Keluarga

Tips Urus Diri Dan Anak-Anak Bagi Ibu Bapa Tunggal

Oleh Anas  •  11 Apr 2017  •  4 min baca

Sayyid Quthub rhm pernah berkata:

“Dalam ujian yang menimpa manusia, adakalanya tersembunyi kebaikan selepas kemudaratan, kemudahan selepas kepayahan, dan kerehatan yang terbesar selepas keletihan dan kepenatan.”

Perceraian merupakan perkara halal yang paling dibenci Allah. Namun, ada beberapa situasi menyebabkan ia dibenarkan. Perceraian selalunya menyukarkan dan mendatangkan perasaan seperti sedih, marah dan murung kepada pihak yang terlibat. Maka, jika ia berlaku, ambil perhatian untuk hal-hal berikut:

#1 – Sokongan Emosi

Perceraian memberi kesan kepada semua ahli dalam keluarga. Timbul bermacam perasaan kerana berlaku perubahan besar dalam hidup. Pada waktu ini, sokongan emosi kepada anak-anak amat penting.

Justeru, masa yang anda luangkan untuk mendengar apa yang hendak dikatakan oleh anak anda adalah amat bernilai. Ia amat menuntut peranan anda sebagai pendengar yang bagus.

Komen negatif kepada bekas pasangan hanya akan menimbulkan konflik antara anak-anak dengan bekas pasangan anda, malah kepada diri anda. Apa lagi jika anda meluahkan kemarahan kepada bekas pasangan dengan cara mengasari anak-anak. Ini benar-benar jauh dari ajaran agama.

Untuk anda pula, luahkan perasan dan segala kebimbangan serta masalah anda kepada orang dewasa yang lain. Sekiranya perubahan hidup ini menyebabkan perasaan anda amat tertekan, segera dapatkan bantuan daripada pakar. Ini penting untuk diri anda dan anak-anak.

#2 – Tanggungjawab Setelah Perceraian

Anda masih bertanggungjawab terhadap anak-anak sebagai ibu dan bapa mereka walaupun tidak lagi hidup bersama. Oleh itu, menjaga keperluan mereka terutama dari segi emosi tetap satu kewajipan. Beritahu mereka bahawa anda menyayangi mereka.

Tunjukkan sikap yang baik itu juga kepada bekas pasangan anda (semasa anak-anak ada bersama dengan anda) dalam batas dan had sebagai bekas suami/isteri.

Ketiadaan salah seorang ibu atau bapa di dalam rumah juga tidak bermakna anak-anak kini bebas melakukan apa sahaja. Pantau diri mereka terutama berkaitan disiplin anak-anak.

Tindakan mengambil hati anak-anak dengan memberikan semua yang mereka mahu (walaupun anda tahu ia akan memberi kesan buruk kepada mereka) bukanlah satu tindakan bijak. Letakkan had dan jangkaan anda kepada anak-anak untuk mereka patuhi.

#3 – Masa Yang Produktif

Gunakan masa yang ada dengan lebih produktif. Anda boleh mula menyusun jadual anda untuk melakukan aktiviti-aktiviti yang anda suka. Yang penting, ia tidak mengganggu hubungan anda dengan anak-anak atau membuatkan anda mengabaikan tanggungjawab anda. Ini juga adalah masa terbaik untuk menambah baik hubungan anda dengan Allah.

Sementara anda meluangkan masa untuk diri anda, libatkan anak-anak dengan aktiviti di luar sekolah yang bermanfaat seperti kem solat, kelas pertahanan diri dan sebagainya. Jangan lupa juga untuk mempunyai masa berkualiti dengan anak-anak.

Walaupun anda sibuk bekerja, cari masa untuk bersama mereka dan berbual dengan mereka. Selain itu, kesihatan dan keselamatan anak-anak dan diri anda juga harus dijaga.

#4 – Minta Sokongan Orang Terdekat

Anda memerlukan lebih ramai orang untuk turut sama membantu anda. Usah rasa malu untuk meminta bantuan daripada keluarga dan rakan-rakan. Jika anda merupakan ibu tunggal, anda mungkin memerlukan lelaki dari ahli keluarga anda untuk memperbaiki peralatan di rumah anda.

Anda juga mungkin memerlukan mereka untuk melakukan aktiviti yang biasa dilakukan oleh seorang bapa dengan anak-anak. Apabila anda mempunyai tugasan di luar daerah pula, mungkin ibu anda boleh membantu anda menjaga anak-anak anda sehingga anda pulang.

#5 – Keyakinan Kepada Allah

Tanamkan keyakinan kepada Allah. Setiap yang berlaku sememangnya datang dengan hikmah. Adakalanya kita tidak sedar tentang hal tersebut. Minta kepada Allah supaya dipermudahkan semua urusan anda. Bergantunglah kepada Allah dalam susah atau pun senang.

Pertolongan Allah sentiasa ada apabila kita meletakkan sepenuh pergantungan kita kepada-Nya. Menjadi ibu atau bapa tunggal memang satu cabaran yang besar. Ini kerana, anda terpaksa melakukan hampir kesemuanya tanpa pasangan di sisi yang sebelum ini menjadi tempat anda mengadu.

Maka, kekalkan bersikap positif. Anda bukan sempurna tapi anda boleh melakukan yang terbaik dan sentiasa mempunyai peluang untuk memperbaiki diri anda.

Walau pun perceraian sudah berlaku, berbuat baiklah di antara satu sama lain. Hubungan antara ibu bapa dengan anak-anak tetap tidak akan terpisah. Jadikan pengalaman masa lalu sebagai pengajaran untuk meneruskan hidup yang lebih bahagia.


Kongsikan Artikel Ini

Nabi Muhammad s.a.w berpesan, “sampaikanlah dariku walau satu ayat” dan “setiap kebaikan adalah sedekah.” Apabila anda kongsikan artikel ini, ia juga adalah sebahagian dari dakwah dan sedekah. Insyallah lebih ramai yang akan mendapat manafaat.

Anas

Seorang penulis yang suka bereksperimentasi dengan pelbagai bidang dalam penulisan. Pernah menulis buku kanak-kanak dan juga majalah.

Kempen Dakwah Digital

Boleh Sumbangkan RM50 Untuk Dakwah?

Bantu kami untuk mengerakkan platform dakwah digital ini dengan menerbitkan konten-konten Islamik yang mampu menyentuh jiwa insan lain agar berubah menjadi lebih baik.

Langgan Siri Tazkirah

Dapatkan siri informasi islamik yang ringan dan santai terus kepada emel anda setiap minggu dengan mengisi emel anda di bawah.

Ikuti Kami