Tokoh, Ulasan Buku

Ulasan Buku – 6 Peribadi Menarik Tentang Imam Bukhari Buat Teladan Penuntut Ilmu

Oleh Fizah Lee  •  22 Sep 2020  •  5 min baca

Nama Imam Bukhari sudah tidak asing lagi dalam dunia hadis dan pengajian ilmu. Beliau merupakan seorang tokoh yang sangat disegani dengan ilmu dan kemahiran yang tinggi.

Nama penuh beliau ialah Abu Abdullah Muhammad bin Ismail bin Ibrahim bin al-Mughirah bin Bardizbah al-Ju’fi al-Bukhari.

Beliau telah dilahirkan pada 13 Syawal 194 Hijrah bersamaan 19 Julai 810 Masihi di Bukhara, Afghanistan dan merupakan keturunan Parsi.

Gelaran Al-Bukhari diberikan berdasarkan daerah kelahirannya, iaitu Bukhara yang terletak di Samarkand.

Apabila kita melihat ketokohan dan peribadi beliau, tidak dapat dinafikan bahawa semua itu juga merupakan hasil daripada didikan yang diberikan oleh keluarga beliau.

Beliau telah dilahirkan dalam keluarga yang sangat berilmu dan menitikberatkan mengenai Islam.

Bapanya merupakan seorang perawi hadis yang terkenal dan banyak meriwayatkan hadis daripada ulama terkemuka seperti Imam Malik bin Anas, Hammad bin Zaid, Abdullah bin al-Mubarak, Abu Mu’awiyah bin Salih dan ramai lagi.

Peribadi beliau yang sangat mulia dan ilmunya yang tinggi membuatkan beliau dihormati dan ilmunya kekal menjadi rujukan sehingga kini.

Mungkin anda juga tertanya, apakah amalan yang beliau sering lakukan sehingga beliau mampu membukukan pelbagai karya semenjak berusia 18 tahun lagi.

Ini ialah beberapa perkara yang sangat dititikberatkan oleh Imam Bukhari;

#1 – Menjaga Makan Dan Minumnya

Beliau sangat menitikberatkan sumber yang masuk ke dalam darah dagingnya. Baginya, makanan dan minuman yang masuk ke dalam badannya yang akan membentuk dirinya.

Bahkan, diriwayatkan bahawa ibu dan bapanya sangat memelihara sumber makanan mereka. Mereka tidak pernah memberikan makanan yang syubhah apatah lagi yang haram kepada anak-anaknya.

Maksud: “Sesungguhnya yang halal itu jelas dan yang haram itu jelas. Di antara keduanya terdapat perkara-perkara yang syubhah (samar-samar) yang tidak diketahui oleh orang ramai. Maka, siapa yang takut terhadap syubhah bererti dia telah menyelamatkan agamanya dan kehormatannya. Dan siapa yang terjerumus dalam perkara yang syubhah, maka akan terjerumus dalam perkara yang diharamkan.” (Hadis Riwayat Tirmizi, no. 1205)

Makanan merupakan perkara yang sangat penting dan perlu sentiasa dijaga kerana ia yang akan membentuk darah daging kita.

Darah daging inilah yang akan membentuk diri kita suatu hari nanti. Kita lihat bagaimana Imam Bukhari mampu menghafal beribu hadis adalah disebabkan ingatannya yang bersih dan dirinya bebas dari perkara yang haram.

Hari ini, kita disajikan dengan pelbagai jenis pilihan makanan. Tidak salah untuk mencuba keunikan tersebut, namun periksa terlebih dahulu akan kehalalannya baik dari segi sumber makanan tersebut dan juga kebersihan.

#2 – Gemar Menghadiri Majlis Ilmu

Apabila kita melihat tokoh-tokoh yang ada, mereka amat gemar menghadiri majlis ilmu kerana di dalamnya banyak kelebihan yang terkandung.

Bukan sahaja disajikan dengan ilmu yang bermanfaat, namun dikelilingi oleh orang-orang yang juga menggemari ilmu serta para guru yang dimuliakan.

Melalui majlis ilmulah, para malaikat juga akan mendoakan penuntutnya dan rahmat akan memayungi mereka.

Maksud: “Tidaklah suatu kaum duduk berzikir (mengingati Allah) melainkan mereka dikelilingi oleh para malaikat, diliputi oleh rahmat, diturunkan sakinah (ketenangan) dan mereka disebut oleh Allah di hadapan malaikat yang ada di sisiNya.” (Hadis Riwayat Muslim, no. 2700)

Dalam era dunia yang pesat dengan perkembangan teknologi, begitu mudah untuk kita menuntut ilmu. Di mana-mana, pasti ada sahaja majlis ilmu yang dianjurkan, baik secara terus mahupun di alam maya.

Tinggal kita sahaja yang perlu menggerakkan diri dan hati untuk menghadirinya.

#3 – Menitikberatkan Kesahihan Ilmu

Namun, sebagai penuntut ilmu yang berwibawa, kita perlulah menitikberatkan kesahihan ilmu tersebut.

Tidak boleh mengambil dan mengamalkan ilmu secara semberono, bimbang jika ia boleh membawa kemudaratan kepada diri sendiri kelak.

Tidak kisahlah jika ilmu itu adalah dalam bidang agama terutamanya mahupun bidang-bidang lain, semuanya perlu diperhatikan.

Begitulah yang sentiasa diamalkan oleh Imam Bukhari. Beliau tidak menuntut dengan sembarangan guru, bahkan diriwayatkan bahawa beliau telah mengambil masa yang lama untuk mencari guru yang betul-betul thiqah (dipercayai) terutamanya dalam bidang hadis.

Diceritakan juga bahawa gurunya adalah seramai 1000 orang yang diketahui rantaian sanad mereka dari awal sehingga akhir dan syarat untuk beliau berguru sangatlah ketat.

Apabila beliau hendak mencatatkan hadis, beliau akan bertanya mengenai nama, nama gelaran serta keturunannya selain melihat terlebih dahulu adakah guru tersebut memahami hadis tersebut mahupun tidak. Jika tidak, beliau tidak akan mengambilnya.

#4 – Mempunyai Kemahiran Memanah

Imam Bukhari tidak hanya hebat di kelas pengajian namun juga di padang. Beliau dikatakan seorang yang sangat hebat dalam sukan memanah.

Perkara ini yang menyihatkan fizikal dan membantu kecerdasan otaknya sehingga beliau mampu kekal sihat.

Kita perlu sedar bahawa kecerdasan otak itu bukan hanya datang dari satu aspek, namun pelbagai. Sama ada makanan mahupun gaya hidup.

Kita tidak boleh menghabiskan 24 jam dengan belajar semata-mata sehingga mengabaikan makan, tidur dan juga kesihatan diri.

Semuanya perlu diseimbangkan dan dititikberatkan kerana badan kita adalah pinjaman dari Allah yang perlu dijaga.

#5 – Membentuk Keyakinan Melalui Istikharah

Antara amalan sunat yang tidak pernah ditinggalkan adalah solat sunat Istikharah. Diriwayatkan sebelum beliau menulis ilmu dan kitabnya, beliau akan menunaikan solat Istikharah bagi meminta petunjuk dan keyakinan dari Allah.

Kuncinya di sini adalah ibadah sunat yang dilakukan. Selain daripada tidak meninggalkan amalan wajib, beliau akan melazimi diri dengan amalan sunat kerana amalan sunat itu yang akan menjadi tampungan buat diri.

#6 – Mengamalkan Ilmu Yang Diucapkan

Beliau dikenali sebagai ulama yang mujtahid, iaitu yang mengamalkan apa yang diucapkan.

Beliau tidak bercakap secara sia-sia. Segala ilmu yang ada, akan diamal dan digunakan sebaik mungkin.

Baginya, itu adalah salah satu bukti ketakwaan dan dalam masa yang sama agar ilmu yang ada itu tidak hilang dan menjadi sia-sia.

Kesimpulan

Terlalu banyak peribadi menarik Imam Bukhari yang boleh dilihat sehingga beliau mampu membukukan kitab yang paling masyhur, iaitu Sahih al-Bukhari yang menjadi rujukan sehingga ke hari ini.

Beliau telah meninggal dunia selepas solat Isyak pada malam Sabtu, iaitu malam Hari Raya Aidilfitri, 30 Ramadan 256 Hijrah bersamaan 31 Ogos 870 Masihi.

Waktu itu beliau berusia 62 tahun dan meninggal di salah sebuah kampung di Samarkand.

Jenazah beliau telah dimakamkan selepas solat Zohor pada hari raya pertama dan antara pesanan yang menjadi ingatan sehingga ke hari ini adalah;

“Isilah masa lapangmu dengan rukuk, kerana kematian itu datang secara tiba-tiba. Betapa ramai orang yang kelihatan tidak berpenyakit, namun jasadnya yang sihat itu berlalu tiba-tiba.”

Rujukan:
Buku Siri Tokoh Hadis – Imam Al-Bukhari oleh Rosmawati Ali terbitan DBP
Mufti Wilayah Persekutuan


Kongsikan Artikel Ini

Nabi Muhammad s.a.w berpesan, “sampaikanlah dariku walau satu ayat” dan “setiap kebaikan adalah sedekah.” Apabila anda kongsikan artikel ini, ia juga adalah sebahagian dari dakwah dan sedekah. Insyallah lebih ramai yang akan mendapat manafaat.

Fizah Lee

Fizah Lee

Merupakan seorang graduan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia dalam bidang Bahasa Melayu untuk Komunikasi Antarabangsa. Seorang yang suka membaca bahan bacaan dalam bidang sejarah dan motivasi

Kempen Dakwah Digital

Boleh Sumbangkan RM50 Untuk Dakwah?

Bantu kami untuk mengerakkan platform dakwah digital ini dengan menerbitkan konten-konten Islamik yang mampu menyentuh jiwa insan lain agar berubah menjadi lebih baik.

Langgan Siri Tazkirah

Dapatkan siri informasi islamik yang ringan dan santai terus kepada emel anda setiap minggu dengan mengisi emel anda di bawah.

Ikuti Kami