Ibadah

Tips Skor A+ Di Hari Jumaat Untuk Muslimah

Oleh Anas  •  6 Jun 2017  •  3 min baca

Di Malaysia, hari Jumaat begitu sinonim dengan kaum lelaki kerana kewajipan mereka untuk menunaikan solat Jumaat pada hari tersebut. Jarang kita mendengar tentang wanita pergi menunaikan solat Jumaat di sini.

Biasanya mereka berada di rumah bersama anak-anak atau di pusat membeli-belah jika bekerja. Ini kerana waktu rehatnya lebih panjang berbanding 4 hari yang lain. Sabda Rasulullah SAW:

“Jumaat dinamakan sebagai ‘sayyidul ayyam’ iaitu penghulu segala hari (sebaik-baik hari).”

Oleh itu, Jumaat adalah hari terbaik bagi meningkatkan ketakwaan dan membersihkan diri dari dosa. Tapi, bagaimanakah caranya agar kaum wanita juga boleh mengambil kebaikan hari Jumaat?

#1 – Membersihkan Diri Dan Berpakaian Kemas

Bukan lelaki yang akan menunaikan solat Jumaat saja yang digalakkan membersihkan diri dan berpakaian selesa. Wanita juga digalakkan mandi, memakai wangian, dan mencantikkan diri pada hari tersebut. Jadikan hari Jumaat sebagai Hari Raya.

Tapi, ini tidaklah bermakna anda perlu membeli pakaian baru setiap minggu. Cuma, raikan hari Jumaat dengan memakai pakaian yang kemas, bersih dan selesa.

#2 – Memperbanyakkan Amalan Kebaikan

Hari Jumaat adalah antara hari paling mulia yang dianugerahkan Allah SWT kepada umat Islam. Pada hari tersebut kita amat digalakkan supaya memperbanyakkan amalan. Rasulullah juga ada menyatakan tentang syafaat yang akan diberikan kepada mereka yang banyak berselawat kepada Baginda pada hari tersebut.

Daripada Abu Aus bin Aus RA bahawa Rasulullah SAW bersabda:

“Sesungguhnya di antara hari yang paling mulia bagi kamu semua ialah hari Jumaat, oleh yang demikian hendaklah kamu semua memperbanyakkan membaca selawat kepadaku pada hari itu, kerana sesungguhnya ucapan selawat kamu semua akan ditunjukkan kepadaku (pada hari kiamat nanti).(Hadis riwayat Abu Daud)

Selain itu, ini adalah hari yang baik untuk kita menambah istighfar dan zikir kita. Jadikan hari ini hari kita mengingati semula Allah SWT dan RasulNya serta bermuhasabah diri.

#3 – Melakukan Solat Sunat Dhuha

Tidak kira sama ada anda seorang suri rumah atau wanita bekerjaya, lakukanlah solat sunat dhuha jika berkesempatan. Ucapkan kesyukuran di atas rezeki yang Allah berikan kepada anda. Rezeki datang dalam pelbagai bentuk. Selain harta, ketenangan dan kebahagiaan juga ialah rezeki. Tambahkan juga amalan-amalan lain seperti bersedekah dan menolong mereka yang memerlukan.

#4 – Membaca Surah Al-Kahfi

Pada hari Jumaat, kita amat digalakkan untuk membaca surah al-Kahfi. Kita boleh berusaha untuk menghabiskan surah tersebut pada setiap hari Jumaat. Namun, jika tidak berkesempatan, cuba membaca sekurang-kurangnya ayat yang pertama dan 10 ayat yang terakhir. Rasulullah SAW bersabda:

“Barangsiapa membaca surah al-Kahfi pada hari Jumaat, maka akan dipancarkan cahaya antara dia dan Ka’bah”(Hadis riwayat Al-Baihaqi dan al-Hakim)

#5 – Berdoa Pada Waktu Mustajab Doa

Jam terakhir sebelum Maghrib pada hari Jumaat adalah antara waktu doa mudah dimakbulkan. Oleh itu, perbanyakkan dan bersungguh-sungguhlah dalam berdoa pada waktu tersebut. Semoga Allah memakbulkan doa kita yang baik-baik. Rasulullah SAW bersabda:

“Hari yang paling baik di mana matahari terbit pada hari itu ialah hari Jumaat, pada hari itu Adam a.s diciptakan, dan pada hari itu pula Adam dimasukkan ke dalam syurga, serta diturunkan dari syurga, pada hari itu juga kiamat akan terjadi pada hari tersebut. Terdapat suatu waktu di mana tidaklah seorang mukmin solat menghadap Allah mengharapkan kebaikan kecuali Allah akan mengabulkan permintaannya.”(Hadis riwayat Muslim)


Kongsikan Artikel Ini

Nabi Muhammad s.a.w berpesan, “sampaikanlah dariku walau satu ayat” dan “setiap kebaikan adalah sedekah.” Apabila anda kongsikan artikel ini, ia juga adalah sebahagian dari dakwah dan sedekah. Insyallah lebih ramai yang akan mendapat manafaat.

Anas

Anas

Seorang penulis yang suka bereksperimentasi dengan pelbagai bidang dalam penulisan. Pernah menulis buku kanak-kanak dan juga majalah.

Kempen Dakwah Digital

Boleh Sumbangkan RM50 Untuk Dakwah?

Bantu kami untuk mengerakkan platform dakwah digital ini dengan menerbitkan konten-konten Islamik yang mampu menyentuh jiwa insan lain agar berubah menjadi lebih baik.

Langgan Siri Tazkirah

Dapatkan siri informasi islamik yang ringan dan santai terus kepada emel anda setiap minggu dengan mengisi emel anda di bawah.

Ikuti Kami