Sejarah

Tragedi Karbala, Peristiwa Di Sebalik 10 Muharam

Oleh Natirah Azira  •  11 Sep 2019  •  4 min baca

10 Muharam selain dikaitkan dengan puasa Hari Asyura, ia juga dikaitkan dengan Tragedi Karbala, iaitu tragedi pembunuhan yang sangat menyayat hati berlaku dalam sejarah selepas kewafatan Nabi Muhammad SAW. Dalam peristiwa ini, Saidina Husain telah dibunuh dengan cara yang kejam di tempat bernama Karbala.

Sebenarnya perpecahan dalam kalangan orang Islam berlaku lama sebelum itu iaitu ketika terbunuhnya khalifah Islam ketiga, Saidina Uthman. Muawiyyah dan pengikutnya adalah kelompok yang tidak bersetuju dengan pelantikan Saidina Ali sebagai pemimpin.

Setelah kematian Saidina Ali, umat Islam semakin berpecah. Muawiyyah yang sebelum itu telah berjaya meluaskan pengaruh dan kuasanya di Syria akhirnya merampas kekuasaan Khalifah dan mendirikan Empayar Umayyah pada tahun 661 Hijrah.

Dalam masa pemerintahan Muawiyyah, kaum Muslim semakin berpecah. Sebahagiannya menyokong Muawiyyah dan sebahagian lagi menentang termasuklah pengikut Saidina Ali yang masih tinggal, Ibnu Zubair dan sebahagian yang lain.

Ibnu Zubair mengecam sekerasnya apabila Muawiyyah melantik anaknya Yazid untuk menggantikannya ekoran Yazid adalah seorang yang masih mentah dan sukakan hiburan. Mereka juga berpendapat bahawa Muawiyyah cuba menukar sistem pemerintahan daripada konsep khalifah kepada pemerintahan beraja dan mengekalkan keturunannya dalam pemerintahan.

Ketika itu, banyak pengikut dan penyokong Saidina Ali berada di Irak. Mereka mengutuskan surat kepada Husain yang berada di Mekah dan meminta beliau untuk berpindah ke Irak.

Mereka berjanji akan membaiah Husain sebagai khalifah kerana mereka tidak menginginkan Yazid bin Muawiyyah menjawat jawatan Khalifah. Mereka bukan hanya mengutus surat, tetapi turut mengunjungi Husain di Mekah, dan mengajak beliau berangkat ke Kufah malah berjanji akan menyediakan pasukan jika sebarang perkara tidak diingini terjadi.

Para sahabat seperti Ibnu Abbas sering menasihati Husain supaya tidak mengikuti kehendak mereka, kerana ayahnya Saidina Ali bin Abi Talib turut dibunuh di Kufah dan Ibnu Abbas bimbang jika Husain turut dibunuh di sana. Namun Husain mengatakan, “Saya sudah melakukan istikharah dan akan berangkat ke sana”

Namun sayangnya, pengikut Saidina Ali di Kufah bukanlah seperti pengikut Nabi Muhammad SAW di Madinah ketika mereka menjemput Nabi SAW supaya berhijrah ke sana. Mereka di Kufah hanya menjemput Husain untuk kepentingan politik mereka menentang Yazid.

Natijahnya, apabila Husain dan pengikutnya berhadapan dengan tentera Yazid yang diketuai oleh pasukan Ubaidillah, pihak Kufah yang berjanji ingin melindungi dan menyediakan pasukan buat Husain lari menyelamatkan diri. Ubaidillah yang derhaka ini kemudian membunuh Husain dengan memenggal kepalanya sekalipun tindakan tersebut langsung tidak diperintahkan oleh Yazid.

Husain terbunuh sebagai orang yang dizalimi dan sebagai syahid. Diceritakan bahawa setelah dibunuh, kepala Saidina Husain diletakkan di bejana (bekas air) lalu ‘Ubaidullah bin Ziyad menusuk-nusuknya dengan pedang.

Dalam satu riwayat yang sahih diceritakan:

“Aku diberitahu oleh Muhammad bin Husain bin Ibrahim, dia mengatakan: aku diberitahu oleh Husain bin Muhammad, kami diberitahu oleh Jarîr dari Muhammad dari Anas bin Malik R.anhu, dia mengatakan: Kepala Husain dibawa dan didatangkan kepada ‘Ubaidullah bin Ziyad. Kepala itu ditaruh di bejana. Lalu ‘Ubaidullah bin Ziyad menusuk-nusuk (dengan pedangnya) seraya berkata sedikit tentang ketampanan Husain. Anas R.anhu mengatakan, “Diantara Ahlul bait, Husain adalah orang yang paling mirip dengan Rasulullah SAW”. Saat itu, Husain R.anhu disemir (diminyakkan) rambutnya dengan wasmah (tumbuhan, sejenis pacar yang condong ke warna hitam)”

Banyak riwayat-riwayat palsu yang muncul berkaitan dengan peristiwa ini. Ada yang menyatakan bahawa kepala Husain R.anhuma diarak sehingga diletakkan di hadapan Yazid.

Ada pula yang menceritakan bahawa para wanita dan keluarga Husain juga ditawan dan dirampas lalu dikelilingkan ke seluruh negeri dengan kenderaan tanpa pelana. Semua perkara ini merupakan kepalsuan yang dibuat oleh sesetengah pihak. Mengikut laporan, Yazid saat itu sedang berada di Syam, sementara kejadian menyayat hati ini berlangsung di Irak.

Ekoran daripada peristiwa ini, golongan Syiah Muslim telah menjadikan 10 Muharam sebagai tarikh penuh ratapan dan kesedihan untuk memperingati kematian Husain. Mereka akan mengunjungi tempat pembunuhan Husain di Karbala, Iraq dan melakukan ritual tertentu seperti meratap menyebut nama Husain, memukul dan menyakitkan diri sendiri.

Hakikatnya, bukan Imam Husain sahaja yang dibunuh dengan kejam sepanjang sejarah Islam. Malah nabi-nabi sebelum Nabi Muhammad SAW serta pemimpin-pemimpin Islam sebelum itu juga ramai yang dibunuh. Contohnya Saidina Umar ditikam dengan pisau bermata dua oleh lelaki yang bernama Abu Lu’luah ketika mengimamkan solat Subuh, manakala Saidina Uthman dibunuh oleh pasukan pemberontak yang diketuai oleh Abdullah bin Saba di kediaman Saidina Uthman sendiri.

Islam tidak menghalang umatnya daripada mengingati mana-mana pemimpin Islam, tetapi tidak lah sampai kepada keadaan yang boleh membahayakan diri sendiri. Hargailah pengorbanan yang telah dilakukan oleh mereka dengan terus mengamalkan Islam sebagai jati diri dan gaya hidup kita sehingga akhir hayat.


Kongsikan Artikel Ini

Nabi Muhammad s.a.w berpesan, “sampaikanlah dariku walau satu ayat” dan “setiap kebaikan adalah sedekah.” Apabila anda kongsikan artikel ini, ia juga adalah sebahagian dari dakwah dan sedekah. Insyallah lebih ramai yang akan mendapat manafaat.

Natirah Azira

Natirah Azira

Beliau merupakan graduan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia dalam bidang Al-Quran dan Sunnah. Sekarang sedang menyambung pengajian peringkat Ijazah Sarjana dalam bidang Psikologi di universiti yang sama. Seorang yang suka membaca pelbagai genre bahan bacaan terutama sejarah, sastera, motivasi dan psikologi.

Kempen Dakwah Digital

Boleh Sumbangkan RM50 Untuk Dakwah?

Bantu kami untuk mengerakkan platform dakwah digital ini dengan menerbitkan konten-konten Islamik yang mampu menyentuh jiwa insan lain agar berubah menjadi lebih baik.

Langgan Siri Tazkirah

Dapatkan siri informasi islamik yang ringan dan santai terus kepada emel anda setiap minggu dengan mengisi emel anda di bawah.

Ikuti Kami