Tokoh

Umar al-Khattab: Dari Seorang Penentang Kepada Pembela

Oleh Rabiatul Adaweeyah  •  28 Jun 2017  •  4 min baca

Nama sebenar Umar al-Khattab ialah Umar bin al-Khattab bin Nufail bin Abdul Uzza bin Ribaah bin Abdillah bin Qarth bin Razaah bin Adi bin Kaab. Beliau juga digelar dengan nama Abu Hafs. Beliau dilahirkan di Mekah pada 584 Masihi, iaitu 13 tahun selepas kelahiran Nabi Muhammad SAW, empat tahun sebelum Perang Fijr.

Umar al-Khattab berketurunan Arab Quraisy dari kabilah Bani Adi. Dalam masyarakat Quraisy, kaum Adi mempunyai kedudukan yang tinggi dan dipandang mulia. Ramai tokoh terkenal dan ternama lahir dalam suku kaum ini. Salasilah Umar al-Khattab dan Nabi Muhammad SAW bertemu pada keturunan yang ke-8, iaitu pada nenek mereka yang bernama Kaab bin Luai al-Quraisy al-Kedawi.

Umar al-Khattab membesar dalam keluarga yang berada dan bukan beragama Islam. Semasa kecilnya, beliau memelihara ternakan milik orang tuanya selain berniaga dan berdagang dengan berulang-alik ke Syam.

Pada awal kemunculan agama Islam, Umar al-Khattab dan Abu Jahal merupakan penentang kuat Islam dan Nabi Muhammad SAW. Dalam kaumnya, Umar al-Khattab dikenali sebagai seorang yang sangat tegas dan berani, disebabkan itu beliau sering diangkat sebagai wakil untuk berunding jika ada dalam kalangan kaum mereka yang bermusuhan.

Umar al-Khattab juga terkenal dengan sikap bengis dan garang, namun diriwayatkan hatinya mulai lembut dan cair untuk menerima Islam setelah mendengar bacaan Al-Quran oleh adiknya, Fatimah melalui surah Toha, ayat 1 hingga 9 (sesetengah riwayat mengatakan surah Toha, ayat 1 hingga 5).

Tindakan Umar al-Khattab memeluk Islam sangat menggemparkan masyarakat Quraisy. Ada yang sukar percaya kerana sedia mengetahui kebencian Umar al-Khattab terhadap agama Islam sangat tinggi, sehinggakan beliau pernah bercadang untuk membunuh Nabi Muhammad SAW.

Namun, berkat doa Rasulullah SAW, Umar al-Khattab telah diberikan hidayah oleh Allah SWT untuk menerima Islam. Nabi Muhammad sangat berharap agar Umar al-Khattab memeluk Islam dan menjadi salah satu kekuatan Islam ketika itu. Rasulullah SAW berdoa;

“Ya Allah kuatkan Islam dengan Umar al-Khatab atau Abu Jahal.”( Hadis Riwayat at-Thabarani)

Setelah memeluk Islam, Rasulullah SAW memberi gelaran kepada Umar al-Khattab, iaitu ‘al-Faruq’ kerana dapat membezakan antara perkara yang benar dan sebaliknya.

Dengan pengislaman Umar al-Khattab, maka umat Islam yang sebelum itu berada dalam ketakutan terus menjadi kuat dan bersemangat. Mereka dengan beraninya mengakui memilih Islam, mendirikan solat secara terang-terangan di Baitullah. Bahkan, orang Quraisy juga tidak berani menganggu orang Islam yang sedang beribadah kerana takutkan Umar al-Khattab.

Sewaktu peristiwa hijrah, ramai umat Islam yang masih takut dan ragu-ragu untuk berhijrah kerana bimbang akan keselamatan mereka. Mereka diugut oleh kaum kafir Quraisy yang menghalang di setiap sempadan negeri Mekah, jika didapati ada umat Islam yang keluar dari kota itu, mereka pasti akan dibunuh. Rasulullah SAW dan Abu Bakar sendiri berhijrah secara sembunyi.

Namun keberanian Umar al-Khattab terserlah apabila beliau nekad menyahut seruan Nabi Muhammad SAW untuk sama-sama berhijrah ke Madinah.

Beliau mengambil keputusan menuju ke Kaabah tanpa sedikit pun rasa takut di hatinya. Di sisi pinggangnya terdapat sebilah pedang dan busur panah disangkut di bahunya, sebatang anak panah tergenggam di tangannya.

Tokoh-tokoh dan para pembesar Quraisy yang berada di kawasan Kaabah terpaku menyaksikan kehadiran Umar dengan keadaan sedemikian. Mereka tidak berani mendekati mahupun bertanya apa-apa kepada beliau.

Saidina Umar mendirikan tawaf sebanyak tujuh kali dengan penuh semangat tetapi tenang, tanpa menghiraukan tokoh-tokoh kafir Quraisy yang memerhatikannya. Sebaik selesai bertawaf, beliau menuju ke Makam Ibrahim dan mendirikan solat di situ. Kemudian berkata kepada kaum kafir Quraisy;

“Sesungguhnya Allah SWT tidak akan membinasakan wajah manusia di dunia ini, kecuali wajah golongan yang memusuhi agama Allah. Barangsiapa yang sanggup menjadikan ibunya keseorangan disebabkan kematian anak, meletakkan anak-anak mereka menjadi yatim piatu lantaran kematian bapa, sanggup menjadikan isteri kesayangannya menjadi balu kerana kematian suami, marilah kita beradu senjata di sebalik bukit ini.”

Cabar Umar al-Khattab kepada tokoh-tokoh Quraisy itu.

Mereka yang menyaksikan Umar al-Khattab yang sangat bersemangat dengan pedang terhunus itu berasa gerun dan takut. Tiada siapapun yang berani menyahut cabaran Umar al-Khattab itu. Ternyata kekuatan beliau dalam beradu tenaga dan pedang sukar dikalahkan sesiapapun. Mereka membisu tanpa berkata dan melakukan apapun.

Lalu Umar al-Khattab melangkahkan kaki meninggalkan Kota Mekah dengan tenang, tanpa diikuti oleh kaum Quraisy. Manakala kaum muslimin yang mendengar kata-kata Umar al-Khattab kembali bersemangat dan segera mengikuti beliau berhijrah ke kota Madinah. Mereka semua mengambil peluang itu untuk berhijrah aman tanpa sebarang gangguan.

Sejak pengislaman Umar al-Khattab, Islam terus disegani oleh kaum kafir Quraisy. Bahkan umat Islam sendiri menjadi lebih yakin dan bersemangat menjalani kehidupan seharian sebagai masyarakat Islam. Sehinggalah beliau dilantik sebagai khalifah, Umar al-Khattab memegang amanah itu dengan benar-benar menegakkan Islam seperti Rasulullah SAW.

RUJUKAN

1. Muhammad Husain Haekal, 2002, Umar bin Khattab, terj. Ali Audah, Al-Faruq ‘Umar, Pustaka Litera AntarNusa: Bogor.
2. Abdul Latip Talib, 2009, Umar Al-Khattab: Reformis Dunia Islam, PTS: Selangor.
3. Musthafa Murad, 2009, Umar ibn al-Khattab, terj. Ahmad Ginanjar Sya’ban dan Lulu M.Sunman, Kisah Hidup Umar Bin Khattab Zaman: Jakarta.


Kongsikan Artikel Ini

Nabi Muhammad s.a.w berpesan, “sampaikanlah dariku walau satu ayat” dan “setiap kebaikan adalah sedekah.” Apabila anda kongsikan artikel ini, ia juga adalah sebahagian dari dakwah dan sedekah. Insyallah lebih ramai yang akan mendapat manafaat.

Rabiatul Adaweeyah

Berkelulusan Ijazah Sarjana Muda dari Universiti Malaya dalam Pengkhususan Pengajian Media Dan Sejarah. Sekarang bertugas sebagai Editor di sebuah syarikat penerbitan buku.

Kempen Dakwah Digital

Boleh Sumbangkan RM50 Untuk Dakwah?

Bantu kami untuk mengerakkan platform dakwah digital ini dengan menerbitkan konten-konten Islamik yang mampu menyentuh jiwa insan lain agar berubah menjadi lebih baik.

Langgan Siri Tazkirah

Dapatkan siri informasi islamik yang ringan dan santai terus kepada emel anda setiap minggu dengan mengisi emel anda di bawah.

Ikuti Kami