Ulasan Buku

Ulasan Buku – 40 Ciri Ajaran Sesat

Oleh Fazli Abdullah  •  12 Oct 2019  •  4 min baca

Firman Allah S.W.T di dalam a-Quran yang bermaksud:

“Maka hadapankanlah dirimu (wahai Muhammad SAW) ke arah agama yang jauh daripada kesesatan; (turutlah terus) agama Allah, iaitu agama yang Allah ciptakan manusia (dengan keadaan bersedia daripada semula jadinya) untuk menerimanya; tidaklah patut ada sebarang perubahan pada ciptaan Allah itu; itulah agama yang betul lurus, tetapi kebanyakan manusia tidak mengetahui.”Surah ar-Rum 30:30

Islam adalah agama yang benar dan lagi diredai oleh Allah S.W.T. Panduan utamanya adalah al-Quran dan juga hadis Nabi Muhammad S.A.W. Dengan mengikut dan berpegang teguh dengan kedua sumber dan panduan ini pasti kita tidak akan sesat.

Ajaran sesat adalah satu ajaran yang berbeza dan bertentangan dengan agama Islam namun ia dikaitkan dengan agama Islam. Misalnya mengaitkan satu amalan yang sebenarnya salah di sisi agama Islam tetapi ia dianggap sebagai ajaran agama Islam.

Buku bertajuk ‘40 Ciri Ajaran Sesat’ adalah antara buku yang sesuai untuk dijadikan bahan pembacaan kita untuk lebih memahami dan mengenali ajaran yang menyeleweng dan bertentangan dengan ajaran sebenar Islam.

Buku ini adalah hasil penulisan Dr Mohammad Nidzam Abdul Kadir. Insha Allah dengan kehadiran buku ini kita akan lebih jelas untuk mengenali akidah Islam yang sebenar.

Sinopsis Buku 40 Ciri Ajaran Sesat

Buku 40 Ciri Ajaran Sesat ini terbahagi kepada dua bahagian. Bahagian yang pertama akan mengupas tentang fahaman dan ajaran sesat.

Antara yang terkandung dalam bahagian yang pertama adalah maksud fahaman sesat, punca terjadinya fahaman dan ajaran sesat, cara untuk menangani ajaran sesat dan pelbagai lagi.

Bahagian yang kedua pula akan mengupas mengenai 40 ciri fahaman dan ajaran sesat seperti tajuk utama buku ini.

Ia dikupas satu persatu dengan menggunakan ayat yang mudah difahami dan tidak berbelit-belit. Amat sesuai untuk pembaca dari kalangan orang awam.

Secara keseluruhannya buku ini mempunyai 174 muka surat dan ia tidak termasuk dengan kata penerbit dan kata pengarang.

Harganya pula tidaklah terlalu mahal berbanding ilmu yang diberikan iaitu berharga RM20. Buku yang berbaloi dan tidak rugi untuk dimiliki.

Kelebihan Buku Ini

Buku ini membawa kita kepada pentingnya untuk memiliki akidah yang benar dan sahih dalam kehidupan kita. Oleh itu, kita perlu mengetahui dan mengambil tahu tentang ciri-ciri sesuatu ajaran yang ingin kita pelajari dan ikuti.

Dengan kehadiran buku ini kita dapat mengetahui penjelasan terhadap ciri-ciri ajaran sesat. Ia turut membawa huraian yang lengkap agar pembaca buku ini dapat mengenal pasti sesuatu fahaman tersebut salah ataupun bukan. Boleh diterima ataupun sebaliknya.

Selain itu, buku ini boleh menjadi panduan kepada pembaca agar tidak terjebak dengan ajaran dan fahaman sesat.

Kita boleh menyemak buku ini terlebih dahulu untuk mengetahui sesuatu kumpulan yang ingin kita ikuti itu adakah dibenarkan dalam Islam ataupun menyeleweng dan sesat.

Saya amat mengesyorkan kita semua untuk memiliki buku ini agar kita mengetahui dakyah serta tipu daya sesebuah ajaran yang akan membawa kita ke jalan yang salah.

Bukan sekadar tahu tetapi kita yakin bahawa ajaran itu memang sesat kerana hujah yang diberikan di dalam buku ini akan membuka mata kita dan menambah keyakinan kita agar tidak terperangkap dengan ajaran yang tidak betul.

Kesimpulan

Jadikan buku ini sebagai satu bekalan dan teman baik kita untuk menempuhi dunia kini yang kian mencabar dengan pelbagai ujian yang kadangkala mengugat hati dan menarik nafsu jahat serta pujukan syaitan. Bacalah dengan teliti dan fahamilah dengan sepenuh hati.

Kehadiran buku ini akan membuatkan kita lebih berjaga-jaga untuk mengikuti dan menerima sesuatu kumpulan dan fahaman.

Selidiklah terlebih dahulu dan janganlah mudah tertipu dengan perhiasan luaran sahaja. Kaji dan tanyalah kepada mereka yang lebih pakar dan arif mengenai sesuatu bidang.

Akhir sekali, dengarlah nasihat orang yang lebih arif dan janganlah kerana ego dan sombong kita terus dalam kesesatan.

Fikir sejenak dan buatlah pertimbangan yang betul agar tidak timbulnya penyesalan di akhirat nanti. Waallahu a’lam.

*Ulasan buku 40 Ciri Ajaran Sesat. Terbitan Telaga Biru.


Kongsikan Artikel Ini

Nabi Muhammad s.a.w berpesan, “sampaikanlah dariku walau satu ayat” dan “setiap kebaikan adalah sedekah.” Apabila anda kongsikan artikel ini, ia juga adalah sebahagian dari dakwah dan sedekah. Insyallah lebih ramai yang akan mendapat manafaat.

Fazli Abdullah

Fazli Abdullah

Dilahirkan di Kedah. Hobi membaca dalam genre agama dan motivasi. Mengemari lagu nasyid. Menjadikan penulisan sebagai medan penyebaran ilmu dan kebenaran. tzkrh.com adalah ruangan penulisan pertamanya menulis dengan serius.

Kempen Dakwah Digital

Boleh Sumbangkan RM50 Untuk Dakwah?

Bantu kami untuk mengerakkan platform dakwah digital ini dengan menerbitkan konten-konten Islamik yang mampu menyentuh jiwa insan lain agar berubah menjadi lebih baik.

Langgan Siri Tazkirah

Dapatkan siri informasi islamik yang ringan dan santai terus kepada emel anda setiap minggu dengan mengisi emel anda di bawah.

Ikuti Kami