Ibadah

Tiga Ibadah Wasiat Rasulullah SAW

Oleh Rasyidah Rahmat  •  3 Mar 2019  •  4 min baca

Abu Hurairah berkata, “Kekasihku Nabi Muhammad SAW mewasiatkan tiga hal iaitu witir sebelum tidur, puasa tiga hari pada setiap bulan dan solat dhuha.” (HR. Abu Hurairah)

MasyaAllah! Tiga hal yang mudah untuk dilakukan sebenarnya. Namun, berapa ramai antara kita yang istiqomah (berterusan) mengamalkan wasiat Rasulullah SAW ini?

Sungguh, terdapat banyak kelebihan dan manfaat yang diperoleh apabila kita melakukan ibadah ini. Bukan sahaja mendapat ganjaran pahala daripada Allah malah kita tergolong dalam umat Nabi Muhammad SAW yang turut mengikuti sunnah Baginda SAW.

Dalam banyak-banyak sunnah Rasulullah marilah kita mulakan langkah pembinaan diri kita dengan melakukan sunnah yang tiga ini – Witir, puasa dan dhuha.

Sunnah Membentuk Mujahadah

Payahnya nak istiqomah, pertama kali buat memang seronok tapi dah lama-lama rasa malas pula. Mengapa?

Hakikatnya, manusia itu berada antara dua tarikan. Tarikan keimanan dan kejahilan. Bunyi macam seram. Tapi inilah realiti seorang hamba dan khalifah seperti kita! Kita sentiasa bermujahadah (melawan hawa nafsu) setiap hari untuk melakukan amalan yang paling baik di sisi Allah.

Mungkin dengan amalan wajib tidak cukup untuk kita bawa bekal di akhirat kelak kerana ada cacat dan kurangnya. Maka, Rasulullah SAW memberi panduan buat kita agar sentiasa menambah amalan soleh dengan melakukan yang sunat.

Oleh sebab itu, sunnah yang Rasulullah SAW ajar pada kita tidak lain tidak bukan adalah untuk membentuk hati dan jasad kita supaya bertahan dan bermujahadah dalam mendepani musuh sanubari kita. Iaitu, al-hawa’(nafsu/ keinginan).

Bermula Dengan Sunnah-Sunnah Kecil

Allah paling tahu tentang diri kita melebihi orang lain. Maka, mulakanlah hari kita dengan melakukan sunnah yang kecil. Saya yakin tiga ibadah sunnah yang diwasiatkan oleh Rasulullah SAW kepada kita pasti memberi hikmah didikan yang cukup besar dalam diri.

#1- Witir Sebelum Tidur atau Akhir Malam

“Rasulullah SAW bersabda: “Barangsiapa bimbang tidak terbangun pada tengah malam, maka lakukanlah witir sebelum tidur, dan barang siapa yang yakin akan terbangun di akhir malam, maka lakukanlah witir di akhir malam. Sesungguhnya solat di akhir malam itu disaksikan dan itu lebih utama.” HR Muslim

Ada sebuah lagi hadis yang menggembirakan hati orang Muslim iaitu,

“Sesungguhnya Allah itu Witr dan menyukai yang witr (ganjil)” – HR Bukhari
Subhanallah!

#2- Puasa Membina Kekuatan Ruhi

“Dan berpuasalah tiga hari pada setiap bulan. Kerana sesungguhnya kebaikan itu akan (dilipat gandakan) dengan sepuluh kali lipat. Oleh kerana itu, engkau seolah-olah berpuasa selama sebulan penuh.” HR Bukhari dan Muslim

Saya amat kagum apabila membaca sirah ghazwah (peperangan) Islam yang berlaku pada bulan Ramadan. Dari situ saya menggambarkan bahawa bulan mulia ini penuh dengan keberkatan dan kekuatan sehinggakan tentera Islam berjaya memenangi peperangan ketika itu. Antaranya ialah peperangan Badar, peperangan Zallaqah, dan peperangan Ain Jalut.

Maka, tidak salahnya untuk kita mempraktikkan diri kita dengan berpuasa sementara menunggu kehadiran bulan yang barakah yang kita nantikan setiap tahun. Sebenarnya, dengan berpuasa kita bukan sahaja dapat menguatkan rohani kita malah dapat menyihatkan tubuh badan kita yang setiap hari beroperasi menghadam makanan.

Apa salahnya sesekali kita beri pula perut kita berehat sekejap dengan berpuasa?

#3- Dhuha Bukan Sekadar Meminta Rezeki

Saya menyeru agar kita semua melazimi solat sunat dhuha dengan niat untuk mendekatkan diri kepada Allah semata-mata. Perbaiki niat agar ibadah kita bukan kerana ingin dapatkan pembalasan tapi lebih kepada rasa kehambaan dalam diri untuk mendekatkan diri kepada Allah SWT.

Solat sunat dhuha mempunyai pelbagai manfaat yang sangat baik. Subhanallah jika kita mengkaji tentang solat sunat ini pastinya setiap hari kita tak akan terlepas dari melakukannya.

Namun begitu, dalam konteks sunnah dhuha ini saya ingin berpesan kepada diri saya dan rakan pembaca agar sentiasa melazimi solat sunnah atau apa sahaja sunnah yang dianjurkan dalam Islam dengan niat semata-mata ikhlas kerana Allah.

Hanya Allah yang layak mengganjari kita dengan nikmat rezeki dariNya. Moga segala usaha kita ke arah memperbaiki diri mendapat keredaan-Nya. InsyaAllah.


Kongsikan Artikel Ini

Nabi Muhammad s.a.w berpesan, “sampaikanlah dariku walau satu ayat” dan “setiap kebaikan adalah sedekah.” Apabila anda kongsikan artikel ini, ia juga adalah sebahagian dari dakwah dan sedekah. Insyallah lebih ramai yang akan mendapat manafaat.

Rasyidah Rahmat

Rasyidah Rahmat

Suka mencuba perkara baru dan sangat meminati bidang penulisan dan membaca buku dalam semua genre. Karya pertama yang diterbitkan iaitu dalam siri antologi cerpen Negeri Terengganu. Merupakan mahasiswa tahun akhir sarjana muda syariah di UIN STS Jambi, Indonesia.

Kempen Dakwah Digital

Boleh Sumbangkan RM50 Untuk Dakwah?

Bantu kami untuk mengerakkan platform dakwah digital ini dengan menerbitkan konten-konten Islamik yang mampu menyentuh jiwa insan lain agar berubah menjadi lebih baik.

Langgan Siri Tazkirah

Dapatkan siri informasi islamik yang ringan dan santai terus kepada emel anda setiap minggu dengan mengisi emel anda di bawah.

Ikuti Kami