Ulasan Buku

Ulasan Buku – Kerana Cinta Aku Derhaka: Travelog Menjejak Sejarah Johor Lama Oleh Syed Azharul Asriq

Oleh Anaih Iylia  •  14 Oct 2019  •  4 min baca

Kerana Cinta Aku Derhaka: Travelog Menjejak Sejarah Johor Lama oleh Syed Azharul Asriq. Tajuknya yang macam novel cinta hampir-hampir buatkan aku terlepas daripada membelek buku ini. Sekali buku kisah sejarah rupanya.

Kerana Cinta Aku Derhaka ini merujuk kepada tindakan Megat Seri Rama (juga digelar sebagai Laksamana Bentan) yang menderhaka kepada Sultan Mahmud Shah II kerana baginda membunuh isterinya yang sarat mengandung, hanya kerana dia memakan seulas nangka yang diambil dari kebun diraja. Inilah catatan seorang anak muda yang menjejak kembali kisah seorang Kingslayer (ala Jaime Lannister dalam Game of Thrones) yang termasyhur dalam sejarah Melayu.

Penulisnya merupakan seorang pelajar jurusan undang-undang UIA dan peminat tegar sejarah. Dalam buku ini dia menceritakan tempat-tempat bersejarah yang dilawatinya di sekitar Johor untuk menghayati kembali kisah perseteruan berdarah antara Laksamana Bentan dengan Sultan Mahmud Shah II, Sultan Johor kesembilan dan terakhir yang berasal daripada keturunan Sultan Melaka.

Kepada yang masih belum tahu, Sultan Mahmud Shah II mati ditikam Laksamana Bentan di atas tandu pada hari Jumaat tahun 1699, sewaktu baginda sampai di masjid untuk solat Jumaat. Susulan itu baginda digelar Marhum Mangkat Dijulang.

Ketika itu baginda baru berusia 24 tahun dan masih bujang, dan ada khabar angin mengatakan baginda seorang peliwat/homoseksual dan bermacam-macam lagi perangai aneh yang direkodkan oleh pedagang-pedagang Barat yang bertandang ke Johor.

Buku ini disusun kepada tiga bab utama, di mana semuanya berkisar kepada siri-siri lawatan penulis ke Kota Tinggi pada bulan Januari, Februari dan Mac 2017. Cuma ada sedikit kecacatan kerana tarikh-tarikh di halaman permulaan setiap bab diletak 12 Januari 2017, ini mesti kerja ‘copy & paste’ pencetak yang cuai.

Tetapi selain daripada itu, misi penulis untuk menjejak makam Sultan Mahmud Mangkat Dijulang, makam Laksamana Bentan, tapak masjid tempat berlakunya peristiwa berdarah tersebut, dan juga tapak kota-kota lama seperti Kota Batu Sawar, Kota Seluyut dan Kota Panchor di sepanjang Sungai Johor diselitkan dengan pelbagai informasi yang berharga.

Nyata sekali penulis memang banyak membaca dan mengkaji mengenai sejarah Johor Lama dan juga sejarah dunia apabila beberapa peristiwa penting dikaitkan. Contohnya, penderhakaan Laksamana Bentan dikaitkan dengan penderhakaan Oliver Cromwell yang membunuh Raja Charles I di England pada tahun 1649.

Cuma dari segi kelancaran ‘penceritaan’ penulis mengenai peristiwa-peristiwa sejarah ini, aku sedikit keliru kerana penulis bercerita mengikut susunan tempat-tempat yang dilawatinya, dan bukannya mengikut kronologi sejarah. Misalnya selepas melawat makam Sultan Mahmud Mangkat Dijulang, penulis ke makam Tun Habib Abdul Majid pula iaitu bendahara di era Sultan Abdul Jalil Shah III, nenda/datuk kepada Sultan Mahmud Mangkat Dijulang.

Justeru penulis berpatah balik 20 tahun sebelum era pemerintahan Sultan Mahmud Mangkat Dijulang untuk menceritakan mengenai perebutan kuasa politik istana di antara Bendahara Tun Habib dengan Laksamana Tun Abdul Jamil pula. Barisan nama-nama tokoh yang disebut pun banyak juga dan menambahkan lagi kekeliruan. Mungkin ini sebabnya ramai yang tak minat dengan sejarah – terlalu banyak nama dan peristiwa yang perlu diingat!

Jadi begitulah seterusnya apabila pembaca disajikan kisah yang sekejap ke depan, sekejap ke belakang diikuti dengan pelbagai nama watak utama dan watak sampingan di setiap tempat-tempat yang dilawatinya.

Sedikit sebanyak ia membantutkan ‘feel’ pembaca yang ingin mengikuti kisah empayar Johor Lama ini dari mula hingga akhir. Dan walaupun buku hitam putih ini disertakan gambar, kebanyakannya terlalu kecil dan kurang jelas.

Tetapi bagi aku, kekurangan-kekurangan ini tidaklah terlalu mengganggu kerana tersangat banyak perkara yang didedahkan penulis yang aku tak pernah tahu, misalnya:

Makam Sultan Mahmud Mangkat Dijulang dibina sekitar 1890-an ketika pemerintahan Sultan Sir Ibrahim, Sultan kedua dari Dinasti Temenggung yang juga moyang Sultan Johor sekarang;

Kota Seluyut yang menyaksikan kelahiran Tun Seri Lanang, penulis karya agung Sejarah Melayu, kini menjadi tapak ladang kelapa sawit;

Pemerintahan dinasti keturunan Sultan Melaka di Kota Tinggi, Johor (1528-1719) adalah lebih lama daripada pemerintahan kesultanan Melaka yang diasaskan Parameswara itu sendiri (1400-1511);

Batu nisan Acheh boleh dikatakan sebagai batu nisan ‘premium’ pada waktu itu kerana ukirannya cantik dan bermutu tinggi. Bukan sebarang orang yang kuburnya dihiasi batu nisan Acheh; dan

Kota Gelanggi di Johor telah wujud 400 tahun sebelum tertubuhnya kesultanan Melaka. Dikatakan ada seorang putera mahkota Jepun yang mati diserang harimau di situ pada tahun 865, dan tugu peringatannya dibina di Tanah Perkuburan Jepun di Jalan Kebun Teh, Johor Bahru. Tapak Kota Gelanggi berkemungkinan besar bersemadi di dasar Tasik Linggiu yang kini berfungsi sebagai kawasan tadahan air Singapura.

Akhir kata, walaupun tajuknya seakan sebuah novel cinta, fakta-fakta sejarah Johor Lama disampaikan secara santai tetapi berilmiah dan berpadanan dengan harganya sebanyak RM25.

3/5 bintang!

#MalaysiaMembaca
#JomBacaBuku


Kongsikan Artikel Ini

Nabi Muhammad s.a.w berpesan, “sampaikanlah dariku walau satu ayat” dan “setiap kebaikan adalah sedekah.” Apabila anda kongsikan artikel ini, ia juga adalah sebahagian dari dakwah dan sedekah. Insyallah lebih ramai yang akan mendapat manafaat.

Avatar

Anaih Iylia

Seorang bibliofil yang sedang menghabiskan masa cuti belajarnya dengan membaca dan mengulas buku.

Kempen Dakwah Digital

Boleh Sumbangkan RM50 Untuk Dakwah?

Bantu kami untuk mengerakkan platform dakwah digital ini dengan menerbitkan konten-konten Islamik yang mampu menyentuh jiwa insan lain agar berubah menjadi lebih baik.

Langgan Siri Tazkirah

Dapatkan siri informasi islamik yang ringan dan santai terus kepada emel anda setiap minggu dengan mengisi emel anda di bawah.

Ikuti Kami