orang yang ditindas – kebanyakan pengikutnya pada awalnya adalah daripada kalangan hamba dan orang dari kelas bawahan.

Rasulullah SAW telah menyedari kehadiran seorang wanita yang asing di Madinah dan dapat mengagak bahawa dia bukanlah berasal daripada tempat tersebut. Ummu Mahjan adalah orang yang baru di situ, tidak mengenali sesiapa, dan tidak mempunyai keluarga. Dia memerlukan perlindungan lantas Rasulullah SAW sendiri bertemunya dan menawarkan Islam.

Rasulullah SAW tahu bahawa Allah mencintai wanita tersebut, dan dia merupakan berlian yang berharga bagi agama sekalipun tidak ada yang mengenalinya.

Dibangunkan juga tempat di dalam masjid nabi untuk Ummu Mahjan tinggal berteduh. Dia telah mendapat tempat istimewa di sisi Nabi SAW setelah keislamannya. Sekalipun tidak ditugaskan untuk melakukan apa-apa, Ummu Mahjan sendiri bertindak menjaga dan membersihkan masjid nabi kerana tingginya cinta kepada rumah Allah.

Pada suatu hari, Rasulullah SAW tidak melihat kelibat Ummu Mahjan di dalam masjid lalu ditanyakan kepada para sahabat.

“Rasulullah, Ummu Mahjan telah meninggal dunia malam tadi pada waktu yang sangat pelik. Kami tidak mengejutkan engkau dan menguruskan jenazahnya sendiri”

Mendengarkan hal itu, Nabi menjadi marah kerana baginda sendiri mahu menunaikan solat jenazah ke atas Ummu Mahjan. Para sahabat pula tidak menyedari keistimewaan wanita tersebut di sisi Allah.

Baginda lantas berkata:

“Bawakan aku ke kuburnya. Tidakkah kalian tahu bahawa dengan doakulah kuburnya bercahaya”

Lalu sejarah menyaksikan bahawa solat jenazah telah dilakukan dua kali buat Ummu Mahjan. Pertamanya ditunaikan oleh para sahabat dan kali kedua dilakukan oleh Rasulullah SAW sendiri. Baginda melakukan solat jenazah sekali lagi ke atas kubur Ummu Mahjan kerana istimewannya wanita tersebut dalam agama. Dia telah berhijrah meninggalkan tempat tinggalnya demi mencari Islam.

Maka jika berpeluang menziarahi masjid nabi, ingatlah bahawa suatu waktu dahulu pernah ada seorang wanita yang tinggal di sana dan menjaga tempat itu dengan rapi. Meskipun tidak dikenali, beliau istimewa di sisi Rasulullah SAW dan Allah SWT.

Kadang-kadang kita tidak menyedari nilai yang ada pada setiap orang yang kita jumpa. Setiap dari mereka ada sesuatu yang istimewa.

Rujukan: The Daily Reminder


Kongsikan Artikel Ini

Nabi Muhammad s.a.w berpesan, “sampaikanlah dariku walau satu ayat” dan “setiap kebaikan adalah sedekah.” Apabila anda kongsikan artikel ini, ia juga adalah sebahagian dari dakwah dan sedekah. Insyallah lebih ramai yang akan mendapat manafaat.

Natirah Azira

Beliau merupakan graduan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia dalam bidang Al-Quran dan Sunnah. Pernah mendalami bidang Psikologi selama dua tahun dan sekarang sedang menyambung pengajian peringkat Ijazah Sarjana dalam bidang Kaunseling di Universiti Sains Malaysia.

Kempen Dakwah Digital

Boleh Sumbangkan RM50 Untuk Dakwah?

Bantu kami untuk mengerakkan platform dakwah digital ini dengan menerbitkan konten-konten Islamik yang mampu menyentuh jiwa insan lain agar berubah menjadi lebih baik.

Langgan Siri Tazkirah

Dapatkan siri informasi islamik yang ringan dan santai terus kepada emel anda setiap minggu dengan mengisi emel anda di bawah.

Ikuti Kami