Ulasan Buku

Ulasan Buku – Mr Mama

Oleh Azian Mohamed Isa  •  2 Oct 2019  •  4 min baca

Yang selalu kita dengar ialah tentang ‘women empowerment’. Men empowerment? Jarang sekali.

Nah, ini tentang ‘stay-at-home’ seorang lelaki yang menongkah arus, melawan stigma sosial dan menangkis prejudis masyarakat kerana menggalas tanggungjawab seorang suri rumah.

Ini tentang soal maruah seorang lelaki, yang tidak lagi mampu menjadi tunjang ekonomi dan punca rezeki.

Mereka juga adakalanya tertekan, barangkali menangis keseorangan. Tetapi, mereka tidak berterusan menyalahkan takdir malah mereka berusaha menggunakan segala potensi yang ada untuk kekal mengemudi bahtera.

Mereka juga ialah pendidik utama anak-anak dan dalam masa yang sama menyinsing lengan, memerah kudrat, melunaskan segala rutin domestik yang ada setiap kali isteri keluar bekerja. Mereka ialah Mr. Mama.

Kagum saya apabila menyelami rutin harian ‘Mr Mama Editor’, Ustaz Shahrul Zaman yang memutuskan untuk bekerja di rumah sambil menjaga sepasang kembar bayi lelaki berusia tiga bulan dan seorang lagi anak lelaki berusia dua tahun. Fuh, power!

Saya juga memiliki sepasang anak kembar. Kedua-duanya perempuan. Selesai berpantang di rumah ibu, sayalah menjaga kedua-duanya sendirian tanpa bantuan sesiapa.

Memang bersilat dibuatnya. Yang paling mencabar apabila kedua-duanya menangis serentak. Tangan tak berhenti menghenjut buaian, kaki pula non-stop goyangkan baby bouncer. Macam octopus!

Jadi, saya tidak boleh bayangkan bagaimana Mr Mama Editor dapat mengawal si kembar dan abangnya berusia dua tahun itu. Pada saya, bukan setakat menjadi octopus, ia memerlukan gabungan kekuatan The Incredibles dan Avengers!

‘Mr Mama Doktor’, Dr Mohd Khamizi Aziz pula berkongsi tentang ‘kendong ajaib’ atau baby carrier untuk si kecil Asma yang ketika itu baru berusia tiga bulan.

Dengan adanya baby carrier ini, Asma dapat tidur nyenyak tiga hingga empat jam berterusan. Hasilnya, rutin kerja rumah dapat diselesaikan tanpa gangguan. Kata Dr Khamizi;

“Dah macam kanggaru. Asyik melekat saja!”

Pada saya, yang ajaibnya dalam hal ini bukanlah pada kendong bayi tersebut tetapi pada sifat toleransi Dr Khamizi yang pada awalnya tidak berminat dengan cadangan isteri, Dr Ainun Nadwah untuk menggunakan kendong bayi.

“Tak berkenanlah. Nampak serabut.”

Namun, Mr Mama Doktor ini berusaha juga untuk meneliti dan mengkaji penggunaannya menerusi pembacaan. Perlahan-lahan tabir ego seorang lelaki tersingkap. Dipakainya juga baby carrier cadangan si isteri. Demi sebuah toleransi.

Lain pula kisah ‘Mr Mama CEO’. Demi prinsip dan harga diri, Ustaz Kushairi Ismail terpaksa melepaskan jawatan nombor satu di sebuah institusi pengajian tinggi di ibu kota. Ia bukan keputusan yang mudah. Di belakangnya sarat dengan munajat dan mujahadah.

Ada hikmah di sebalik dugaan yang Allah takdirkan. Rupa-rupanya, Allah anugerahkan beliau rezeki untuk fokus berdakwah melalui penulisan dan ceramah. Beliau terpilih menjadi salah seorang Perantis Akademi Bonda Nor dan punyai banyak masa mengendali kursus dan bengkel motivasi di seluruh Malaysia.

Malah, hubungan dengan dua orang anak-anaknya menjadi lebih mesra dan erat. Seperti kata A.D.Williams;

“The more you love your children, the more they learn to love others.”

Perlu diingatkan buku ini bukan bertujuan untuk mempromosi suami untuk duduk di rumah dan melakukan kerja-kerja rumah. Di dalam Islam amat jelas tanggungjawab suami dalam menafkahi isteri dan keluarganya.

Hatta, jika berlaku perceraian sekalipun, suami masih wajib memberi nafkah sepanjang isteri berada di dalam edah dan nafkah menguruskan anak-anak.

Cuma dalam kes-kes tertentu, disebabkan oleh keadaan yang tidak boleh dielakkan misalnya suami diberhentikan kerja atau tempat kerja suami menghadapi masalah kewangan; suami terpaksa duduk di rumah, mengambil alih tugas-tugas suri rumah dan memberi laluan kepada isteri untuk bekerja.

Dan sepanjang tempoh suami tidak bekerja dan tidak mampu untuk melunaskan nafkah kepada isteri dan keluarga, nafkah itu boleh dianggap sebagai hutang yang perlu ditunaikan oleh suami pada waktu lain apabila suami sudah berkemampuan.

Ataupun si isteri boleh saja menghalalkan nafkah ke atas dirinya dan anak-anak. Seperti kata Datuk Ustazah Norhafizah Musa;

“Si isteri akan mendapat dua ganjaran iaitu pahala sedekah dan pahala qarabah, iaitu mengeratkan ikatan keluarga.”

Buku ini sesuai dibaca oleh semua golongan. Buku Mr. Mama, telah pun berada di pasaran, di semua kedai-kedai buku di seluruh Malaysia.

Buku yang diterbitkan oleh Galeri Ilmu pada tahun 2018 ini merupakan salah satu judul buku dibawah naungan Akademi Bonda Nor.

Selamat membaca.


Kongsikan Artikel Ini

Nabi Muhammad s.a.w berpesan, “sampaikanlah dariku walau satu ayat” dan “setiap kebaikan adalah sedekah.” Apabila anda kongsikan artikel ini, ia juga adalah sebahagian dari dakwah dan sedekah. Insyallah lebih ramai yang akan mendapat manafaat.

Azian Mohamed Isa

Pemegang Sarjana dalam bidang Sains Biologi, pernah menyandang jawatan pensyarah. Kini seorang penulis sepenuh masa. Seorang pemikir dan pengembara. Kisah kembaranya di Xi’an, China dan Pulau Mauritius boleh diikuti di dalam majalah E&T yang diterbitkan oleh MySet, myset.org.my. Juga seorang penulis yang telah menerbitkan lima buah buku di bawah Galeri Ilmu

Kempen Dakwah Digital

Boleh Sumbangkan RM50 Untuk Dakwah?

Bantu kami untuk mengerakkan platform dakwah digital ini dengan menerbitkan konten-konten Islamik yang mampu menyentuh jiwa insan lain agar berubah menjadi lebih baik.

Langgan Siri Tazkirah

Dapatkan siri informasi islamik yang ringan dan santai terus kepada emel anda setiap minggu dengan mengisi emel anda di bawah.

Ikuti Kami