Inspirasi

Tren, Analogi Kehidupan Kita Saat Ini

Oleh Natirah Azira  •  8 Feb 2019  •  2 min baca

Bagi yang selalu menggunakan pengangkutan awam seperti tren pasti tahu betapa sesaknya suasana ketika waktu puncak – pagi ketika semua orang berpusu ingin ke tempat kerja dan juga waktu petang ketika masing-masing ingin pulang ke rumah.

Macam-macam gelagat yang mampu dilihat – yang khusyuk menatal skrin telefon, yang muka sugul dan kepenatan, juga ada yang tertidur dan hampir terlepas tempat perhentian.

Pernah beberapa kali saya termasuk dalam kategori ‘sugul dan kepenatan’ sehingga tersalah naik tren. Perjalanan yang sepatutnya menghala ke Putra Height baru saya sedari mengarah ke Gombak setelah separuh perjalanan. Minda terlalu kusut sehingga tidak dapat memandu langkah kaki. Pengumuman dari pembesar suara tren langsung tidak tertangkap dek telinga.

Menaiki tren seperti melalui kehidupan. Kita bergerak daripada satu perhentian ke perhentian yang lain. Kita berhenti di stesen yang kita mahukan – kita bekerja, menyelesaikan urusan dan tiba waktu kita menaiki tren untuk pulang semula.

Ada waktu kita pulang dalam keadaan masih segar. Ada hari kita kepenatan dan serabut dengan masalah sehinggakan suara dari corong yang mengumumkan tempat berhenti pun tidak didengari.

Mengapa saya mengatakan menaiki tren seperti mengharungi kehidupan?

Kerana di saat kita terlalu penat dengan masalah, kita mungkin tidak mendengar ‘suara dari Tuhan’. Ada orang sewaktu diduga, mereka hilang arah dari jalan yang benar. Mereka tersilap menaiki ‘tren’ dan menuju ke arah yang salah. Ada pula yang terlalu asyik dengan apa yang dikejar dalam hidup sehingga tercengang-cengang ‘stesen’ manakah yang telah dilalui.

Ramai yang berkata bahawa kehidupan sarat dengan masalah untuk diselesaikan. Namun selain cabaran dan masalah, ada juga waktu-waktu kita gembira dan hari berjalan lancar. Daripada 365 hari yang ada dalam setahun, mungkin waktu yang sukar dan penuh masalah hanyalah 20 hari sahaja – tidak sampai lima persen pun sebenarnya.

Dalam waktu yang terasa sukar itulah kita harus belajar bersabar. Beri masa kepada diri untuk pulih dan melangkah lagi. Yakinkan hati dengan kata-kata yang baik bahawa – “Bersama kesusahan ini, Allah akan mendatangkan bantuan. Allah yang pernah menjaga sekalian Nabi, akan menjaga kita saat ini”.

Dalam waktu yang terasa sukar inilah, kita perlu belajar mendengar apa yang ingin Tuhan katakan.


Kongsikan Artikel Ini

Nabi Muhammad s.a.w berpesan, “sampaikanlah dariku walau satu ayat” dan “setiap kebaikan adalah sedekah.” Apabila anda kongsikan artikel ini, ia juga adalah sebahagian dari dakwah dan sedekah. Insyallah lebih ramai yang akan mendapat manafaat.

Natirah Azira

Natirah Azira

Beliau merupakan graduan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia dalam bidang Al-Quran dan Sunnah. Sekarang sedang menyambung pengajian peringkat Ijazah Sarjana dalam bidang Psikologi di universiti yang sama. Seorang yang suka membaca pelbagai genre bahan bacaan terutama sejarah, sastera, motivasi dan psikologi.

Kempen Dakwah Digital

Boleh Sumbangkan RM50 Untuk Dakwah?

Bantu kami untuk mengerakkan platform dakwah digital ini dengan menerbitkan konten-konten Islamik yang mampu menyentuh jiwa insan lain agar berubah menjadi lebih baik.

Langgan Siri Tazkirah

Dapatkan siri informasi islamik yang ringan dan santai terus kepada emel anda setiap minggu dengan mengisi emel anda di bawah.

Ikuti Kami