Ibadah

Tiga Ibadah Yang Baginda Wasiatkan Kepada Abu Hurairah

Oleh Fizah Lee  •  11 Feb 2020  •  3 min baca

Para sahabat amat gemar bertanya kepada Baginda akan amalan apa yang paling mulia dan besar ganjarannya di sisi Allah.

Rasulullah SAW akan menjawab pertanyaan tersebut mengikut kesesuaian sahabat yang bertanya dan kejadian yang berlaku pada masa itu.

Abu Hurairah RA juga tidak ketinggalan dalam bertanyakan kepada Baginda tentang ibadah yang mulia dan boleh diamalkan.

عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ – رَضِيَ اللهُ عَنْهُ – ، قَالَ : أَوْصَانِي خَلِيلِي – صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ – بِصِيَامِ ثَلاَثَةِ أيَّامٍ مِنْ كُلِّ شَهْرٍ ، وَرَكْعَتَي الضُّحَى ، وَأَنْ أُوتِرَ قَبْلَ أَنْ أَرْقُدَ . مُتَّفَقٌ عَلَيْهِ.

Maksud: “Dari Abu Hurairah RA berkata, kekasihku Rasulullah SAW telah mewasiatkan kepadaku untuk puasa tiga hari setiap bulan, mengerjakan solat Dhuha dua rakaat dan melakukan solat witir sebelum tidur.” (Hadis Riwayat Bukhari, no. 1178)

Menurut perbahasan ulama, tiga ibadah yang telah disebutkan ini digelar sebagai tiga amal yaumiah (amalan sunnah harian) yang sangat dituntut untuk dilakukan.

#1 – Puasa Hari Putih

Ketahanan badan seseorang yang mengamalkan berpuasa selama 3 hari setiap bulan boleh meningkat, begitu juga dengan produktiviti kerja. Baginda SAW mengamalkan berpuasa pada tiga hari setiap bulan dan meriwayatkan bahawa pahala puasanya adalah sama seperti berpuasa setahun (Hadis Riwayat Abdullah bin Umar, no. 7507)

Sebuah kajian saintifik yang telah dilakukan oleh Profesor Valter Lango di Universiti southern California mendapati bahawa sistem ketahanan badan boleh meningkat dan boleh mengurangkan risiko penyakit barah.

يَا أَبَا ذَرٍّ إِذَا صُمْتَ مِنَ الشَّهْرِ ثَلاَثَةَ أَيَّامٍ فَصُمْ ثَلاَثَ عَشْرَةَ وَأَرْبَعَ عَشْرَةَ وَخَمْسَ عَشْرَةَ

Maksud: “Wahai Abu Dzar, jika engkau ingin berpuasa tiga hari setiap bulan, maka berpuasalah pada tanggal 13, 14 dan 15 (dari bulan Hijrah)”(Hadis Riwayat Tirmidzi, no. 1999)

#2 – Mengerjakan Solat Sunat Dhuha

Umum mengetahui banyak kelebihan yang boleh didapati daripada amalan ini. Bahkan, solat sunat dhuha sangat sinonim dengan murahnya rezeki.

Maksud: “Hendaklah masing-masing kamu bersedekah untuk setiap ruas tulang badanmu pada setiap pagi. Sebab setiap kali bacaan tasbih itu adalah sedekah, setiap tahmid adalah sedekah, setiap tahlil adalah sedekah, setiap takbir adalah sedekah, menyuruh kepada yang makruf adalah sedekah, mencegah yang mungkar adalah sedekah. Sebagai ganti dari semua itu, maka cukuplah mengerjakan dua rakaat solat Dhuha.” (Hadis Riwayat Muslim)

#3 – Solat Sunat Witir Sebelum Tidur

Solat sunat witir merupakan penutup kepada ibadah solat yang dilakukan dan ia ditunaikan dengan bilangan rakaat yang ganjil.

Menurut perbahasan ulama, hadis ini menunjukkan bahawa jika seseorang muslim itu sukar untuk menunaikan Tahajjud pada satu per tiga malam, maka dianjurkan untuknya untuk menunaikan witir sebelum tidur.

Walau bagaimanapun, jika seseorang itu meyakini bahawa mudah untuknya bangun bagi menunaikan solat sunat Tahajjud, maka witir dilakukan selepas solat sunat tersebut.

Ia adalah sunat muakkad yang dituntut. Tidak berdosa jika meninggalkannya, namun ia mejadi amalan kerana Baginda SAW tidak pernah meninggalkan ibadah tersebut.

مَنْ خَافَ أَنْ لاَ يَقُومَ مِنْ آخِرِ اللَّيْلِ فَلْيُوتِرْ أَوَّلَهُ وَمَنْ طَمِعَ أَنْ يَقُومَ آخِرَهُ فَلْيُوتِرْ آخِرَ اللَّيْلِ فَإِنَّ صَلاَةَ آخِرِ اللَّيْلِ مَشْهُودَةٌ وَذَلِكَ أَفْضَلُ

Maksud: “Barangsiapa yang khuatir tidak akan sanggup bangun pada akhir malam, hendaklah ia berwitir pada permulaan malam. Dan barangsiapa yang merasakan bahawa ia mampu bangun pada akhir malam, hendaklah ia berwitir pada akhir malam itu. Kerana mengerjakan solat pada akhir malam itu disaksikan malaikat dan itu yang lebih utama.” (Hadis Riwayat Muslim, no. 755)

Kesimpulan

Banyak lagi ibadah yang telah diwasiatkan oleh Baginda SAW kepada para sahabatnya untuk diamalkan. Tiga ibadah ini merupakan sunnah yang tidak pernah ditinggalkan oleh Baginda SAW.

Baca juga:
Puasa Hari Putih

Rujukan:
Rumaysho.com


Kongsikan Artikel Ini

Nabi Muhammad s.a.w berpesan, “sampaikanlah dariku walau satu ayat” dan “setiap kebaikan adalah sedekah.” Apabila anda kongsikan artikel ini, ia juga adalah sebahagian dari dakwah dan sedekah. Insyallah lebih ramai yang akan mendapat manafaat.

Fizah Lee

Merupakan seorang graduan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia dalam bidang Bahasa Melayu untuk Komunikasi Antarabangsa. Seorang yang suka membaca bahan bacaan dalam bidang sejarah dan motivasi

Kempen Dakwah Digital

Boleh Sumbangkan RM50 Untuk Dakwah?

Bantu kami untuk mengerakkan platform dakwah digital ini dengan menerbitkan konten-konten Islamik yang mampu menyentuh jiwa insan lain agar berubah menjadi lebih baik.

Langgan Siri Tazkirah

Dapatkan siri informasi islamik yang ringan dan santai terus kepada emel anda setiap minggu dengan mengisi emel anda di bawah.

Ikuti Kami