Ulasan Buku

Ulasan Buku – ‘Kenali Rasul Kita Muhammad SAW’

Oleh Fazli Abdullah  •  18 Sep 2019  •  4 min baca

Judul buku yang saya akan membuat ulasan adalah Kenali Rasul Kita Muhammad SAW ‘Menyingkap Keperibadian dan Cara Hidup Insan Mulia’

Pertama kali saya melihat buku ini, hati saya rasa seperti ‘ditarik’ dan ‘diseru’ untuk memilikinya. Seingat saya, saya lihat iklan di majalah Solusi.

Ya, ketika itu saya memang mahu membelinya. Hati saya berkobar-kobar ketika itu. Dan Alhamdulillah, sekarang saya sudah memilikinya.

Buku ini agar besar dan beratnya boleh tahan. Untuk pengetahuan bersama, buku ini rupa-rupanya adalah terjemahan daripada Matan asy-Syamail al-Muhammadiyyah hasil karangan Imam at-Tirmizi. Dan kita sedia tahu ia antara kitab yang sangat popular dibincangkan di majlis ilmu.

Ringkasan Buku

Buku ini membincangkan dan menghimpunkan hadis tentang akhlak dan budi pekerti Nabi Muhammad SAW. Bukan itu sahaja, buku ini turut mengumpulkan hadis mengenai sifat-sifat fizikal, pakaian, makanan, minuman, ibadah, pergaulan, cara tidur Baginda, dan banyak lagi. Ia meliputi seluruh kehidupan Baginda SAW.

Setiap hadis yang dikupas dan dipaparkan di dalam buku ini turut disertakan dengan ulasan dan tafsiran hadis yang mudah difahami dan jelas. Dengan kehadiran tafsiran hadis ini ia dapat memudahkan kefahaman orang awam yang tidak biasa dengan istilah dan untuk mengetahui maksud sebenar yang diungkap di dalam hadis.

Saya memetik kata-kata Prof. Madya Dr. Abdul Aziz bin Hanafi mengenai buku ini. Kata-kata ini ditulis di belakang buku ini.

“Saya merasakan buku ini sesuai diterbitkan pada waktu di mana umat Islam amat mengharap untuk mengenai Baginda SAW. Sesungguhnya buku ini wajib dimiliki oleh semua pencinta junjungan mulia Muhammad SAW sebagai wadah menaikkan semangat mencintai Rasulullah dan sekali gus lebih menghargai perjuangan Baginda SAW dalam mengembangkan agama Islam.”

Memang tidak rugi untuk memiliki buku ini. Segalanya boleh kita ketahui mengenai sosok tubuh mulia Nabi Muhammad SAW. Mempunyai 56 bab, ia sudah cukup menunjukkan betapa banyaknya perkara yang dibincangkan mengenai peribadi dan kehidupan Nabi Muhammad SAW.

Selain itu, buku ini turut mengumpulkan dan menyenaraikan profil perawi yang meriwayatkan hadis-hadis yang terdapat di dalam buku ini.

Sebanyak 154 perawi yang diperkenalkan di dalam buku ini. Ia disusun mengikut abjad A-Z. Hal ini dapat memudahkan kita mencari dalam waktu yang singkat ketika kita memerlukan maklumat profil mereka. Abdullah bin al-Mubarak pernah berkata:

“Sanad (periwayatan para perawi) merupakan salah satu perkara penting dalam agama. Kalaulah tiada sandaran riwayat nescaya sesiapa sahaja boleh menyatakan apa yang dia kehendaki.”

Kenapa Kita Perlu Memiliki Buku Ini?

Pasti ada yang bertanya kenapa perlu membeli dan membaca buku ini?

“Rumah saya sudah ada kitab Syamail Muhammadiyyah.”

Antara kelebihan mengenai buku ini adalah ia ‘dihidangkan’ dengan penuh gambar, grafik dan informasi yang menarik. Pasti kita ingin tahu bagaimana cara duduk Rasulullah SAW bukan?

Buku ini ada jawapannya. Ia bukan sahaja membincangkan dan menghuraikan cara duduk Baginda SAW tetapi buku ini turut disertakan gambar untuk lebih jelas kefahaman kita. Menarik bukan?

Buku ini turut memaparkan gambar-gambar pedang kepunyaan Baginda SAW, capal Baginda SAW, dan banyak lagi. Lebih menarik lagi, ia turut menyertakan gambaran pelan rumah Baginda SAW.

Kita dapat melihatnya dengan lebih dekat. Selalunya kita hanya dapat membayangkan rumah Baginda SAW melalui tulisan sahaja.

Sungguh segala dibincangkan di dalam buku ini membuatkan kita ingin dekat dengan Baginda SAW.

Segala akhlak baik Baginda SAW membuatkan kita terpesona dan jatuh cinta. Tegasnya, buku ini tidak akan mengecewakan kita untuk mengenali Rasulullah SAW dengan lebih dekat.

“Saya merasakan buku ini bakal memberikan kegembiraan kepada pencinta Rasulullah SAW kerana mereka dapat mengenali Rasul kesayangan mereka ini dengan lebih dekat dan mendalam. Justeru, buku ini sepatutnya dimiliki oleh setiap umat Islam agar dapat menghayati riwayat kekasih Allah S.W.T.”Prof. Madya Dr. Amar bin Fadzil

Kesimpulannya, Rasulullah SAW hadirnya membawa rahmat kepada seluruh alam. Akhlaknya indah bagaikan al-Quran. Kita semua pasti ingin mengenalinya. Kita semua pasti mahu mengikuti peribadinya.

Oleh itu, buku ini amat sesuai dijadikan sebagai rujukan seisi keluarga dan setiap insan yang mahu mengenalinya.

Semoga benih cinta kita kepada Rasulullah SAW terus bersemi dan mekar dalam kehidupan kita. Benarlah kata ini, tak kenal maka tak cinta. Apabila kita sudah kenal, Insha Allah pasti hati kita akan jatuh cinta kepada peribadi Baginda.

*Nota: Ulasan buku Kenali Rasul Kita Muhammad SAW ‘Menyingkap Keperibadian dan Cara Hidup Insan Mulia’. Karangan asal Imam At-Tirmizi dan huraian oleh Ustaz Ahmad Adnan Fadzil. Terbitan Telaga Biru.
Berharga RM89.00. Buku ini turut diserta dengan DVD kuliah Dato’ Dr. Hj Zahazan Mohamed.


Kongsikan Artikel Ini

Nabi Muhammad s.a.w berpesan, “sampaikanlah dariku walau satu ayat” dan “setiap kebaikan adalah sedekah.” Apabila anda kongsikan artikel ini, ia juga adalah sebahagian dari dakwah dan sedekah. Insyallah lebih ramai yang akan mendapat manafaat.

Fazli Abdullah

Fazli Abdullah

Dilahirkan di Kedah. Hobi membaca dalam genre agama dan motivasi. Mengemari lagu nasyid. Menjadikan penulisan sebagai medan penyebaran ilmu dan kebenaran. tzkrh.com adalah ruangan penulisan pertamanya menulis dengan serius.

Kempen Dakwah Digital

Boleh Sumbangkan RM50 Untuk Dakwah?

Bantu kami untuk mengerakkan platform dakwah digital ini dengan menerbitkan konten-konten Islamik yang mampu menyentuh jiwa insan lain agar berubah menjadi lebih baik.

Langgan Siri Tazkirah

Dapatkan siri informasi islamik yang ringan dan santai terus kepada emel anda setiap minggu dengan mengisi emel anda di bawah.

Ikuti Kami