Gaya Hidup

Tip Mudah Mengawal Kemarahan

Oleh Zulfikar Egar  •  1 Dec 2018  •  4 min baca

Siapakah antara kita yang tidak pernah marah. Pasti semua orang pernah marah. Cuma bagaimanakah caranya hendak mengawal kemarahan tersebut?

Di sini dikongsikan sedikit nasihat atau tip yang dikutip daripada Ustaz Syed Norhisyam Tuan Padang.

Bertindak dalam keadaan marah boleh berlaku kepada sesiapa sahaja. Termasuklah jika seseorang itu merupakan seorang bos, seorang CEO mahupun seorang pemilik syarikat.

Adakalanya marah itu boleh ke tahap sanggup memaki hamun pekerja dia sendiri yang sudah 15 tahun berkhidmat pada dirinya.

Terjadinya adegan mencalarkan maruah orang tersebut di depan pekerja-pekerja lain hanya kerana satu kesalahan.

Ya betul, pekerja itu ada berbuat kesalahan, tidak dinafikan. Tetapi ingatlah, masa tengah marah itulah syaitan akan mengambil kesempatan atau pada ketika marah itulah ia merupakan pintu yang besar kepada syaitan untuk masuk ke dalam hati manusia.

Sebab itulah ada diajar, apabila kita hendak marah atau tengah marah, apa yang kita perlu lakukan? Jawapannya berwuduklah.

Sebab syaitan diciptakan daripada api. Justeru itu kita perlu cari air, kita minum air itu, lalu kita berwuduk. Itu jika dalam keadaan kita sendiri yang sedang marah.

Tetapi bagaimana pula keadaanya kalau ada orang hendak marah kepada kita? Adakah kita perlu merenjis air kepada dia? Sudah tentu tidak. Jika buat begitu, lagilah bertambah marah orang tersebut. 

Kalau ada orang tengah marah, kita minta dia duduk. Minta baik-baik dan katakan kepadanya;

“Encik duduk dulu”

Maksudnya kita dekatkan dia dengan bumi. Kita juga sedemikian. Selain mencari air untuk minum atau berwuduk. Masa kita dalam tengah marah itu pun, kita boleh duduk juga seandainya kita tengah berdiri, sama sahaja.

Kawal marah cara Islam, ada caranya. Ini cara yang paling berkesan yang boleh dijadikan sebagai terapi. Kita sendiri boleh mencubanya.

Cuba kita perhatikan. Bila kita hendak marah, bagaimana keadaan jantung kita? Jantung kita berdegup laju bukan bila hendak marah? Masa hendak marah itulah, sebutlah;

‘A’udzu billahi minas syaithanir rajim’

Kadar degupan jantung kita itu tiba-tiba turun. InsyaAllah kita boleh mencubanya. Tetapi dengan syarat!

Masa betul-betul hendak marah itu terus sebut ‘A’udzu billahi minas syaithanir rajim’. Ya, pada waktu itu, waktu kemarahan hendak tercetus. Bukannya selepas kita melepaskan kemarahan baru hendak menyebutnya.

Jika kita sebut dan amalkan ayat tersebut. Ia boleh menjadi terapi yang masing-masing kita boleh lakukannya.

Begitu juga kepada ibu-ibu yang sering marah anak. Kadang-kadang mak-mak ini marah kepada anak bukanlah sebab benci, tetapi ‘stress’.

Anak buat salah sikit atau tidak mahu dengar cakap, cepat sahaja mulut si ibu hendak marah. Boleh katakan dalam sehari itu mesti perkara ini akan berlaku.

Ya, ibu-ibu ini mereka kerja lagi, letih penat. Anak-anak ada yang gaduh, berlari, melompat sana sini. Rumah tidak kemas dan berserabut.

Mak-mak ini punya marah, terus pukul anak bertalu-talu. Lepas pukul itu barulah hendak sebut ‘A’udzu billahi minas syaithanir rajim’.

Itu tidak jadilah. Tidak akan selesai. Sepatutnya masa kita hendak marah dan semasa kita rasa hennak pukul anak itu, pada ketika itulah barulah sebut ‘A’udzu billahi minas syaithanir rajim’.

Tentu ada yang bertanya. Tidak bolehkah pukul anak? Jawapannya boleh. Tetapi jangan buat masa kita tengah hendak marah.

Ya betul, antara kita pun ada anak-anak juga. Kadang itu tak tertangan, yakni tidak terkawal. Tetapi peganglah anak itu dan sebutlah ‘A’udzu billahi minas syaithanir rajim’.

Sebutlah masa itu. Masa tengah marah itu. Tidak kira siapa sahaja. Hendak marah macam mana sekali pun.

Hendak marah kepada kawan ke, hendak marah kepada orang lain ke. Sebutlah pada masa itu juga ‘A’udzu billahi minas syaithanir rajim’.

Samalah juga dalam situasi andai seorang isteri itu terjumpa dalam ‘handphone’ suaminya itu, ada terdapat perbualan whatsaap antara suaminya dengan teman wanita suaminya.

Tetap juga sebut ‘A’udzu billahi minas syaithanir rajim’ bila kemarahan hendak menguassai diri.

Persoalannya, tidak bolehkah si isteri itu marah kepada suaminya yang ada menjalinkan hubungan dengan perempuan lain di belakangnya tanpa pengetahuannya? Jawapannya, sudah tentu boleh marah.

Tetapi bukan marah yang dikuasai oleh syaitan. Tetapi sebab marah kerana suami telah melanggar syariat Allah dengan menjalinkan hubungan terlarang dengan wanita lain.

Bila kita tengah marah dan pada waktu itu juga kita ingat Allah. Maka kita akan bertindak dalam keadaan kita mengawal kemarahan tersebut. Dan bukannya dipengaruhi oleh syaitan. Wallahualam.


Kongsikan Artikel Ini

Nabi Muhammad s.a.w berpesan, “sampaikanlah dariku walau satu ayat” dan “setiap kebaikan adalah sedekah.” Apabila anda kongsikan artikel ini, ia juga adalah sebahagian dari dakwah dan sedekah. Insyallah lebih ramai yang akan mendapat manafaat.

Zulfikar Egar

Zulfikar Egar

Merupakan graduan Ijazah Sarjana Muda Perniagaan dan Pembangunan Keusahawanan di Kuala Lumpur Metropolitan University College. Pernah bertugas sebagai Penolong Eksekutif di Pusat Pengajian Islam Yayasan Ta’lim TTDI KL. Kini bertugas di SmartStuday & Consultant Sdn. Bhd. sebagai Eksekutif Jualan SmartStudy.

Kempen Dakwah Digital

Boleh Sumbangkan RM50 Untuk Dakwah?

Bantu kami untuk mengerakkan platform dakwah digital ini dengan menerbitkan konten-konten Islamik yang mampu menyentuh jiwa insan lain agar berubah menjadi lebih baik.

Langgan Siri Tazkirah

Dapatkan siri informasi islamik yang ringan dan santai terus kepada emel anda setiap minggu dengan mengisi emel anda di bawah.

Ikuti Kami