Ulasan Buku

Ulasan Buku – Ranjau Sepanjang Jalan Oleh Shahnon Ahmad

Oleh Anaih Iylia  •  1 Oct 2019  •  4 min baca

Ranjau Sepanjang Jalan oleh Shahnon Ahmad. Buku kelapan yang habis dibaca bagi tahun ini!

Setelah bertahun-tahun aku cari karya terulung Sasterawan Negara Dato’ Shahnon Ahmad ini, akhirnya dapat juga sambar senaskhah di Facebook! Asalnya diterbitkan pada tahun 1966, tapi yang aku beli ini adalah edisi yang diterbitkan semula oleh Utusan Publications & Distributors Sdn. Bhd. pada tahun 2000, dan rasanya bekas hakmilik perpustakaan.

Tak kisahlah bekas perpustakaan pun sebab novel ini boleh dikatakan sudah lama pupus di pasaran, dan penulisnya pun dah kembali ke rahmatullah kira-kira dua tahun lepas setelah lama menderita sakit saraf.

Sebenarnya aku dah pernah baca novel ini berbelas tahun dulu, rasanya waktu tu aku baru celik dengan karya-karya novelis Melayu seusai membaca Latifah Rabbaniyah, sebuah koleksi cerpen tulisan (Allahyarham) Azizi Hj. Abdullah milik abah aku.

Cerita-ceritanya memang menarik, lalu membuatkan aku ketagih pula mencari novel dan koleksi cerpen Melayu oleh penulis-penulis lain pula, sehinggalah aku bertemu dengan Ranjau Sepanjang Jalan (RSJ) yang dipinjam dari Perpustakaan Kuala Lumpur pada waktu tu.

Karya-karya Allahyarham Dato’ Shahnon Ahmad ada kelasnya yang tersendiri, walaupun pernah dihimpit kontroversi dengan novel SHIT yang terbit ketika era reformasi tengah bergelora satu masa dulu.

RSJ adalah novel kedua Allahyarham Dato’ Shahnon Ahmad yang terbit setahun selepas Rentong, dan ia mengisahkan tentang kesengsaraan hidup sebuah keluarga petani miskin yang berlatar belakangkan kampung asal penulisnya sendiri iaitu Kampung Banggul Derdap di Sik, Kedah.

Lahuma, isterinya Jeha bersama tujuh orang anak perempuan mereka – Sanah, Milah, Jenab, Semek, Liah, Lebar dan Kiah, perlu membanting tulang mengerjakan 14 relung sawah padi mereka demi meneruskan hidup yang tak seberapa tu. Senang cakap, keluarga ini ‘hidup bersama padi, mati bersama padi’.

Keperitan keluarga ini bermula apabila Lahuma terpijak duri nibung semasa menajak semak menerung di sawah mereka, lalu menyebabkan dia tidak dapat bekerja. Tanggungjawab ketua keluarga akhirnya terpaksa digalas oleh Jeha setelah sakit Lahuma semakin melarat hingga perutnya membusung dan air hanyir mengalir keluar dari setiap liang tubuhnya, hingga akhirnya dia meninggal dunia dengan begitu sengsara sekali.

Kini tinggal Jeha dan anak-anaknya pula yang perlu menempuh pelbagai cubaan dan dugaan yang ‘menyerang’ bendang mereka – ketam, banjir dan burung tiak yang datang bertimpa-timpa hingga jiwa Jeha yang rapuh setelah kehilangan suaminya terus hancur berkecai. Setelah emaknya disahkan gila dan dibawa ke Tanjung Rambutan, kini giliran Sanah selaku anak sulung pula yang perlu memastikan padi mereka dapat dituai dan hidup mereka tujuh beradik dapat diteruskan.

Sekali imbas plotnya nampak ringkas saja, tetapi prosa yang diluahkan penulisnya pada setiap halaman akan membawa pembacanya menyelami suatu era di mana orang Melayu bergantung hidup dan matinya kepada hasil tanaman semata-mata.

Kesengsaraan yang beralih dari Lahuma kepada Jeha, hinggalah akhirnya kepada Sanah diceritakan dengan terperinci dan akan melekat dalam ingatan pembacanya sampai bila-bila, khususnya penderitaan penyakit ganjil Lahuma yang dikatakan diasaskan daripada kejadian sebenar yang disaksikan penulisnya sewaktu kecil.

Setidak-tidaknya selepas membaca RSJ, pembacanya akan lebih bersyukur dengan taraf kehidupan yang dinikmati kerana tak perlu berhempas pulas menangkap ketam, mengharung hujan dan banjir, atau terjerit-jerit menghalau ribuan burung tiak yang datang memagut batang padi.

Kisah ni juga mungkin tak daya dihadam oleh pembaca generasi milenial yang barangkali tak dapat membayangkan hidup tanpa televisyen, tanpa telefon malahan tanpa bekalan elektrik sekalipun, dan setiap butir beras yang hendak dimakan perlu ditanam dan dituai sendiri!

Oh ya, novel ini pernah diadaptasi ke filem pada tahun 1983 dengan judul yang sama, tapi selepas menang beberapa anugerah, tiada lagi khabar berita didengari tentang filem ini kerana penerbitnya mengharamkannya dari ditayangkan di kaca TV apatah lagi dijual dalam bentuk VCD atau DVD. Takut kena cetak rompak katanya, namun agak rugilah juga kerana salah satu khazanah seni negara yang berharga tidak dapat lagi dinikmati oleh para peminatnya.

5/5 bintang

#Buku2019
#MalaysiaMembaca
#JomBacaBuku
#RanjauSepanjangJalan
#ShahnonAhmad


Kongsikan Artikel Ini

Nabi Muhammad s.a.w berpesan, “sampaikanlah dariku walau satu ayat” dan “setiap kebaikan adalah sedekah.” Apabila anda kongsikan artikel ini, ia juga adalah sebahagian dari dakwah dan sedekah. Insyallah lebih ramai yang akan mendapat manafaat.

Avatar

Anaih Iylia

Seorang bibliofil yang sedang menghabiskan masa cuti belajarnya dengan membaca dan mengulas buku.

Kempen Dakwah Digital

Boleh Sumbangkan RM50 Untuk Dakwah?

Bantu kami untuk mengerakkan platform dakwah digital ini dengan menerbitkan konten-konten Islamik yang mampu menyentuh jiwa insan lain agar berubah menjadi lebih baik.

Langgan Siri Tazkirah

Dapatkan siri informasi islamik yang ringan dan santai terus kepada emel anda setiap minggu dengan mengisi emel anda di bawah.

Ikuti Kami