Gaya Hidup

Tukar Nama Kerana Terlalu Berat Untuk Ditanggung?

Oleh Natirah Azira  •  20 Jan 2020  •  3 min baca

Kita sering mendengar orang-orang tua dahulu berkata bahawa anak yang terlalu banyak menangis tanpa sebab mungkin tidak mampu menanggung nama yang diberikan. Atau nama tersebut terlalu berat untuknya.

Sangkaan tersebut jadi lebih kuat apabila selepas menukar nama, keadaan anak tersebut kembali pulih seperti sedia kala.

Adakah hal ini benar-benar wujud atau hanyalah kepercayaan yang ditanam dalam fikiran dari satu generasi ke generasi yang lain. Adakah hal ini benar-benar wujud menurut Islam?

Seruan Supaya Memperelokkan Nama

Memberi nama yang baik adalah hak kepada seorang anak dan ia menjadi suatu tanggungjawab yang perlu dipenuhi oleh ibu bapa.

“Hak anak yang harus ditunaikan orang tua antaranya adalah memilihkan nama yang baik dan memperhalus budi pekerti” (HR. Imam al-Baihaqi dari Ibnu Abbas)

Selain itu, kita maklum bahawa nama yang dipakai semasa di dunia juga akan dibawa ke akhirat. Kelak kita akan diseru dengan nama yang dipakai sekarang, justeru berilah nama yang elok dan baik.

Maksudnya: Sesungguhnya kamu semua akan diseru pada hari kiamat kelak dengan nama kamu dan nama bapa-bapa kamu. Maka perelokkanlah nama kamu. (Riwayat Abu Daud, no. 4948)

Perkaitan Antara Nama Dan Keperibadian

Adakah nama ada kaitan dengan peribadi dan sikap?

Para ulama berpendapat bahawa nama mempunyai perkaitan dengan peribadi seseorang. Imam Ibnu Qayim juga memberikan ulasan bahawa nama yang baik memberi kesan kepada akhlak seseorang. Hal ini boleh diterima oleh logik akal kerana panggilan nama yang baik sama juga seperti mendoakan kebaikan buat orang tersebut begitu juga sebaliknya.

Kadang-kadang disebabkan nama yang baik yang telah diberikan itulah yang mendorong seseorang melakukan perbuatan yang sesuai dengan namanya serta meninggalkan hal yang sebaliknya.

Hal ini dapat dikaitkan dengan sebuah kisah di bawah di mana Nabi SAW pernah menasihati seseorang untuk menukar namanya daripada Hazan kepada Sahl. Hazan mempunyai maksud yang tidak bagus iaitu ‘kesedihan’. Namun dia bertegas untuk tidak menukarkan nama kepada nama baru yang dicadangkan.

Maksudnya: Dari Ibn al-Musayyib dari bapanya bahawa datuknya bertemu dengan nabi SAW, lalu nabi SAW bertanya kepadanya, apa nama kamu, maka dia menjawab Hazan, lalu kata Nabi SAW nama kamu sekarang ialah Sahl, maka dia berkata saya tidak akan menukar nama yang telah diberikan kepada saya oleh ayah saya. Kata Ibn al-Musayyib: Maka sejak itu, kesedihan sentiasa menimpa kami. (Riwayat al-Bukhari, no. 6190)

Hikmah daripada hal ini lah, kita dituntut untuk menukar nama yang tidak baik kepada nama yang baik. Para ulama pula telah menetapkan beberapa konklusi berikut:

1. Kita dituntut untuk menukarkan nama seseorang kerana keburukannya.

2. Digalakkan untuk menukar nama kerana maslahah tertentu walaupun nama itu baik pada asalnya. Seperti nama Barrah dan Khairunnisa’. Ini kerana Barrah bermaksud yang banyak berbuat baik manakala Khairunnisa’ bermaksud sebaik-baik wanita. (Lihat Syarh Muntaha al-Iradat)

3. Dituntut untuk mengelakkan nama yang boleh membawa kepada kepercayaan sial. Contohnya seperti nama hazan yang bermaksud kesedihan. Nama sebegini boleh membawa kepada mempercayai bahawa segala musibah yang ditimpa insan yang bernama hazan ini ialah kerana namanya yang membawa kepada kesedihan. (Lihat Syarh Muntaha al-Iradat)

Tuntasnya, memberi nama yang baik kepada anak-anak adalah suatu yang sangat dituntut. Berkaitan dengan isu anak tidak mampu menanggung nama pula sebenarnya tidak ada ditemukan dalam apa-apa kenyataan oleh ilmuan Islam.

Bahkan perbuatan yang menganggap bahawa nama terlalu berat atau sial buat seseorang pemiliknya dibimbangi mempunyai unsur-unsur khurafat serta bercanggah dengan akidah. Hanya Allah juga yang berhak memberi manfaat serta mudharat kepada makhlukNya. Wallahua’lam.

Rujukan:
Mufti Wilayah Persekutuan


Kongsikan Artikel Ini

Nabi Muhammad s.a.w berpesan, “sampaikanlah dariku walau satu ayat” dan “setiap kebaikan adalah sedekah.” Apabila anda kongsikan artikel ini, ia juga adalah sebahagian dari dakwah dan sedekah. Insyallah lebih ramai yang akan mendapat manafaat.

Natirah Azira

Natirah Azira

Beliau merupakan graduan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia dalam bidang Al-Quran dan Sunnah. Sekarang sedang menyambung pengajian peringkat Ijazah Sarjana dalam bidang Psikologi di universiti yang sama. Seorang yang suka membaca pelbagai genre bahan bacaan terutama sejarah, sastera, motivasi dan psikologi.

Kempen Dakwah Digital

Boleh Sumbangkan RM50 Untuk Dakwah?

Bantu kami untuk mengerakkan platform dakwah digital ini dengan menerbitkan konten-konten Islamik yang mampu menyentuh jiwa insan lain agar berubah menjadi lebih baik.

Langgan Siri Tazkirah

Dapatkan siri informasi islamik yang ringan dan santai terus kepada emel anda setiap minggu dengan mengisi emel anda di bawah.

Ikuti Kami