Remaja, Ulasan Buku

Ulasan Buku – Sweet Sour Couple Muda

Oleh Azian Mohamed Isa  •  29 Sep 2020  •  3 min baca

Lelaki memang mudah jatuh cinta, bukan? Kata seorang lelaki, jatuh cinta bukan perkara aneh bagi kaum Adam. Lagipun, jatuh cinta bukanlah bercinta.

Oh, begitukah?

Jadi, apabila membaca nukilan jujur Ustaz Syakirin Ruslan di awal bab dalam buku berjudul Sweet Sour Couple Muda, di mana jantungnya berdebar-debar dup-dap-dup-dap tatkala berurusan dengan siswi-siswi yang rupawan, terus saya faham.

Rupa-rupanya, perasaan jatuh cinta itu lahir dek tertarik dengan wajah yang menyenangkan. Barangkali juga kerana syaitan ketika itu giat untuk menyesatkan. Astaghfirullah!

Tetapi itulah fitrah dan ujian bagi seorang lelaki. Kata Ustaz Syakirin, itu adalah ujian mata dan hati bagi dirinya. Mahu tak mahu, dia perlu bijak uruskan fitrah itu ke jalan yang Allah redha.

Berusaha menundukkan pandangan sejajar dengan firman Allah dalam surah An-Nur ayat 30. Berjihad membawa hati yang sedang kemaruk dan berbunga-bunga itu ke tempat yang sepatutnya.

Jangan sampai perasaan ini membawa dirinya jauh dari Allah. Lebih teruk, meninggalkan terus Allah SWT. Nau’zubillah. Jadi bagaimana caranya?

 Aha …

Kenalah baca buku ini.  

Buku ini telah digarap dengan penceritaan yang baik, setiap bab diawali dengan petikan kata-kata motivasi yang ringkas tapi bermakna. Yang paling saya suka,

“Cinta ini terkadang seperti magnet. Mampu mendekatkan yang jauh. Mengeratkan yang sudah dekat. Paling dahsyat mampu menarik rezeki yang berkat. Luar biasa!

Laras bahasa yang digunakan bersesuaian dengan  khalayak yang disasarkan. 

Dinukilkan oleh dua orang penulis yang juga merupakan pasangan suami dan isteri, naskhah ini dibahagikan kepada dua bab besar, iaitu Catatan Si Kumbang dan Luahan Si Bunga.

Setiap bab pula dipecahkan kepada tajuk-tajuk kecil yang mewakili dilema, keresahan, kebimbangan dan kegusaran couple muda saat cinta mula berputik sehinggalah termeterainya sebuah ikatan perkahwinan.

“Betulkah dia jodohku?”

“Mengapa mahu bernikah sedangkan kewangan masih goyah?”

“Mengapa mahu kahwin di awal usia? Lebih baik sambung pengajian, luaskan pengalaman.

Inilah kerikil konflik yang menerjah mencalar-retak tugu cinta yang mahu dibina. Calar-retak yang hadir dilindungi, dipulih dan dipelihara dengan permata istikharah, mutiara doa dan jauhar restu daripada ayah dan ibu.

Hasilnya, sebuah perkahwinan yang berkat, penuh mawaddah wa rahmah. Mudah-mudahan dikurniakan bahagia hingga ke syurga.

Satu naskah cinta patuh syariah yang penuh dengan kisah masam manis, suka duka pasangan muda. Kisah cinta yang betul, ada calar dan retaknya kerana cinta tak akan pernah sempurna.

Yang sempurna hanya apabila segala ketidaksempurnaan itu diakui, diambil pengajarannya dan sama-sama berusaha memperbaikinya.

Tahniah kepada penulis, Nabihah Ab Razak dan Syakirin Yuslan.

Buku terbitan Galeri Ilmu di bawah label Akademi Bonda Nor boleh didapati di kedai-kedai buku berhampiran.

Selamat membaca.

Ulasan:
Buku Sweet Sour Couple Muda oleh Syakirin Roslan dan Nabihah Ab Razak terbitan Galeri Ilmu


Kongsikan Artikel Ini

Nabi Muhammad s.a.w berpesan, “sampaikanlah dariku walau satu ayat” dan “setiap kebaikan adalah sedekah.” Apabila anda kongsikan artikel ini, ia juga adalah sebahagian dari dakwah dan sedekah. Insyallah lebih ramai yang akan mendapat manafaat.

Azian Mohamed Isa

Azian Mohamed Isa

Pemegang Sarjana dalam bidang Sains Biologi, pernah menyandang jawatan pensyarah. Kini seorang penulis sepenuh masa. Seorang pemikir dan pengembara. Kisah kembaranya di Xi’an, China dan Pulau Mauritius boleh diikuti di dalam majalah E&T yang diterbitkan oleh MySet, myset.org.my. Juga seorang penulis yang telah menerbitkan lima buah buku di bawah Galeri Ilmu

Kempen Dakwah Digital

Boleh Sumbangkan RM50 Untuk Dakwah?

Bantu kami untuk mengerakkan platform dakwah digital ini dengan menerbitkan konten-konten Islamik yang mampu menyentuh jiwa insan lain agar berubah menjadi lebih baik.

Langgan Siri Tazkirah

Dapatkan siri informasi islamik yang ringan dan santai terus kepada emel anda setiap minggu dengan mengisi emel anda di bawah.

Ikuti Kami