Oleh Natirah Azira • 29 Oct 2018 • 3 min baca
Apabila bercakap tentang kehidupan yang produktif dan teratur, kita sentiasa mendengar tentang pengurusan masa yang baik. Namun ada suatu rahsia yang cukup penting yang telah disebutkan oleh Rasulullah SAW 1400 tahun dahulu berkenaan produktiviti. Ia terkandung dalam hadis di bawah:
Dari Abu Hurairah radhiyallahu ‘anhu, dari Nabi shallallahu ‘alaihi wa sallam, beliau bersabda,
مِنْ حُسْنِ إِسْلاَمِ الْمَرْءِ تَرْكُهُ مَا لاَ يَعْنِيهِ
“Di antara kebaikan islam seseorang adalah meninggalkan hal yang tidak bermanfaat baginya”(HR. Tirmidzi no. 2317, Ibnu Majah no. 3976. Syaikh Al Albani mengatakan bahwa hadis ini sahih)
Hal yang tidak bermanfaat yang disebutkan dalam hadis di atas bersifat umum. Ia mencakupi segala perkara yang dapat mencuri masa, perhatian serta emosi seorang manusia. Mungkin juga ia perkara negatif yang sebenarnya tidak ada kena mengena pun dengan hidup kita.
Banyak masalah yang timbul sebenarnya berpunca daripada kegagalan menguruskan keutamaan serta maklumat dalam kehidupan. Contoh paling dekat ialah telefon pintar yang sentiasa ‘melekat’ di tangan tidak kira masa.
Kita gagal mengekang diri daripada melakukan perkara yang tidak bermanfaat yang sekaligus mencuri masa kita seperti berlama-lama dengan media sosial, bertikam lidah di Facebook, menatal Instagram, menyerang sesiapa di Twitter yang hidupnya tidak ada kaitan pun dengan kita. Sejam. Dua jam. Tiga jam berlalu tanpa disedari. Akhirnya emosi kita sendiri penat, fokus lari, fikiran terganggu dan akhirnya hilang ‘masa’ untuk melakukan hal lain.
Kita sebenarnya boleh ‘reset’ semula tabiat tersebut dengan menukar rutin yang baharu. Otak manusia unik dan fleksibel untuk sebarang pembaharuan. Jom, kita cuba perkara di bawah dalam masa seminggu dan rasai perbezaannya.
Kurangkan masa di media sosial kepada 50 peratus daripada tempoh yang biasa. Jika selalunya anda menghabiskan masa 3 jam sehari, kurangkan ianya kepada sejam setengah sahaja.
Padam aplikasi media sosial yang jarang anda gunakan di telefon pintar. Hadkan hanya kepada satu atau dua aplikasi sahaja. Kurangnya aplikasi akan mengurangkan tabiat suka menatal apa-apa yang tidak memberi manfaat di media sosial.
Setiap kali anda membaca apa-apa status yang mencetuskan rasa ingin tahu, fikir kembali adakah perkara tersebut bermanfaat atau tidak untuk diri. Adakah ianya sekadar perkara viral yang tidak ada input? Apa jadi jika tidak ambil tahu? Apa jadi jika tidak memberi komen balas? Dari situ anda akan lebih jelas sebenarnya apa yang anda lakukan dengan media sosial setiap hari.
Hanya dengan mengawal hal-hal kecil di atas, kita akan dapat rasai perbezaannya kepada minda dan tindakan kita. Fokus dapat diberikan kepada hal-hal yang lebih penting seperti pembangunan diri dan orang di sekeliling. Muslim yang bijak ialah muslim yang pandai menilai kepentingan sesuatu perkara yang hadir dalam hidupnya.
Nabi Muhammad s.a.w berpesan, “sampaikanlah dariku walau satu ayat” dan “setiap kebaikan adalah sedekah.” Apabila anda kongsikan artikel ini, ia juga adalah sebahagian dari dakwah dan sedekah. Insyallah lebih ramai yang akan mendapat manafaat.
Kempen Dakwah Digital
Bantu kami untuk mengerakkan platform dakwah digital ini dengan menerbitkan konten-konten Islamik yang mampu menyentuh jiwa insan lain agar berubah menjadi lebih baik.