Ulasan Buku

Ulasan Buku – Antara Sejarah Dan Mitos Oleh Ahmat Adam

Oleh Anaih Iylia  •  19 Oct 2019  •  7 min baca

“Antara Sejarah dan Mitos: Sejarah Melayu & Hang Tuah dalam Historiografi Malaysia oleh Ahmat Adam”. Buku ke tiga puluh yang habis dibaca bagi tahun 2018! Yihaa!

Alhamdulillah, dapat juga capai 30 buah buku tahun ini walaupun masih berbaki sebulan lebih sebelum bertemu dengan tahun 2019.

Mula-mula sekali nak cakap, buku yang ke tiga puluh ini memang agak mencabar untuk dihabiskan. Sebelum ini ada juga selak-selak lepas beli buku ini di pesta buku di Sunway Putra Mall tahun lepas, tetapi topiknya memang berat, umpama membaca sebuah tesis (atau memang pun buku ini asalnya sebuah tesis). Apabila topik itu berat, maka mata pun berat…

Tapi aku gagahkan diri untuk baca semula buku ini sebab berat tak berat, topiknya umpama magnet yang menarik peminat sejarah macam aku. Penulisnya mengkaji sejauh mana keutuhan dua karya klasik dunia Melayu iaitu Sulalatus-Salatin (juga dipanggil Sejarah Melayu) dan juga Hikayat Hang Tuah untuk diterima sebagai satu catatan sejarah ketika kandungannya sendiri sarat dengan unsur-unsur mitos yang tak masuk akal.

Lagi satu, penulisnya adalah mantan profesor sejarah di UKM dan UMS yang agak terkenal dengan kelantangannya mengkritik pandangan sejarawan-sejarawan lain yang mendokong kewujudan Hang Tuah.

Dengan sedikit pengenalan kepada pembaca mengenai konsep asas pensejarahan atau historiografi, bahagian pertamanya ‘membedah’ kitab Sulalatus-Salatin/Sejarah Melayu (SS/SM) dengan merujuk kepada dua versi naskhah tersebut iaitu naskhah Raffles MS No. 18, dan juga naskhah Krusenstern.

Kedua-duanya dikatakan versi tertua yang disalin sekitar abad ke-17 dan ke-18 yang masih wujud hingga kini. Menurut penulisnya lagi, terdapat sekitar 33 versi naskhah ini yang wujud di mana setiap satunya berbeza dari segi gaya bahasa dan pentafsiran peristiwa mahupun nama.

Ini kerana SS/SM, sebagaimana kebanyakan kitab atau teks klasik dunia Melayu yang lain, tiada naskhah induk asli yang masih wujud untuk dijadikan rujukan. Yang ada kini hanyalah salinannya saja.

Untuk memudahkan pemahaman anda dengan situasi ini, bayangkan novel Harry Potter and the Sorcerer’s Stone itu ditulis oleh JK Rowling sekitar abad ke-11 (tahun 1001 hingga 1100), di mana teknologi percetakan belum wujud lagi.

Maknanya kalau anda minat buku itu, anda terpaksalah buat salinan – sama ada salin balik buku itu sendiri, atau upah orang untuk menyalin buku itu untuk anda.

Dan perlu diingat pula ketika abad ke-11, rakyat jelata masih buta huruf. Hanya golongan atasan saja yang ada kemahiran membaca dan menulis, sekaligus menjadikan rekod-rekod sejarah atau sastera pada waktu itu topiknya berkisar kepada dunia bangsawan atau keluarga diraja sahaja.

Kemudian, tambah pula faktor kesilapan manusia dalam menyalin buku tersebut, di mana ada perkataan yang salah terjemahannya atau tersalah tulis hurufnya. Tidak cukup dengan itu, tambah lagi pula faktor integriti penyalinnya yang memandai-mandai menambah plot rekaan sendiri atau membuang plot asal dalam salinan bukunya itu, mungkin kerana dia tak suka dengan jalan ceritanya.

Sudahnya, cerita asal Harry Potter yang dinukilkan penulisnya mungkin berbeza sekali dengan versi terjemahannya ke Bahasa Melayu – mungkin boleh jadi Harry Potter mati akibat dibunuh sahabatnya sendiri, Ron Weasley. Pening kan?

Inilah argumen penulis yang aku dapat kutip mengenai faktor wujudnya perbezaan antara setiap naskhah salinan itu yang terjadi dalam jangka masa ratusan tahun. Oleh demikian, agak sukar untuk menententukan yang mana satu naskhah yang paling hampir sumbernya dengan naskhah asli, melainkan dengan merujuk kepada salinan yang paling tua sahaja, iaitu versi Raffles MS No. 18, dan juga versi Krusenstern yang disebutkan awal tadi.

Versi Krusenstern ini mendapat namanya dari Adam Johann Ritter von Krusenstern, seorang pelayar berbangsa Jerman dari Russia yang singgah sebentar di Melaka pada tahun 1798, dan kemudiannya mengupah tiga orang Melayu untuk menyalin kitab SS/SM untuk dihadiahkan kepada sahabatnya di Akademi Sains St. Petersburg, Russia.

Kitab SS/SM versi Krusenstern yang berusia 220 tahun ini masih elok terpelihara di dalam arkib perpustakaan akademi tersebut. Manakala versi Raffles MS No. 18 pula merujuk kepada kitab SS/SM yang diperolehi Stamford Raffles daripada Raja Bongsu (pewaris takhta Johor) yang disalin pada tahun 1612, ternyata lebih tua daripada versi Krusenstern dan kini disimpan di perpustakaan Royal Asiatic Society di London.

Seterusnya, analisa penulis terhadap kualiti penterjemahan kedua-dua naskhah ini dari Jawi ke Rumi oleh beberapa sejarawan (Shellabear, Abdullah Munsyi, A. Samad Ahmad dll.) juga mendapati ada beberapa kesilapan yang berpunca daripada perbezaan lenggok bahasa asal yang digunakan, iaitu Jawa Kuno atau Kawi berbanding dengan Bahasa Melayu sekarang.

Misalnya, perkataan Sulalatus-Salatin yang bermaksud ‘pertuturan segala raja-raja’ mungkin bermaksud seperti ‘nasihat raja-raja’ dalam konteks masakini, tetapi apabila dibaca dalam maksud asalnya dalam Jawa Kuno/Kawi, ‘pertuturan’ membawa maksud ‘keturunan’ atau ‘salasilah’!

Selain itu, banyak jugalah istilah Jawa Kuno/Kawi lain yang kedengaran lebih kurang sama dengan istilah Bahasa Melayu sekarang tetapi maksudnya berbeza, seperti ‘pengkah’ (ditulis pa-nga-kaf-ha dalam Jawi) yang bermaksud ‘kukuh’, tetapi diterjemah menjadi ‘pangkat’ dalam tulisan Rumi, ‘mutia segala citra’ yang bermaksud ‘mutiara yang terbaik’, tetapi diterjemah menjadi ‘mutiara segala cerita/ceritera’, dan sebagainya.

Aspek kesalahan tafsiran dan terjemahan ini juga terpakai dalam analisa penulis terhadap Hikayat Hang Tuah (HHT), sebuah karya ‘spin-off’ daripada SS/SM yang dipercayai terbit sekitar abad ke-17, iaitu ketika Melaka sedang diperintah oleh Belanda yang berjaya mengusir keluar Portugis, atau sekitar 500 tahun selepas terbitnya SS/SM itu sendiri!

Umpamanya seperti buku Fantastic Beasts and Where To Find Them itu terbit 500 tahun selepas terbitnya novel Harry Potter, jika anda boleh bayangkan. Aku gunakan istilah ‘spin-off’ kerana watak Hang Tuah bersama empat lagi saudara seperjuangannya itu membuat penampilan pertama (debut) mereka dalam cerita rombongan Sultan Mansur Syah meminang seorang puteri Majapahit dalam SS/SM, sebelum kisah mereka dilanjutkan lagi dengan lebih terperinci dalam HHT.

Menariknya bahagian kedua buku ini adalah kerana argumen penulis yang agak kontroversi – Hang Tuah itu tak wujud dan hanyalah watak mitos semata-mata! Tambahan lagi, nama Hang Tuah itu sendiri wujud kerana salah penterjemahan, di mana huruf Jawi ‘ta-wau-ha’ sepatutnya dibaca sebagai Toh atau Tuha.

Dalam konteks Jawa Kuno/Kawi, Toh bermaksud ‘orang taruhan’ dalam sesuatu pertandingan, manakala Tuha bermaksud ‘tua’ atau ‘pemimpin’. Selain itu, penulis juga menegaskan bahawa perkataan ‘tuah’ yang bermaksud ‘nasib yang baik’ masih belum wujud lagi ketika itu, sebaliknya perkataan ‘bhagya’ (bahagia) digunakan untuk membawa maksud yang sama.

Sebaliknya, Hang Tuha atau Hang Toh ini dikatakan penulis sebagai nama gelaran bagi seorang watak laksamana terbilang kerajaan Melaka yang pernah wujud pada suatu masa dulu, dan situasi ini dipercayai berpunca daripada pantang-larang menyebut nama sebenar seseorang pada waktu itu.

Misalnya apabila Raja Husin ditabal menjadi Sultan Melaka yang ketujuh, baginda menggunakan nama gelaran ‘Sultan Alauddin Riayat Syah’ yang berbeza sama sekali dengan nama sebenarnya. Malahan nama Tun Seri Lanang yang dikatakan sebagai penulis SS/SM juga adalah nama gelaran yang bermaksud ‘lelaki yang terpuji’.

Maka sebenarnya kisah Hang Tuah/Tuha/Toh bersama Hang Jebat, Hang Lekir, Hang Kesturi dan Hang Lekiu/Lukaiwa boleh dikatakan sebagai satu kisah simbolisme ketaatan pendekar Melayu terhadap Sultannya yang dibuat mengikut acuan kisah kesusasteraan Hindu iaitu Hikayat Pandawa Lima.

Sebenarnya banyak lagi bukti-bukti menarik yang diberikan penulis untuk ‘mencabar’ kewujudan Hang Tuah yang anda kena baca sendiri dalam buku ini. Petikan kata-kata Ibnu Khaldun yang berbunyi,

“Mereka menerima maklumat tanpa mempedulikan nilainya. Mereka tidak menyemaknya berdasarkan prinsip yang mendasari situasi sejarah, mereka tidak memeriksa secara mendalam dengan menggunakan kayu ukur falsafah… oleh sebab itu, mereka menyeleweng daripada kebenaran dan mendapati diri mereka sesat di gurun anggapan (persepsi) yang tidak berasas…”

Kata-kata ini mengingatkan pembaca bahawa hujah-hujah kebanyakan pengkaji sejarah bahawa Hang Tuah itu wujud adalah berdasarkan bukti yang agak rapuh jika diteliti semula.

Kesimpulannya, kemungkinan besar satu figura ‘Laksamana’ Melayu memang benar-benar wujud berdasarkan rekod persuratan dengan Kerajaan Ryukyu, tetapi nama sebenarnya bukanlah Hang Tuah atau Hang Tuha atau Hang Toh seperti yang dicatat dalam SS/SM dan HHT. Oleh itu, buku ini amat menarik untuk dibaca bersekali dengan buku Hang Tuah: Catatan Okinawa yang aku baca beberapa tahun lepas sebagai perbandingan antara dua fahaman berbeza mengenai Hang Tuah!

5/5 bintang

#MalaysiaMembaca
#JomBacaBuku
#Buku2018


Kongsikan Artikel Ini

Nabi Muhammad s.a.w berpesan, “sampaikanlah dariku walau satu ayat” dan “setiap kebaikan adalah sedekah.” Apabila anda kongsikan artikel ini, ia juga adalah sebahagian dari dakwah dan sedekah. Insyallah lebih ramai yang akan mendapat manafaat.

Avatar

Anaih Iylia

Seorang bibliofil yang sedang menghabiskan masa cuti belajarnya dengan membaca dan mengulas buku.

Kempen Dakwah Digital

Boleh Sumbangkan RM50 Untuk Dakwah?

Bantu kami untuk mengerakkan platform dakwah digital ini dengan menerbitkan konten-konten Islamik yang mampu menyentuh jiwa insan lain agar berubah menjadi lebih baik.

Langgan Siri Tazkirah

Dapatkan siri informasi islamik yang ringan dan santai terus kepada emel anda setiap minggu dengan mengisi emel anda di bawah.

Ikuti Kami