Gaya Hidup

Ujian Sebagai Perencah Rasa Kehidupan (Siri 2)

Oleh Baha'uddin Hamizan  •  23 Oct 2019  •  4 min baca

Media Sosial Tidak Memberi Gambaran Sebenar Kehidupan

Ketika saya menulis perkongsian ini, muncul isu seorang selebriti yang telah ditegur secara terbuka oleh angkasawan negara mengenai adab bersikap dengan anak kecil yang masih bayi.

Syeikh Muzaffar menegur kerana ingin mengingatkan kepada orang awam supaya tidak meniru aksi itu yang boleh memberi risiko lutut menjadi bengkok dan tekanan padanya.

Isu tersebut mendapat ramai reaksi daripada orang awam, ada yang menyambut baik teguran tersebut dan tidak kurang ada juga yang memberi komen supaya jangan menyibuk hal orang lain. Begitulah dunia media sosial yang sedikit sebanyak menjadi sebahagian daripada gaya hidup harian kita.

Jenn Hardy, seorang pakar psikologi bertauliah di Amerika Syarikat, berkata;

“We are more pack animal than lone wolf”

Apabila membicarakan tentang sifat kita yang bergaul dan bersosial dengan orang lain. Ya, itu adalah normal untuk manusia saling bersosial sesama sendiri. Tetapi sesetengah dari kita tidak hanya terhenti di situ.

Ada yang gemar membanding-bandingkan dirinya dengan orang lain, lebih teruk lagi terhadap orang yang tidak dikenali di dalam media sosial. Kita skrol paparan, melihat betapa indahnya hidup orang lain.

Pelbagai senyuman manis, rumah yang kemas dan luas, perabot yang cantik, makanan yang segar dimasak sendiri, percutian ke tempat-tempat menarik, dan pasangan yang baik-baik. Lalu kita mula merasakan diri kita sangat bertentangan dengan apa yang dipaparkan itu, lalu berasa kecewa mengapa kita tidak ‘bahagia’ seperti orang lain.

Ini disebut sebagai teori perbandingan sosial yang telah dikemukakan oleh Leon Festinger, psikologis sosial yang berasal dari Amerika Syarikat. Teori ini mengetengahkan bagaimana kita menilai diri kita berdasarkan apa yang kita lihat pada orang lain.

Sebagai contoh mudah, seorang pelari dalam acara sukan akan membandingkan dirinya dengan pelari lain dalam acara yang sama. Pada saya jika kita ambil dalam konteks yang sesuai seperti sukan, itu adalah baik. Kerana perkara itu terhad dalam acara, masa, lokasi dan keadaan diri kita sewaktu itu.

Yang menjadi munculnya masalah adalah apabila kita menjadikan perbandingan terhadap keseluruhan hidup kita dengan paparan gambar orang lain yang kita sendiri tidak tahu apa keadaan sebenarnya.

Lantas kita mula berkeluh kesah, murung dan merasa tidak cukup padahal kita juga tahu bahawa secara logiknya kebanyakan orang hanya memaparkan sudut baik sahaja dalam hidup mereka.

Begitulah yang dikatakan oleh Mai-Ly N. Steers, pakar psikologi sosial di University of Houston, apabila beliau menggelarnya sebagai ‘everyone else’s highlight reels’ dalam kajiannya berkenaan kaitan penggunaan Facebook dengan kemurungan.

انظروا إلى من هو أسفل منكم ولا تنظروا إلى من هو فوقكم ، فهو أجدر أن لا تزدروا نعمة الله عليكم
Pandanglah orang yang berada di bawahmu (dalam masalah harta dan dunia) dan janganlah engkau pandang orang yang berada di atasmu (dalam masalah ini). Dengan demikian, hal itu akan membuatmu tidak meremehkan nikmat Allah padamu.Riwayat Bukhari dan Muslim

Kesimpulan

Akhir kata saya ingin mengajak pembaca meneliti tema kesihatan mental yang mula muncul baru-baru ini. Jika kita buka surat khabar atau laman web mereka, akan terjumpa berita mengenai kematian para artis luar negara yang bunuh diri disebabkan kemurungan.

Contoh terbaru ialah Sulli, artis wanita dari Korea, yang ditemui mati di dalam rumahnnya berkemungkinan besar disebabkan bunuh diri. Sebelum ini seperti dilaporkan Reuters, beliau pernah muncul dalam rancangan temubual, dan bercakap tentang pembulian siber.

Beliau pernah dibuli secara maya dan bercerita tentangnya. Dalam masa sama juga, filem Joker yang dibintangi oleh Joaquin Phoenix mendapat sambutan begitu hangat sehinggakan ramai yang berminat untuk menulis tentangnya seperti Mufti Wilayah Persekutuan, Dr Zulkifli dan Dr Zul Azlin Razali, penulis buku Depresi: Terpuruk Rasa Ingin Mati terbitan DuBook Press.

Perkara ini juga mengingatkan saya pada buku bertajuk The Weight of Our Sky tulisan Hanna Alkaf yang saya baca beberapa bulan lalu. Watak utama dalam kisah tersebut, Melati, menggelar suara yang selalu bisik di kepalanya dengan gelaran ‘jin’.

Memberi naratif bahawa masyarakat sekelilingnya menganggap orang yang ada sakit mental itu adalah sebab diganggu jin dan tidak kuat iman.

Hal ini menunjukkan bahawa isu kesihatan mental perlu kita ambil perhatian. Kita perlu tahu akses untuk rawatan mengenai kesihatan mental dan juga dibezakan tahap keimanan seseorang dengan sakit mental.


Kongsikan Artikel Ini

Nabi Muhammad s.a.w berpesan, “sampaikanlah dariku walau satu ayat” dan “setiap kebaikan adalah sedekah.” Apabila anda kongsikan artikel ini, ia juga adalah sebahagian dari dakwah dan sedekah. Insyallah lebih ramai yang akan mendapat manafaat.

Baha'uddin Hamizan

Graduan dari Universiti Teknologi MARA, Fakulti Sains Pentadbiran & Pengajian Polisi. Penulis bersama buku bertajuk Pematah Hati Yang Tak Dirindukan (Must Read) dan Cinta (Puteh Press). Vlogger kepada channel Youtube bernama Bahak Stories.

Kempen Dakwah Digital

Boleh Sumbangkan RM50 Untuk Dakwah?

Bantu kami untuk mengerakkan platform dakwah digital ini dengan menerbitkan konten-konten Islamik yang mampu menyentuh jiwa insan lain agar berubah menjadi lebih baik.

Langgan Siri Tazkirah

Dapatkan siri informasi islamik yang ringan dan santai terus kepada emel anda setiap minggu dengan mengisi emel anda di bawah.

Ikuti Kami