Ulasan Buku

Ulasan Buku: Sila Baca Jangan Tidur

Oleh Fazli Abdullah  •  10 Feb 2020  •  4 min baca

Dakwah adalah satu kerja yang mulia dan dicintai oleh Allah SWT. Dakwah ada pelbagai cara dan gayanya. Ia bukan tertumpu hanya sekadar berkata-kata di bibir sahaja. Ia juga bukan hanya berada di dalam masjid dan di surau semata. Hakikatnya, dakwah itu luas.

Setiap manusia mempunyai kelebihan tersendiri. Kita tahu apa yang mampu kita lakukan. Bakat pun sudah terserlah pada usia kanak-kanak lagi. Ada yang boleh menulis. Ada yang bijak mencipta puisi dan syair. Ada juga yang pandai melukis. Ringkasnya setiap daripada kita telah Allah berikan keistimewaan yang tersendiri.

Begitu juga dengan kerja dakwah, tidak semestinya kita berdakwah seperti seorang ustaz. Jalan dakwah itu luas. Walau apa sekali pun bidang yang kita ceburi, kita mampu membuat kerja dakwah. Kita saling membantu dalam kerja dakwah.

Masing-masing saling memerlukan dalam perjuangan dakwah. Jangan melepaskan tanggungjawab berdakwah kepada para ulama, ustaz dan ustazah sahaja. Tetapi kerja dakwah adalah kerja kita bersama. Kita semua saling melengkapi. Kita seperti puzzle yang saling bercantum dan menguatkan. Kita bersama menjelaskan lagi ‘lukisan’ dakwah itu.

Itulah sebahagian mesej besar yang dapat saya ambil dan fahami daripada buku ‘Sila Baca Jangan Tidur’ hasil penulisan Dr. Kamilin Jamilin. Ada pelbagai lagi isu dan info yang terdapat dalam buku ini. Teruskan pembacaan untuk mengetahui lebih lanjut mengenai buku ini.

Pengenalan Buku Sila Baca Jangan Tidur

‘Buku Sila Baca Jangan Tidur’ menjadi bestseller pada tahun 2019. Buku yang menghimpunkan 101 bingkisan ilmu, nasihat, dakwah dan isu semasa. Antara buku yang boleh dikatakan cukup ‘perencah’ dengan nilai ilmu dan nasihat yang ingin disampaikan.

Buku ini mempunyai 4 bab iaitu:

Bab 1-Untaian Ilmu
Bab 2-Risalah Dakwah
Bab 3-Isu Semasa
Bab 4-Kupasan Ilmu

Banyak nasihat yang diberikan kepada penuntut-penuntut ilmu. Orang yang menuntut ilmu diajarkan dengan pelbagai adab yang mungkin ramai anak murid terlepas pandang.

Selain itu, buku ini banyak memberi nasihat dari pelbagai aspek dan teguran hikmah untuk setiap golongan. Penulis, pendakwah, ibu bapa, anak-anak, guru, para pemimpin dan pelbagai pihak turut memperoleh manfaat dari buku ini.

Turut tersemat dalam buku ini adalah beberapa isu semasa yang hangat diperkatakan sejak akhir-akhir ini. Isu-isu yang kadangkala membuatkan rakyat dan umat Islam keliru dan buntu untuk mendapatkan jawapan yang pasti. Insha Allah, buku ini sekurang-kurangnya dapat menjawab sebahagian isu yang bermain-main di fikiran kita.

Petikan Kata-Kata Menarik Dalam Buku Ini

Buku ini banyak memuatkan kata-kata nasihat, dan hikmah yang dapat kita ambil sebagai ingatan dan pengajaran. Antara sebahagian petikan kata-kata yang menarik perhatian saya ialah:

“Menghormati guru punca keberkatan ilmu sebagaimana menghormati ibu bapa punca keberkatan hidup.”

“Walau pada insan tersebut banyak kekurangan atau kelompongan, agama tetap tidak mengizinkan kita mencalar maruahnya sebagai Muslim yang beriman.”

“Kesungguhan dan kemampuan kita tidak diletakkan untuk membantu ‘menghidupkan’ agama. Lalu apa guna kita mengeluh memikirkan nasib umat Islam yang jahil, lemah dan kian jauh daripada agama.”

Masih banyak lagi mutiara kata yang terdapat dalam buku Sila Baca Jangan Tidur. Alangkah baiknya kita membeli dan membaca buku ini sebagai satu makanan rohani kita serta panduan hidup kita yang sering diuji dengan godaan dunia.

Kesimpulan

Bagi mereka yang dahagakan ilmu dan kata motivasi Islam, buku ini amatlah sesuai untuk dimiliki dan dibaca. Pelbagai isu dikupas dengan susunan ayat yang teratur, mudah dan santai.

Selain itu ia juga menitikberatkan soal adab yang agak ‘berlubang’ bagi segelintir masyarakat pada hari ini. Alangkah indahnya jika orang berilmu turut disertakan adab yang baik dan bukan sekadar berilmu semata. Buku ini boleh dijadikan ‘checklist’ adab dalam kehidupan kita.

Dengan harga RM25 di Semenanjung Malaysia dan RM28 di Sabah dan Sarawak, kita boleh mendapatkan banyak ilmu dalam buku ini. Jika ada kelapangan, kita ulang semula pembacaan buku ini agar menjadi tazkirah (peringatan) untuk diri.

Akhir sekali, bacalah buku walaupun komik (kerana komik juga sekarang sudah ada berbentuk dakwah dan banyak kebaikannya), yang penting ia bermanfaat dan berfaedah untuk kita. Carilah mutiara-mutiara ilmu yang luas yang terdapat dalam buku yang kebanyakkan tidak dapat diperolehi melalui carian di Internet.

Waallahu a’lam.


Kongsikan Artikel Ini

Nabi Muhammad s.a.w berpesan, “sampaikanlah dariku walau satu ayat” dan “setiap kebaikan adalah sedekah.” Apabila anda kongsikan artikel ini, ia juga adalah sebahagian dari dakwah dan sedekah. Insyallah lebih ramai yang akan mendapat manafaat.

Fazli Abdullah

Dilahirkan di Kedah. Hobi membaca dalam genre agama dan motivasi. Mengemari lagu nasyid. Menjadikan penulisan sebagai medan penyebaran ilmu dan kebenaran. tzkrh.com adalah ruangan penulisan pertamanya menulis dengan serius.

Kempen Dakwah Digital

Boleh Sumbangkan RM50 Untuk Dakwah?

Bantu kami untuk mengerakkan platform dakwah digital ini dengan menerbitkan konten-konten Islamik yang mampu menyentuh jiwa insan lain agar berubah menjadi lebih baik.

Langgan Siri Tazkirah

Dapatkan siri informasi islamik yang ringan dan santai terus kepada emel anda setiap minggu dengan mengisi emel anda di bawah.

Ikuti Kami