Wanita

Tips Bijak Fesyen Buat Wanita Muslimah Kini

Oleh Anas  •  28 Jul 2017  •  3 min baca

Pada suatu hari, saya masuk ke sebuah kedai yang menjual pakaian muslimah. Saya disapa oleh seorang wanita berbangsa Cina yang cuba membantu saya memilih pakaian yang sesuai.

Saya mendapati jenis fabrik, warna dan potongannya, semua amat dilakukan dengan berhati-hati.

Pendek kata, perekanya amat memahami keperluan wanita muslimah. Rupa-rupanya wanita itu merupakan pemilik kedai tersebut.

Dia menjahit sendiri semua pakaian tersebut selepas membuat kajian mengenai erti pakaian muslimah. Lebih menarik adalah dia bukanlah seorang muslim!

Kefahaman mengenai pakaian muslimah semakin berkembang pada masa ini. Isu keganasan dan anti-Islam yang berlaku di dunia turut membantu menaikkan rasa ingin tahu mengenai hal-hal di dalam agama Islam secara tidak langsung.

Dengan jumlah populasi umat Islam di dunia mencecah 1.8 billion orang pada 2015 dan dijangka akan meningkat sehingga 3 billion pada 2060, banyak syarikat besar menyedari adanya segmen pasaran yang mereka perlu tembusi.

Nike telah mengeluarkan pakaian sukan khas untuk wanita muslimah pada awal tahun 2017.

Selain Nike, nama besar lain dalam dunia fesyen yang mula meletakkan pakaian sesuai keperluan muslimah ialah DKNY, Mango, Dolce & Gabbana. Oscar de la Renta, Uniqlo dan Debenhams.

Syarikat e-dagang yang menjual pakaian muslimah juga dilihat sudah tumbuh bagai cendawan. Malah, Arab Saudi telah melancarkan majalah Vogue Arabia sebelum Nike mengeluarkan pakaian sukan mereka.

Dengan begitu banyak pilihan kepada wanita muslimah, ia sepatutnya bukanlah suatu masalah untuk para muslimah memilih pakaian yang menepati syariat berbanding berpuluh tahun dahulu.

Walaupun begitu, seorang wanita muslimah tetap perlu bijak dalam menilai kerana ada pengeluar yang mendakwa mengeluarkan pakaian muslimah, tetapi mencerminkan sebaliknya.

Berikut adalah audit kesilapan pemilihan pakaian yang perlu dielakkan oleh seorang wanita muslimah;

#1 – Fabrik Nipis Yang Menampakkan Bentuk Tubuh, Bentuk Leher, Warna Kulit Dan Rambut

#2 – Ketat Sehingga Menampakkan Bentuk Tubuh

#3 – Tidak Menutup Bahagian Tubuh Sepenuhnya Seperti Lengan, Pergelangan Tangan, Kaki Dan Kepala

#4 – Rekaan Yang Menimbulkan Rasa Ingin Berbangga

#5 – Pakaian Menyerupai Lelaki

#6 – Pakaian Luar Yang Longgar Tetapi Jarang Dengan Inner Di Bahagian Dalam Ketat

#7 – Baju Yang Longgar Tetapi Berseluar Atau Berskirt Ketat Sehingga Menampakkan Bentuk Kaki

#8 – Tudung Tidak Menutup Dada

#9 – Menampakkan Hiasan Tambahan Seperti Gelang Dan Rantai Secara Berlebihan Bertujuan Menunjuk-Nunjuk

Oleh itu, semasa memilih pakaian anda, ingat semula niat anda. Cuba katakan kepada diri anda yang anda memakainya atas tujuan ibadah.

Ibadah bukan sahaja mengenai solat, malah lebih dari itu. Niat yang ikhlas kerana Allah, memakai pakaian yang menepati syariat dan tidak meninggalkan ibadah asas juga merupakan satu ibadah.

Justeru, anda bukan sahaja sekadar berpakaian, malah anda mendapat keredhaan Allah dan ganjaran pahala dari-Nya.

Contohnya, tidak salah untuk anda menggayakan tudung dan shawl anda sebagaimana yang banyak dilihat di Youtube dan media sosial.

Namun, gaya itu, mestilah sesuai dengan peraturan yang disebutkan di atas. Wanita muslimah ada keunikan yang tersendiri dalam gaya dan caranya.

Justeru, marilah kita sama-sama berusaha untuk menjaga keunikan ini yang membezakan kita dengan wanita bukan Islam yang lain.


Kongsikan Artikel Ini

Nabi Muhammad s.a.w berpesan, “sampaikanlah dariku walau satu ayat” dan “setiap kebaikan adalah sedekah.” Apabila anda kongsikan artikel ini, ia juga adalah sebahagian dari dakwah dan sedekah. Insyallah lebih ramai yang akan mendapat manafaat.

Anas

Anas

Seorang penulis yang suka bereksperimentasi dengan pelbagai bidang dalam penulisan. Pernah menulis buku kanak-kanak dan juga majalah.

Kempen Dakwah Digital

Boleh Sumbangkan RM50 Untuk Dakwah?

Bantu kami untuk mengerakkan platform dakwah digital ini dengan menerbitkan konten-konten Islamik yang mampu menyentuh jiwa insan lain agar berubah menjadi lebih baik.

Langgan Siri Tazkirah

Dapatkan siri informasi islamik yang ringan dan santai terus kepada emel anda setiap minggu dengan mengisi emel anda di bawah.

Ikuti Kami