Ulasan Buku

Ulasan Buku – Di Situ Langit Dijunjung Oleh Hanna Alkaf

Oleh Tim Tazkirah  •  21 Sep 2019  •  3 min baca

(Ulasan buku ini telah diambil daripada perkongsian Saudara Anaih Ilya di laman Facebook miliknya)

Di Situ Langit Dijunjung oleh Hanna Alkaf. Buku keempatpuluh yang habis dibaca bagi tahun ini!

Sempena sambutan Hari Malaysia, sempat juga lah aku habiskan sebuah karya fiksyen yang berkait rapat dengan konteks hubungan kaum di negara kita, walaupun nadanya agak suram lagi muram.

Walaupun penulisnya anak Malaysia, novel ini asalnya diterbitkan di Amerika Syarikat (AS) oleh Salaam Reads dengan judul The Weight of Our Sky (TWOOS). Dah lama sebenarnya aku teringin nak sambar TWOOS, tapi harganya boleh tahan mahal (RM50+) sebab barang import. Tapi nasib baiklah Fixi Verso rajin nak terjemah ke Bahasa Melayu dan membuatkan harganya lebih mampu milik, haha!

Ia mengisahkan mengenai seorang gadis bernama Melati yang terperangkap di kota Kuala Lumpur yang tiba-tiba diselubungi kekacauan. Keseronokan menonton wayang bersama sahabat baiknya, Saf direnggut apabila sekumpulan pemuda Cina bersenjatakan parang dan kayu datang mengepung pawagam mereka; rusuhan berdarah 13 Mei 1969 sudah bermula!

Namun Melati ini bukanlah macam gadis-gadis lain yang sebaya dengannya. Hampir setiap saat dia bergelut dengan ‘Jin’ yang membisikkan bermacam-macam jenis bayangan mengerikan dalam fikirannya hingga hampir gila dibuatnya, melainkan jika dia mengulang ritual-ritual tertentu – ketuk jari, kira nombor, langkah kaki – yang wajib dilakukan dalam gandaan tiga.

Dalam kata lain, Melati sebenarnya menderita penyakit Obsessive Compulsive Disorder (OCD) yang kronik! Dia percaya jika ritual-ritual ini tak dibuat betul-betul, maka emaknya akan mati dalam keadaan yang amat sadis sekali – mati lemas, mati dilenyek lori, mati ditikam, dan macam-macam lagi. Dan kini Melati terpaksa pula menempuhi Kuala Lumpur yang sedang bermandi darah demi mencari emaknya yang entah di mana!

Premis mengenai seorang gadis OCD di tengah-tengah rusuhan kaum 13 Mei 1969 inilah yang menarik perhatian aku sebenarnya. Tak ramai penulis yang berani memilih hari paling gelap dalam sejarah negara kita sebagai tunjang naratif karyanya, namun ternyata ketika orang Melayu, Cina dan India saling berbunuhan dek hasutan politik, masih lagi wujud insan-insan yang sanggup menggadaikan nyawa mereka atas naluri kemanusiaan tanpa mengira kaum dan agama.

Dalam hal ini, Melati ditemukan dengan watak-watak seperti pakcik beca, Auntie Bee, Vince dan Jay Singh yang membantunya dalam misi menjejaki emaknya.

Namun demikian, plotnya sedikit meleret di beberapa tempat, terutamanya ketika Melati terpaksa berteduh di rumah Auntie Bee hingga menimbulkan bibit-bibit cinta terhadap anaknya, Vince. Selain itu, penulisnya juga terlalu menumpukan kepada konflik dalam diri Melati berbanding konflik luaran yang diharunginya; boleh kata hampir setiap halaman dipenuhi dengan babak dirinya berdialog (atau bermonolog?) dengan ‘Jin’ yang menyucuk-nyucuk fikirannya supaya terus mengetuk dan mengira sampai puas.

Mungkin penulisnya cuba menunjukkan psikologi sebenar seorang pesakit OCD, namun sejujurnya ia akan mengecewakan pembaca yang mendambakan plot yang lebih saspens dan mendebarkan. Lagipun kisahnya pun pasal rusuhan kaum kan? Dialog antara watak-wataknya pun kadang-kadang agak kaku dan janggal, tak pastilah kalau faktor terjemahan ke Bahasa Melayu yang menimbulkan kekakuan ini.

Akhir kata, gaya persembahannya yang tidak terlalu keras dan tidak terlalu lembut dalam memaparkan kisah Melati yang dikepung rusuhan paling gila dalam negara kita 50 tahun lalu memang cocok untuk pembaca ‘young adult’. Tapi bagi mereka yang mencari karya yang lebih kompleks dan lebih saspens, mungkin akan merasakan ia masih belum cukup memuaskan.

Apa-apa pun, novel ini adalah pesanan yang baik bagi mengingatkan anak-anak Malaysia bahawa di mana saja bumi dipijak, junjunglah langit itu bersama-sama dengan mereka di sekelilingnya. Siapa lagi yang nak sayang Malaysia kalau bukan rakyatnya sendiri?

Bagi yang berminat, rasanya novel ini mudah saja didapati di kedai buku Popular, Borders atau MPH berhampiran anda.

3/5 bintang!

*Kredit gambar oleh Saudara Khazreel Naim


Kongsikan Artikel Ini

Nabi Muhammad s.a.w berpesan, “sampaikanlah dariku walau satu ayat” dan “setiap kebaikan adalah sedekah.” Apabila anda kongsikan artikel ini, ia juga adalah sebahagian dari dakwah dan sedekah. Insyallah lebih ramai yang akan mendapat manafaat.

Tim Tazkirah

tzkrh.com merupakan wadah untuk komuniti Islam saling berkongsi ilmu pengetahuan, pandangan dan pengalaman mereka sebagai satu peringatan untuk menjadi muslim yang lebih baik.

Kempen Dakwah Digital

Boleh Sumbangkan RM50 Untuk Dakwah?

Bantu kami untuk mengerakkan platform dakwah digital ini dengan menerbitkan konten-konten Islamik yang mampu menyentuh jiwa insan lain agar berubah menjadi lebih baik.

Langgan Siri Tazkirah

Dapatkan siri informasi islamik yang ringan dan santai terus kepada emel anda setiap minggu dengan mengisi emel anda di bawah.

Ikuti Kami