Gaya Hidup, Inspirasi

Tiada Yang Sempurna – Kisah Baginda Ditegur Oleh Allah

Oleh Fieyzah Lee  •  6 Aug 2019  •  4 min baca

Pasti kita pernah mendengar ungkapan, dalam dunia ini tiada yang sempurna. Hanya pada Allah terdapat kesempurnaan.

Ia membuktikan bahawa setiap manusia itu mempunyai perangai, kelebihan dan kekurangan yang tersendiri.

Cuba kita lihat dalam keluarga kita sendiri, apabila kita mendapat keputusan yang kurang memuaskan dalam peperiksaan akhir, kebiasaannya si ibu akan memberi teguran dan nasihat dengan panjang lebar sambil mengingatkan anda untuk berusaha dengan lebih baik pada masa akan datang.

Manakala si ayah, memang beliau akan terlihat tenang dan seperti tidak peduli akan urusan pembelajaran anda, namun ketahuilah di sebalik kemarahan seorang ibu, wujud seorang ayah yang sentiasa berusaha untuk menenangkan situasi.

Cuba anda bayangkan jika kedua-dua mereka melemparkan bebelan kepada anda, pasti anda akan tertekan dengan situasi tersebut, bukan?

Atau jika kedua-duanya seperti tidak ambil peduli dengan apa yang ada lakukan, pasti perasaan anda akan dihantui oleh berbagai persoalan – ‘Adakah mereka tidak menyayangi aku?’ Dan sebagainya.

Itulah nilai dan asam garam dalam rumah tangga. Allah hadirkan seseorang dalam kehidupan kita untuk melengkapi setiap kekurangan dan membantu kita mengawal setiap kelebihan yang ada.

Bukan sahaja dalam rumah tangga, namun dalam kehidupan kita. Mungkin pernah anda terfikir – “Mengapa aku ditakdirkan untuk berkawan dengan dia?”

Atau – “Mengapa aku dapat dia sebagai adik aku, selalu sahaja menyusahkan hidup aku.”

Dan pelbagai lagi persoalan yang menari di benak fikiran anda tatkala anda cuba mencari jawapan pada setiap permasalahan yang sedang anda lalui, bukan?

Percayalah, Allah tidak pernah menghantar seseorang dalam kehidupan kita tanpa tujuan dan asbab yang jelas atau sia-sia.

Mungkin anda pernah juga mendengar atau terlihat kata-kata yang berbunyi; ‘Allah hadirkan seseorang sama ada sebagai peneman atau untuk memberi kekuatan (ujian) kepada kita.’

Ya, tidak dapat disangkal lagi, itu merupakan salah satu sebab kenapa kita dipertemukan dengan seseorang. Jika anda bergaduh dengan sahabat baik anda sekali pun, ia mungkin sebagai salah satu persediaan yang Allah aturkan untuk anda sebelum anda melangkah ke alam yang penuh dengan pelbagai ragam manusia.

Sekurangnya, anda sudah mempunyai pengalaman dikhianati atau disakiti kawan baik anda sendiri. Secara tidak langsung, anda akan lebih berhati-hati dengan setiap orang baru yang akan anda kenali.

Itulah kehidupan, tiada apa yang sempurna kecuali yang Menciptakannya. Malah Baginda SAW juga tidak sempurna orangnya.

Kisah Baginda Dan Abdullah Ibn Makhtum

Kita tahu, Rasulullah SAW juga ialah manusia biasa, sama seperti kita yang kadang-kadang melakukan dosa. Cuma bezanya, Baginda merupakan kekasih Allah dan akan ditegur secara terus oleh Allah SWT, iaitu melalui wahyuNya.

Terdapat sebuah penceritaan dalam Kitab Imam Ibn Kathir, melalui Ibn Abbas RA, berkenaan Baginda SAW yang didatangi oleh seorang yang buta dan meminta untuk dibacakan ayat-ayat Al-Quran yang telah diturunkan pada waktu itu.

Beliau ialah Abdullah ibn Makhtum. Tatkala Abdullah datang kepada Baginda yang sedang sibuk menyampaikan Islam kepada para pembesar Quraisy, Baginda mengendahkan persoalan yang dikemukakan kerana merasakan berdakwah kepada sekumpulan Quraisy adalah lebih baik dan utama pada waktu tersebut.

Kemudian, turunlah wahyu daripada Allah untuk menegur perbuatan Baginda waktu itu. Para ulama’ berpendapat bahawa, persoalan yang dikemukakan oleh orang Islam itu adalah utama untuk dijawab dan tidak wajar diendahkan dengan alasan dia sudah cukup Islam.

Terdapat juga ulama’ yang membahaskan bahawa, kita tidak boleh membezakan dan memilih untuk berdakwah kepada golongan kaya dan berpangkat sahaja serta mengabaikan yang miskin, kerana Islam itu adalah untuk semua.

Sebenarnya, orang Islam yang perlu dijaga agar keimanan dan ketakwaan mereka tidak putus dan semakin bertambah kepadaNya. Peristiwa tersebut dirakam dalam Surah Abasa, ayat 1-10.

عَبَسَ وَتَوَلَّ
“Ia memasamkan muka dan berpaling.”

أَن جَاءَهُ الْأَعْمَىٰ
“Kerana ia didatangi orang buta.”

وَمَا يُدْرِيكَ لَعَلَّهُ يَزَّكَّىٰ
“Dan apa jalannya engkau dapat mengetahui (tujuannya, wahai Muhammad)? Barangkali ia mahu membersihkan hatinya (dengan pelajaran agama yang didapati daripadamu)!”

أَوْ يَذَّكَّرُ فَتَنفَعَهُ الذِّكْرَىٰ
“Ataupun ia mahu mendapat peringatan, supaya peringatan itu memeri manfaat kepadanya.”

أَمَّا مَنِ اسْتَغْنَىٰ
“Adapun orang yang merasa keadaannya telah cukup, tidak berhajat lagi (kepada ajaran Al-Quran).”

فَأَنتَ لَهُ تَصَدَّىٰ
“Maka, engkau bersungguh-sungguh melayaninya.”

وَمَا عَلَيْكَ أَلَّا يَزَّكَّ
“Padahal engkau tidak bersalah kalau ia tidak mahu membersihkan dirinya (dari keingkarannya).”

وَأَمَّا مَن جَاءَكَ يَسْعَىٰ
“Adapun orang yang segera datang kepadamu,”

وَهُوَ يَخْشَىٰ
“Dengan perasaan takutnya (melanggar perintah Allah-perintah Allah)”

فَأَنتَ عَنْهُ تَلَهَّىٰ
“Maka engkau berlengah-lengah melayaninya.”

Kesimpulan

Natijahnya di sini ialah, walau siapa pun anda dengan pangkat atau nama yang ada, namun apabila datangnya teguran sama ada dari golongan yang lebih rendah atau lebih tinggi, maka terimalah dengan hati yang terbuka kerana tiada siapa yang sempurna.

Kita tidak melihat siapa yang menegur, tetapi kita melihat apa yang ditegur.


Kongsikan Artikel Ini

Nabi Muhammad s.a.w berpesan, “sampaikanlah dariku walau satu ayat” dan “setiap kebaikan adalah sedekah.” Apabila anda kongsikan artikel ini, ia juga adalah sebahagian dari dakwah dan sedekah. Insyallah lebih ramai yang akan mendapat manafaat.

Fieyzah Lee

Fieyzah Lee

Merupakan seorang pelajar Universiti Islam Antarabangsa Malaysia dalam bidang Bahasa Melayu untuk Komunikasi Antarabangsa. Seorang yang suka membaca bahan bacaan dalam bidang sejarah dan motivasi

Kempen Dakwah Digital

Boleh Sumbangkan RM50 Untuk Dakwah?

Bantu kami untuk mengerakkan platform dakwah digital ini dengan menerbitkan konten-konten Islamik yang mampu menyentuh jiwa insan lain agar berubah menjadi lebih baik.

Langgan Siri Tazkirah

Dapatkan siri informasi islamik yang ringan dan santai terus kepada emel anda setiap minggu dengan mengisi emel anda di bawah.

Ikuti Kami