Inspirasi

Ujian Itu Tanda Cinta Allah Kepada HambaNya

Oleh Fizah Lee  •  14 Feb 2020  •  3 min baca

Setiap kehidupan manusia ada ujian yang perlu dilalui sama ada ia berbentuk kemewahan, kesenangan, kesusahan dan sebagainya. Lahir sahaja manusia di muka bumi, maka ujian ialah salah satu perkara yang akan mengikut seseorang sampai mati.

Lulus atau tidak ujian tersebut bergantung kepada keimanan anda sendiri. Cara anda melihat masalah itu dari sudut sama ada ia akan menjadikan anda seorang yang baru atau biasa sahaja, itu semua merupakan proses pembelajaran yang dijalani oleh anda sendiri.

Bahkan, Allah tidak menimpakan ujian kepada seseorang hambaNya dengan sesuka hati. Ujian yang diberikan itu adalah suatu yang mampu ditanggung oleh hamba tersebut kerana Allah tidak pernah memberati hambaNya dengan ujian-ujian tersebut.

Kadang-kadang, jika anda merasakan anda lemah dan tidak larat dengan ujian serta masalah yang sedang dihadapi, percayalah bahawa anda sebenarnya mampu untuk menghadapinya. Buang segala perspektif buruk dan fikiran negatif yang bersarang dalam diri anda.

Lihat masalah dari sudut yang berbeza agar perspektif anda terhadap masalah itu boleh berubah kepada sebuah perjalanan yang menyeronokkan. Bahkan, apabila anda berjaya menghadapinya, suatu hari nanti anda akan tersenyum lebar kerana berbangga dengan kemampuan diri anda untuk menghadapinya.

إذا أحَبَّ اللهُ قومًا ابْتلاهُمْ

Maksud: “Jika Allah mencintai sesuatu kaum, maka mereka akan diuji.” (Hadis Riwayat A-Albani, no. 285)

Kisah para nabi yang diuji dengan ujian yang bertimpa-timpa demi menyebar dakwah Islam ke serata dunia menjadi inspirasi buat semua. Buat anda yang sedang menghadapi masalah besar, mungkin anda akan menjawab dengan;

“Aku bukan nabi, iman tak sama.”

Ya, anda bukan nabi, tetapi anda ialah umat yang terbaik kepada nabi terakhir yang diangkat sebagai kekasihNya. Buang jauh-jauh segala alasan yang anda berikan kepada diri berkenaan masalah yang dihadapi, tukarkan ia kepada strategi untuk menghadapi masalah tersebut.

Semakin banyak alasan yang diberikan, maka semakin lama juga hati anda tidak akan berganjak daripada masalah tersebut. Makanan yang berkulat, jika dibiarkan di dalam peti ais selama berhari-hari akan makin berkulat dan boleh menyebabkan bau yang busuk kepada peti tersebut.

Solusinya ialah, ia perlu dibuang dan peti ais itu akan kembali normal. Begitu juga dengan diri anda. Masalah itu ialah untuk diselesaikan dan bukan disimpan lama sehingga membusuk dan merosakkan fungsi kehidupan anda.

Bagaimana Nabi Ibrahim boleh menghadapi suruhan Allah untuk menyembelih anak kesayangannya? Bagaimana Nabi Hud berdakwah bersungguh-sungguh kepada kaum ‘Ad dan bagaimana Nabi Muhammad mengatasi fasa kesedihan semasa kematian isteri dan bapa saudara kesayangannya.

Bahkan, banyak lagi ujian para nabi yang dilalui mereka dan tidak tergambar kesusahan mereka. Jadi, sebagai umat kepada Nabi Muhammad, iaitu nabi yang terakhir dan paling berat ujiannya, anda perlu belajar daripada sirah terdahulu untuk melihat kesungguhan mereka dalam menghadapi masalah.

أشد الناس بلاء الأنبياء, ثم الصالحون, ثم الأمثل فالأمثل

Maksud: “Manusia yang paling berat cubaannya adalah para nabi, kemudian orang-orang soleh, kemudian yang seperti mereka dan yang sepertinya.” (Hadis Riwayat Ahmad, no. 995)


Kongsikan Artikel Ini

Nabi Muhammad s.a.w berpesan, “sampaikanlah dariku walau satu ayat” dan “setiap kebaikan adalah sedekah.” Apabila anda kongsikan artikel ini, ia juga adalah sebahagian dari dakwah dan sedekah. Insyallah lebih ramai yang akan mendapat manafaat.

Fizah Lee

Merupakan seorang graduan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia dalam bidang Bahasa Melayu untuk Komunikasi Antarabangsa. Seorang yang suka membaca bahan bacaan dalam bidang sejarah dan motivasi

Kempen Dakwah Digital

Boleh Sumbangkan RM50 Untuk Dakwah?

Bantu kami untuk mengerakkan platform dakwah digital ini dengan menerbitkan konten-konten Islamik yang mampu menyentuh jiwa insan lain agar berubah menjadi lebih baik.

Langgan Siri Tazkirah

Dapatkan siri informasi islamik yang ringan dan santai terus kepada emel anda setiap minggu dengan mengisi emel anda di bawah.

Ikuti Kami